Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Lebih 15,000 PKS Terpaksa Tutup Perniagaan

Lebih Ramai Pengusaha Kecil dan Sederhana Menutup Perniagaan

PUTRAJAYA: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menganggarkan lebih 15,000 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) terpaksa menutup perniagaan masing-masing selepas setahun penularan COVID-19 di negara ini.

lebih

Presidennya, Mohammad Sahar Mat Din, berkata kebanyakan PKS yang berdaftar dalam DPIM itu kini sudah tidak mampu meneruskan perniagaan masing-masing walaupun kerajaan kini sudah membenarkan aktiviti perniagaan beroperasi.

“Ada antara PKS ini menjual produk makanan, namun mereka juga tidak mampu mempertahankan perniagaan kerana sambutan diberikan kini tidak serancak sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

“Secara keseluruhannya, sektor runcit atau makanan lebih terjejas teruk. Ramai yang tidak mampu bangkit untuk membuka semula perniagaan mereka.

“Susulan itu, DPIM terpaksa mengambil inisiatif lain untuk membantu PKS termasuk membuka plaform jualan secara dalam talian,” katanya selepas Konvensyen Islamik Digital, di Shaftsbury Putrajaya, di sini, hari ini.

Mohammad Sahar berkata, menerusi platform e-dagang yang diperkenalkan pihaknya itu, ia secara tidak langsung dapat memberikan lebih galakan kepada PKS untuk terus berniaga walaupun secara kecil-kecilan.

“Malah, melalui platform itu juga kita dapat membantu nelayan menjual ikan secara dalam talian. Hasil tangkapan mereka dihantar terus sehingga depan rumah.

“Ini dilihat satu kebangkitan baharu kepada nelayan kerana sebelum ini mereka banyak dieksploitasi oleh peraih,” katanya.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: KerjayaGig PERKESO

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More