Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Belon Cuaca Dilepaskan 2 Kali Sehari Untuk Apa?

Belon Cuaca adalah sebuah belon yang diterbangkan pada altitud tinggi dan dipasang dengan alat-alat kajian untuk mengkaji dan memperoleh maklumat tekanan atmosfera, suhu, kelembapan dan kelajuan angin dengan satu alat boleh kembang kecil yang diberi nama radiosonde.

Seperti sedia maklum, cuaca di setiap negara adalah berbeza-beza dan bergantung kepada kedudukannya pada garisan meridian. Di Malaysia, cuacanya bersifat tropika kerana negara ini terletak di tengah-tengah garisan Khatulistiwa. Lazimnya, seluruh kawasan di seluruh negara menerima taburan hujan dan cuaca panas terik setiap tahun.

Isi Kandungan

Fungsi Belon Cuaca

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) adalah agensi yang bertanggungjawab terhadap cuaca dalam negara. Setiap hari, agensi ini bertindak memaklumkan perubahan cuaca dari semasa ke semasa.

Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana agensi ini mendapatkan data dalam membuat ramalan cuaca?

Sebenarnya salah satu caranya termasuklah dengan menggunakan Belon Cuaca.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian Pegawai Meteorologi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, @nblrsli di bawah.

Menerusi video yang dimuat naiknya di platform TikTok, Nabil memaklumkan bahawa belon cuaca atau dalam bahasa Inggeris dipanggil Weather Balloon (Upper Air Balloon) digunakan untuk membantu peramal atau forecaster untuk membuat ramalan cuaca di negara kita.

Proses Pelepasan Belon Cuaca

Umumnya, belon cuaca ini dilepaskan sebanyak dua kali sehari, iaitu pada jam 8 pagi dan 8 malam waktu tempatan.

Walau bagaimanapun, sebelum dilepaskan, belon cuaca akan diterbangkan bersama sebuah alat dikenali sebagai ‘radiosonde’.

“Okey, sebelum dia dilepaskan, kita ikatkan belon ni dengan sebuah instrumen ataupun alat yang dikenali sebagai radiosonde,” ujarnya dalam video berkenaan.

Menurut Nabil, radiosonde dibekalkan dengan satu bateri dan Global Positioning System (GPS) bagi membolehkan pegawai meteorologi menjejaki perjalanan belon cuaca sepanjang ia naik ke atmosfera.

Bukan sahaja itu, radiosonde ini juga dilengkapi dengan multi-sensor yang berperanan

  • mengambil data kelajuan arah angin;
  • kelembapan (humidity);
  • suhu (temperature);
  • tekanan (pressure); dan
  • takat embun (dewpoint).

Belon Cuaca

Kandungan Belon Cuaca

Umumnya, belon cuaca akan diisi dengan menggunakan gas helium ataupun hidrogen. Tapi ramai yang memilih menggunakan gas hidrogen berbanding gas helium.

“Belon ini, akan diisikan dengan gas helium ataupun hidrogen. Tapi disebabkan gas helium terlalu mahal, kita akan isikan dengan gas yang lebih murahlah iaitu gas hidrogen,” katanya.

Tambahnya, belon cuaca akan diisi dengan gas sehingga terapung lebih kurang satu kaki. Walau bagaimanapun, gas ini juga mempunyai risiko kerana mudah terbakar. Lebih-lebih lagi, ia tidak boleh dilihat dan dihidu sekiranya berlaku kebocoran.

Perkara ini sudah tentunya melibatkan aspek keselamatan kepada orang disekeliling. Oleh itu, kawasan pelepasan belon cuaca ini merupakan kawasan larangan untuk melakukan sebarang aktiviti yang berisiko seperti merokok.

Lokasi Pelepasan Belon Cuaca

Di Malaysia, terdapat lapan lokasi pelepasan belon ini. Antara lokasi pelepasan tersebut termasuklah di

  1. Bayan Lepas.
  2. Tawau.
  3. Sepang.
  4. Kuching.
  5. Kota Bharu.
  6. Kuantan.
  7. Bintulu.
  8. Kota Kinabalu.

Di luar negara, belon ini juga dilepaskan pada waktu yang sama secara dua kali tetapi ia bergantung kepada keperluan dan bajet negara tersebut. Ada juga negara yang melakukan 4 kali sehari dan ada juga yang melakukan pelepasan hanya sekali dalam sehari.

Prosedur Pelepasan Belon Cuaca

Sebelum belon cuaca dilepaskan, ia memerlukan kebenaran daripada menara kawalan terlebih dahulu. Kemudian barulah ia boleh dilepaskan.

Sewaktu dilepaskan, belon cuaca akan naik ke lapisan atmosfera hingga mencapai lapisan yang dinamakan ‘stratosfera’ pada ketinggaian 20 hingga 25 kilometer di udara.

Maklum Nabil, dia kebiasaannya akan memberitahu pihak menara kawalan Bayan Lepas ketika ingin membuat pelepasan belon tersebut.

Sewaktu belon mencapai pada ketinggian tersebut, ia akan mengalami pengurangan tekanan sehingga meletup. Perkara ini akan membuatkan radiosonde jatuh bersama payung terjun yang telah dibekalkan bersama.

Namun, radiosonde itu tidak akan diambil kembali atau dicari semula kerana data-data yang dikumpul diperolehi secara langsung. Jelasnya, data yang terkumpul akan dipaparkan pada Skew-T Graph atau dipanggil sebagai Tephigram.

Setelah kesemua data telah dikumpulkan pada paparan tersebut, pegawai meteorologi akan membuat analisis cuaca berdasarkan data tersebut.

Belon Cuaca

Credit Sumber: @nblrsli

Semoga perkongsian ini memberi sedikit pendedahan dan bermanfaat kepada anda semua.

Seterusnya, anda juga boleh dapatkan informasi serta fakta terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More