Sumber Rujukan Globalisasi Anda

4 PERANAN TERHADAP BENDERA MALAYSIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Bendera Malaysia atau dikenali juga sebagai Jalur Gemilang oleh negara kita perlu sentiasa dihormati dan disayangi. Bendera adalah penting untuk sesebuah negara itu dikenali, dihormati dan dipandang tinggi oleh negara-negara lain. Tujuan bendera negara dikibarkan ialah untuk menzahirkan rasa patriotisme, selain melambangkan kemegahan dan kedaulatan sesebuah negara. 

Bendera sangat penting bagi sesebuah negara ianya adalah bertujuan sebagai:

  • Membangkitkan semangat patriotik
  • Menimbulkan rasa bangga terhadap negara
  • Tanda ketaatan dan negara
  • Lambang kemegahan penduduk
  • Lambang rasmi negara
  • Identiti sesebuah negara
  • Lambang kedaulatan negara
bendera malaysia
4 PERANAN TERHADAP BENDERA MALAYSIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM 4

Isi Kandungan

Penghormatan Bendera Malaysia

Secara umumnya, terdapat tiga cara bagi menunjukkan rasa penghormatan kepada bendera Malaysia dan ianya bergantung kepada tujuan penggunaannya, iaitu:

  1. Sebagai Lambang Kebesaran dan Kedaulatan Negara
  2. Sebagai Tanda Berkabung – Bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung atas peristiwa-peristiwa tertentu akan dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Negeri bagi negeri-negeri berkenaan.
  3. Sebagai Tanda Menghormati Jenazah – Bendera Malaysia boleh menutup keranda dalam Istiadat Pemakaman atau Pengebumian Negara. Penggunaannya adalah sebagai satu tanda penghormatan terakhir negara terhadap individu berkenaan yang telah berjasa kepada negara. Antara individu-individu yang mendapat penghormatan negara ialah:
  • Pembesar-pembesar negara;
  • Duta-duta Malaysia di luar negara; dan
  • Anggota tentera/polis yang meninggal dunia semasa bertugas.
bendera malaysia
4 PERANAN TERHADAP BENDERA MALAYSIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM 5

4 Tanggungjawab terhadap Bendera Malaysia

Menerusi laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Kuala Lumpur, ada 4 tanggungjawab rakyat yang perlu dilakukan terhadap bendera yang perkongsiannya juga berdasarkan dari perspektif Islam. Empat tanggungjawab itu adalah seperti berikut:

Mempertahankannya dari dijatuhkan atau dihina

Sejarah peperangan dalam Islam jelas menunjukkan Rasulullah SAW mengurniakan bendera kepada panglima atau ketua pasukan. Mereka menganggap amanah yang cukup besar yang wajib dipertahankan dan tidak boleh dijatuhkan sementelahan lagi dari pihak musuh atau dihina. Peperangan Mu’tah menunjukkan bagaimana Ja’far bin Abi Talib R.A menjaga dan mempertahankan bendera sekalipun kedua-dua belah tangannya ditetak, tetapi tetap mempertahankan bendera dengan tunggul tangan yang berbaki.

Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri menyebut: Setelah Zaid bin Harithah menemui syahid, panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib. Beliau juga tidak kurang hebatnya dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang itu lantas disembelihnya. Kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah lengannya.

Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid. Ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak oleh seorang tentera Rom sehingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya dengan dua sayap yang membolehkan beliau terbang di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang dia mahu. Kerana itu beliau dikenali sebagai Ja’far al-Tayyar dan Jaafar Zu al-Janahain (yang mempunyai dua sayap).

Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi’ bahawa Ibn Umar R.Anhuma telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, pada tubuhnya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.

Di dalam satu riwayat yang lain kata Ibnu Umar: Aku bersama mereka di dalam peperangan berkenaan. Kami mencari Jaafar dan kami dapati beliau di antara yang terbunuh syahid. Kami melihat pada jasadnya lebih sembilan puluh liang tikaman dan tetakan yang telah disebut dalam riwayat al-Umri dari Nafi’. Dan kami telah mendapati kesemuanya itu dari sebelah hadapan jasadnya.

Ketika Jaafar gugur syahid selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam lantas disambar oleh Abdullah bin Rawahah. Kemudian beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 275-276).

Jangan memijak bendera

Ini kerana memijak bendera sendiri seolah-olah tidak menghormati negara kita sendiri. Dalam kisah perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia, sebagai petanda setiap pemimpin dari sudut susunan kedudukan yang ditetapkan, maka dilihat di bawah kakinya bendera masing-masing. Tiba-tiba Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengambil bendera negaranya Turki dan menyimpan dalam sakunya. Peristiwa ini memaknakan betapa sensitifnya seseorang yang memahami tentang bendera masing-masing.

bendera malaysia
Sumber gambar : MKN

Memacakkan bendera pada tempat yang tinggi

Pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1485 Masihi bersamaan 857 Hijrah berjaya selepas hampir 54 hari dikepung. Akhirnya panglima tentera Turki, Hasan Ulubatli telah memacak bendera di tembok tertinggi kerajaan Konstantinopel sekaligus memarakkan lagi semangat tentera Uthmaniyah pada ketika itu.

Jangan sekali-kali memasang bendera secara terbalik

Ini akan memberi banyak maksud serta persepsi yang tidak baik sama ada ketidakcaknaan dan keprihatinan kedudukan bendera itu sendiri. Tidak kira ianya secara sengaja atau dibuat dengan tidak sengaja, jika ianya didapati dalam keadaan terbalik, haruslah segera dibetulkan kedudukan bendera Malaysia kesayangan kita itu.

Menggantikan bendera yang lusuh dengan yang baru

Ini kerana ia merupakan lambang sesebuah negara yang perlu dihormati. Makanya bendera yang lusuh, carik, rosak dan koyak akan menunjukkan rakyat yang kurang prihatin terhadap lambang negara iaitu bendera yang sebenarnya bukti kasih dan cinta kita kepada negara.

Penutup

Adalah penting agar Bendera Malaysia dijaga dan dihormati sebaik mungkin oleh semua masyarakat. Meskipun kita negara berbilang bangsa, kaum dan agama, namun kesatuan terhadap menjaga dan menghormati Bendera Malaysia haruslah menjadi satu. Iaitu masing-masing memainkan peranan agar segala kedaulatan negara tercinta ini dijaga hingga ke akhirnya.

Selain berkenaan isu negara, laman rasmi Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga adalah satu platfom menyediakan pelbagai ilmu berkaitan keagamaan termasuk hukum hakam, perbezaan mazhab, kekeliruan, adat dan budaya serta banyak lagi. Justeru, bagi wanita yang belum lagi menggantikan puasa, boleh rujuk juga artikel berkenaan hukum gabung puasa sunat dan ganti dalam satu hari. Selain sibuk dengan urusan dunia, jangan kita lalai membuat ibadah wajib kerana tidak lama lagi kita akan kembali menemui Ramadan.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More