Sumber Rujukan Globalisasi Anda

langkah persediaan menghadapi perubahan ekonomi

RAMAI mungkin tidak menjangkakan krisis wabak COVID-19 telah membawa “bencana” yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia berbanding dengan krisis-krisis lain seperti perang dagangan China-Amerika Syarikat.

COVID-19 menjejaskan “kesihatan” ekonomi negara melalui tiga saluran utama.

Pertama, sektor perlancongan dan sektor-sektor berkaitan terjejas akibat sekatan kemasukkan pelancong asing dan kawalan pergerakkan yang menjejaskan aktiviti pelancongan domestik.

Kedua, sektor-sektor ekonomi dalam negara terjejas akibat kesan rantaian bekalan global. Contohnya, pengeluaran sektor pembuatan automobil dan topeng muka terjejas kerana kekurangan pengeluaran bahan mentah di negara-negara terjejas akibat COVID-19 seperti China. Sektor pengangkutan udara juga terjejas kerana syarikat penerbangan terpaksa menghadkan atau memberhentikan seketika operasi penerbangan segmen luar negara.

Ketiga, gunatenaga perniagaan terjejas akibat daripada pekerja-pekerja yang terkena jangkitan dan juga arahan sementara kawalan pergerakkan penduduk. Akibatnya, pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan berkurangan.

Sejauh mana negara berjaya pulih daripada krisis ekonomi akibat COVID-19 bergantung sebahagian besarnya oleh peranan yang perlu dimainkan oleh isirumah dan pemain industri.

Berikut adalah beberapa peranan proaktif yang boleh dimainkan oleh isi rumah dan pemain industri di dalam membantu pihak kerajaan menguruskan ekonomi semasa krisis.

Pemain industri

1. Membantu menyalurkan maklumat tepat berkenaan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran dan perniagaan mereka. Contohnya semasa tempoh PKP, pengeluaran bekalan makanan bukan sahaja perlu mengcukupi malah tiada manipulasi harga berlaku di pasaran. Untuk memastikan perkara ini terjamin, syarikat-syarikat atau pertubuhan perniagaan perlu melaporkan data-data dan permasalahan yang tepat supaya tindakan segera boleh diambil.

2. Hindarkan mengambil kesempatan perniagaan ke atas kelemahan sistem perlaksanaan pakej rangsangan. Dana bantuan kerajaan adalah terhad. Jika syarikat-syarikat masih boleh bertahan dan mempunyai aliran tunai yang kukuh, maka berilah peluang kepada syarikat-syarikat lain yang lebih memerlukan. Contoh lain adalah pemilik-pemilik rumah sewa, kedai sewa dan tanah sewa perlulah menangguhkan bayaran sewaan (atau berikan kadar diskaun) seperti mana manfaat moratorium yang mereka perolehi.

3. Menyusun semula strategi perniagaan. Syarikat-syarikat perlu mengambil peluang untuk menilai dan menyusun semula strategi pemasaran mereka. Contohnya, pemasaran perniagaan makanan yang berasaskan ejen jualan dijangka akan terjejas di dalam tempoh PKP. Dalam situasi krisis ini, kaedah pemasaran “tradisional” iaitu pemasaran di pasararaya dan kedai mungkin lebih menjamin kelangsungan perniagaan.

4. Membantu reformasi perniagaan dan ekonomi. Ini adalah masa terbaik untuk melaksanakan reformasi perniagaan dan ekonomi. Contoh mudah seperti berikut. Salah satu permasalahan di sektor pertanian adalah peranan orang tengah yang didapati mengekploitasi pasaran. Harga yang dikenakan kepada pasaran lebih mahal berbanding dengan harga yang dibayar kepada petani atau pengusaha. Dengan teknologi digital yang sedia ada, petani atau pengusaha boleh mengubah rantaian bekalan ini dengan terus memasarkan barangan mereka kepada isi rumah (menjalankan penghantaran terus ke rumah melalui aplikasi digital).

5. Penilaian kepada sistem pekerjaan yang lebih bersifat fleksible. Di negara-negara maju, amalan sistem pekerjaan yang fleksible telah dilaksanakan. Contohnya, pekerja boleh bekerja beberapa jam sehari, beberapa hari seminggu dan amalan bekerja daripada rumah. Semasa krisis Covid-19 dan tempoh PKP adalah masa terbaik untuk sektor perniagaan menilai sejauh mana sistem pekerjaan fleksible ini boleh membantu mengurangkan kos dan dalam masa yang sama dapat mengekalkan keuntungan.

Isi rumah

1. Penilaian semula gelagat perbelanjaan bulanan isirumah. Dalam tempoh PKP ini, isirumah tertumpu kepada perbelanjaan berbentuk keperluan sahaja selain komitmen pembayaran hutang bulanan. Kemungkinan bebanan kewangan isirumah sebelum ini dipengaruhi sebahagian besarnya oleh perbelanjaan kepada bukan keperluan yang terarah kepada gaya hidup. Sepatutnya tempoh pasca PKP akan lebih mendidik isirumah lebih rasional di dalam berbelanja.

2. Mengoptimumkan kelebihan teknologi digital. Dalam tempoh PKP dan krisis Covid-19, isirumah boleh mengoptimumkan teknologi digital di dalam mempelbagai sumber pendapatan. Krisis ini memberi pengajaran bahawa kebergantungan kepada hanya satu jenis sumber pendapatan mungkin tidak kukuh. Membantu isirumah lain untuk mendapatkan barangan secara digital adalah antara aktiviti perniagaan yang boleh dilakukan.

3. Jangan lakukan pembelian panik. Lakukan perbelanjaan seperti kebiasaan dan kurang berbelanja kepada barang bukan bersifat keperluan. Pembelian panik boleh menyebabkan herotan pasaran yang akan memberi impak negatif kepada ekonomi. Bekalan barangan akan kekurangan yang menyebabkan harga cenderung untuk meningkat.

 

Perkongsian oleh : PROF MADYA DR MOHD YUSOF SAARI

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More