Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Adakah Bidang Perakaunan Masih Releven Dalam Pasaran Kerja Untuk 10 Tahun Akan Datang?

Bidang Perakaunan merupakan satu cabang Sains Matematik yang berguna didalam mencari punca kejayaan dan kegagalan di dalam perniagaan.

Prinsip-prinsip perakaunan diaplikasi di dalam entiti perniagaan dalam tiga bahagian seni gunaan, dinamakan

  1. Perakaunan.
  2. Simpan Kira.
  3. Pengauditan.

Tetapi adakah anda pernah terfikir, bidang Perakaunan ini akan masih lagi relevan dalam pasaran kerja dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Hal ini disebabkan pekerjaan berkaitan bidang Perakaunan antara kerjaya yang dijangka lenyap susulan kemunculan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI).

Malah AI turut didakwa mampu menggantikan hingga 300 juta jenis pekerjaan yang lain termasuk jurutera perisian, kewartawanan, penganalisis pasaran dan sebagainya.

Isi Kandungan

Adakah Bidang Perakaunan Masih Releven Untuk Dipelajari?

Bagi Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Profesor Madya Dr Tuan Zainun Tuan Mat, beliau menyifatkan banyak kerjaya termasuk akauntan tetap kekal relevan pada masa hadapan.

Bagi akauntan katanya, dengan mengambil kira fungsi dan peranannya dimensi kerjaya itu masih sangat luas. Katanya, antara tugas penting akauntan adalah memastikan perancangan kewangan organisasi dilaksanakan dengan baik termasuklah

  • membuat audit kewangan,
  • laporan jangkaan keuntungan syarikat,
  • pemantauan perbelanjaan kewangan,
  • mengira dan membuat pembayaran cukai, serta
  • mengaudit laporan kewangan.

Bidang Perakaunan

“Fungsi-fungsi ini adalah tunjang utama, jadi teknologi digital seperti AI tidak boleh menggantikan fungsi seorang akauntan, tetapi lebih kepada menyokong tugas seorang akauntan. Teknologi AI mempunyai keupayaan yang tinggi dan berkembang dengan sangat cepat, hasil dikeluarkan tepat, boleh ditukar ganti dan dalam keadaan tertentu, berupaya mengatasi kemampuan manusia. Bagaimanapun, sistem ini tidak setara untuk mengatasi kebijaksanaan manusia,” katanya.

Keperluan Akauntan Bertauliah Dalam Industri Masih Tinggi

Susulan itu katanya, sehingga kini masih terdapat keperluan yang tinggi terhadap akauntan profesional. Malah kerajaan menyasarkan 60,000 akauntan profesional diperlukan sehingga tahun 2030. Bagi akauntan bertauliah pula katanya, jumlah sedia ada adalah kurang daripada 70 peratus daripada sasaran.

Tuan Zainun menegaskan, meskipun perkembangan AI agak pantas tetapi penggunaan teknologi itu di dalam bidang Perakaunan masih di peringkat awal. Apatah lagi katanya, tugas-tugas akauntan yang memerlukan kemahiran insaniah seperti membuat keputusan dan perancangan strategi kewangan, tidak dapat dilakukan oleh AI sepenuhnya kerana akauntan perlu menstruktur dan menganalisis data.

“Di negara ini saja, terdapat lebih daripada sejuta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), jadi ia menunjukkan keperluan kepada perkhidmatan akauntan yang menawarkan fungsi ‘konvensional’ masih tinggi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan kerjaya akauntan kekal relevan, program atau bidang Perakaunan yang ditawarkan di universiti juga perlu disemak dan dibangunkan dengan mengambil kira perkembangan teknologi terkini. Misalnya, baru-baru ini, Jabatan Pendidikan Tinggi bersama Majlis Dekan Perakaunan Malaysia mengeluarkan Halatuju 4 Program Perakaunan (HT4) bagi menggantikan Halatuju Program Perakaunan yang sedia ada (HT3).

Fokus utama HT4 adalah untuk mengatasi kelemahan kurikulum dengan mengambil kira perkembangan teknologi terkini selain memfokuskan kepada pembentukan insan di dalam kurikulum.

