DSKP KSSR Semakan Bahasa Melayu SJK Tahun 5
DSKP KSSR Semakan Bahasa Melayu SJK Tahun 5 ini merupakan dokumen yang sangat
penting dalam perancangan Pengajaran dan Pembelajaran.
Sebelum itu, jom sertai kami DI SINI untuk mendapatkan bahan-bahan pendidikan dan informasi terkini lagi terbaik dari semasa ke semasa.
Isi Kandungan
DSKP Bahasa Melayu SJK digunakan mulai tahun 2021 pada peringkat sekolah rendah Tahun 5.
Dunia pendidikan yang sangat dinamik dalam arus globalisasi menuntut perubahan dalam kurikulum. Seiringan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil inisiatif menyemak dan melakukan penambahbaikan dalam kurikulum termasuklah Kurikulum Bahasa Melayu yang turut melalui proses semakan dan penambahbaikan dalam penggubalannya.
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang didokumenkan sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu mengandungi Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi. Pernyataan standard ini merupakan pernyataan yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang mesti dipelajari dan dikuasai oleh murid di sekolah rendah.
MATLAMAT Bahasa Melayu SJK
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.
OBJEKTIF KURIKULUM BAHASA MELAYU TAHUN 5
Objektif Kurikulum Bahasa Melayu Tahun 5 KSSR mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:
- Mendengar, mengecam sebutan, menyebut, memahami, mentafsir, dan memberikan respons secara kritis dan kreatif.
- Bertutur untuk menyatakan pertimbangan dan keputusan secara bertatasusila.
- Menghuraikan maklumat yang tersurat dan tersirat secara kritis dan kreatif.
- Bersoal jawab untuk menjana idea dan menghasilkan idea baharu.
- Bercerita dan menceritakan sesuatu perkara dengan sebutan yang betul, intonasi dan gaya yang sesuai.
- Membaca dan memahami teks serta bahan multimedia untuk membuat pertimbangan dan keputusan.
- Membaca, meneliti kandungan teks untuk membuat rumusan, dan mempersembahkan karya sastera dan bukan sastera dengan pelbagai bentuk gaya penyampaian.
- Menulis perenggan dalam bentuk tulisan berangkai.
- Membina dan menulis pendapat daripada bahan multimedia, menulis alasan secara kritis dan kreatif, mencatat maklumat dan menulis teks yang diimlakkan.
- Mendraf, mengedit, memurnikan, dan menghasilkan penulisan berformat dan tidak berformat.
- Bercerita, melagukan syair dan menyatakan idea keseluruhan syair serta mendeklamasikan sajak serta menyatakan maksud sajak.
- Mengubah suai puisi dan cerita dengan bahasa yang indah dan santun serta mengubah suai seni kata lagu dengan diksi yang sesuai, dan mempersembahkan dengan gaya yang kreatif.
- Menghasilkan dan mempersembahkan seni khat.
- Memahami dan menggunakan kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas, penjodoh bilangan, kata berimbuhan, kata majmuk, dan kata ganda mengikut konteks.
- Memahami dan membina ayat tunggal, ayat majmuk, ayat seruan, ayat perintah, ayat aktif, ayat pasif, ayat susunan biasa, dan ayat susunan songsang.
FOKUS
Pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah berfokus pada kemahiran literasi (konsep kembali kepada asas) dan aplikasi bahasa. Kemahiran asas literasi memberi penekanan kepada murid-murid Tahap I (Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3) untuk menguasai sepenuhnya asas kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta dilaksanakan sepenuhnya dalam PdP secara terancang.
Pada Tahap II (Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6) pula, pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu memberi penekanan kepada pengukuhan literasi dan aplikasi kemahiran bahasa supaya mereka lebih berketerampilan berbahasa dalam bentuk lisan dan bertulis.
Melalui penguasaan kemahiran mendengar dan bertutur, murid dapat berkomunikasi dalam pelbagai situasi dengan lebih berkesan, manakala melalui kemahiran membaca, murid dapat meningkatkan kosa kata, memperoleh dan memproses maklumat serta dapat memupuk minat membaca. Penguasaan kemahiran menulis pula, murid dapat mengaplikasikan maklumat dalam pelbagai bentuk penulisan bagi menyampaikan idea mereka.
Fokus juga diberikan dalam penguasaan tatabahasa yang baik bagi membantu murid berkomunikasi dengan menggunakan sistem bahasa yang betul dan menghasilkan penulisan yang berkualiti dan kreatif. Manakala dalam aspek Seni Bahasa pula, murid dapat mengapresiasikan keindahan bahasa Melayu melalui pelbagai teknik kemahiran bahasa yang santai dan menyeronokkan.
Penekanan aktiviti PdP dan penggunaan pelbagai bahan yang menarik secara didik hibur bagi semua kemahiran dan aspek ini dapat membantu murid menguasai dan menghayati pembelajaran bahasa dengan lebih berkesan.
MUAT TURUN DSKP KSSR SEMAKAN BAHASA MELAYU SJK TAHUN 5
Sekian, semoga perkongsian daripada admin pada kali ini iaitu DSKP KSSR Semakan Bahasa Melayu SJK Tahun 5 memberikan informasi terkini kepada anda semua . Jom sertai kami DI SINI untuk mendapatkan bahan-bahan pendidikan dan informasi terkini lagi terbaik dari semasa ke semasa.