Sumber Rujukan Globalisasi Anda

10 Tahun Bergelap Tanpa Bekalan Elektrik

Bekalan elektrik dipotong sejak 10 tahun. Sudah hampir 10 tahun rumah tujuh beranak dari Kampung Pangkal Ketereh, di sini tiada bekalan elektrik dan hanya menggunakan pelita dan lilin untuk menerangi rumah setiap malam selepas bekalan dipotong apabila mereka tidak mampu membayar tunggakan bil sebanyak RM2,300.

Bagi Mohd Asrul Husin, 43 dan isteri, Rozila Mohd Arifin, 34, serta lima anak, mereka terpaksa terima keadaan itu kerana pendapatannya sebagai tukang rumah hanya cukup untuk belanja makan minum tetapi tidak cukup untuk membayar tunggakan bil bagi penggunaan 2007-2010.

HANYA MENUMPANG BEKALAN ELEKTRIK YANG DISAMBUNG DARI RUMAH SEPUPU

“Mujurlah, sejak lima tahun lalu, ada sedikit cahaya pada waktu malam apabila sepupu yang bersimpati membenarkan kami guna bekalan elektrik yang disambung dari rumahnya. Kami hanya guna elektrik itu pada waktu malam untuk lampu dan kipas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Mohd Asrul berkata, sepupunya tidak meminta bayaran kerana memahami keadaan keluarganya namun jika ada wang lebih, dia akan membayar mengikut kemampuan.

Ruang dalam rumahnya juga kelihatan agak kosong tanpa sebarang peralatan elektrik kecuali satu kipas berdiri dan sebaik ditanya, Mohd Asrul hanya menjawab tiada keperluan untuk membeli kelengkapan lain termasuk televisyen kerana bimbang tidak mampu untuk membayar bil elektrik nanti.

“Hidup saya dan isteri serta lima anak berusia tiga hingga 13 tahun hanya kais pagi makan pagi. Sekarang kerja juga tidak menentu. Sebab itulah tak mampu bayar tunggakan bil,” katanya.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang akan cuba memberi bantuan kepada keluarga Mohd Asrul untuk menjelaskan tunggakan bil bagi membolehkan keluarga itu kehidupan lebih baik.

Sumber : BERITA HARIAN

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More