Bidang Perakaunan Diiktiraf Sebagai Satu Bidang Yang Kompetitif Di Malaysia

Katanya, berdasarkan data dari Kementerian Pengajian Tinggi pada bulan Oktober 2022, bidang Perakaunan diiktiraf sebagai satu bidang yang mempunyai kadar kompetitif tertinggi di Malaysia. Malah, jurusan perakaunan katanya bukan hanya melahirkan akauntan, tetapi turut boleh berkhidmat di bahagian

  • sumber manusia,
  • pengurusan strategik,
  • pengurusan risiko, dan lain-lain.

Bagi Ketua Program Perakaunan dan Kewangan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi , Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Zaidi Mad Daud, menyifatkan bidang perakaunan masih lagi relevan dan kerjaya dalam bidang ini masih menjaminkan masa depan yang cerah. Bagaimanapun, katanya peluang kerjaya sebagai akauntan secara amnya banyak bergantung kepada perkembangan ekonomi semasa negara.

Universiti Perlu Memastikan Graduan Berupaya Mengikuti Keperluan Semasa Industri

“Apa yang perlu dibuat oleh universiti ialah memanfaatkan faedah dan peluang yang disediakan oleh teknologi AI ini bagi memastikan graduan yang dihasilkan berupaya berubah mengikut keperluan industri. Kurikulum Program Perakaunan di UPM contohnya, sudah disesuaikan bagi membolehkan graduan bukan hanya mempunyai kemahiran berkaitan teknologi tetapi juga pengurusan dan analitik yang tidak dapat dilaksanakan oleh teknologi AI. Jadi, graduan bukan hanya dilatih dan dilengkapi ilmu pengetahuan sebagai profesional kewangan tetapi juga sebagai rakan strategik dan konsultan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan pengalaman Persatuan Juruteknik Perakaunan (AAT) terkemuka di United Kingdom, kursus perakaunan antara yang masih tidak diancam oleh AI memandangkan ia kekal mendapat permintaan tinggi di Malaysia berikutan dilengkapi dengan kemahiran kewangan yang kukuh.

Wakil AAT di Malaysia, Mei Yoke Pak, berkata Malaysia diiktiraf sebagai hab yang berkembang maju untuk akauntan memiliki kemahiran dan kepakaran mereka. Justeru katanya, program yang ditawarkan AAT dalam perakaunan dan kewangan menawarkan gabungan dinamik pengalaman praktikal dan latihan komprehensif. Hal ini penting bagi memastikan perakaunan kekal menjadi kerjaya profesional.

“Penekanan utama adalah bagaimana menyesuaikan diri dengan teknologi AI dan kekalkan sentuhan manusia. Kerana itu kita perlu akauntan yang mahir dan Malaysia akan kekal di barisan hadapan dalam profesion perakaunan, bersedia untuk pertumbuhan dan kejayaan yang mampan,” katanya.

Permintaan Untuk Akauntan Bertauliah Kekal Tinggi Dalam Industri

Jelasnya lagi, permintaan untuk akauntan bertauliah diunjurkan kekal teguh dan berpotensi meningkat pada tahun-tahun akan datang, tanpa mengira turun naik dalam perniagaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Permintaan untuk akauntan kekal tinggi termasuk di negara-negara kaya seperti Singapura, China, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana peranannya dalam menawarkan nasihat kewangan, menilai kedudukan kewangan pelanggan dan memberi penekanan yang lebih besar pada analitik. Akauntan mahir sangat dicari, banyak peluang tersedia dalam industri, termasuk keupayaan untuk meneroka prospek kerja di negara yang berbeza,” katanya.

Credit Sumber: Berita Harian

Diharapkan dengan perkongsian isu kerelevanan Bidang Perakaunan ini dapat memberi manfaat kepada anda semua di luar sana terutamanya bagi anak-anak muda yang mempunyai minat dan bercita-cita untuk menjadi seorang Akauntan yang profesional suatu hari nanti.

Seterusnya, anda juga boleh dapatkan lagi info yang terkini dan menarik di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala informasi yang tepat dan sahih untuk anda.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More