Sumber Rujukan Globalisasi Anda

10 Tokoh Anak Muda Malaysia Yang Diiktiraf Dunia

10 tokoh anak muda Malaysia yang diiktiraf dunia. Kisah kejayaan anak muda Malaysia selalu menjadi kebanggaan buat kita rakyat Malaysia. Saban tahun kita semestinya akan dikejutkan dengan berita gembira tentang kejayaan anak jati Malaysia. Mereka berjaya jadi juara dunia memahat nama dalam sejarah manusia. Persoalannya, mampukah mereka menjadi motivasi buat kita?

Jom kita ikuti sedikit sebanyak ringkasan mengenai kisah kejayaan 10 tokoh anak muda Malaysia yang diiktiraf dunia.

Isi Kandungan

SEJARAH RINGKAS MENGENAI KEJAYAAN 10 TOKOH ANAK MUDA MALAYSIA YANG DIIKTIRAF DUNIA

1. Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Sepanjang Zaman (The World Games Greatest Athlete of All Time).

 

Datuk Nicol Ann David tercalon dalam senarai `Atlet Terhebat Sepanjang Masa’ oleh  Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa, International World Games Association. Datuk Nicol, 37 tahun, pemain kelahiran Pulau Pinang adalah satu-satunya orang Malaysia dan Asia yang berada dalam senarai, yang mempunyai 24 atlet masa lalu dan sekarang dari pelbagai sukan yang dicalonkan oleh persekutuan antarabangsa berkenaan. Nicol memenangi tiga pingat emas dan gangsa di The World Games antara tahun 2005 hingga 2017. Dia juga merangkul lapan gelaran Kejuaraan Dunia dan sembilan tahun mempertahankan gelaran pemain nombor satu dunia. Nicol dilantik sebagai duta program pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Malaysia pada tahun 2002, dan dia telah menubuhkan yayasannya sendiri untuk membolehkan gadis-gadis muda mengikuti sukan sebagai alat untuk membantu mereka merealisasikan potensi penuh mereka.

10 tokoh anak muda Malaysia

2. Azizulhasni Awang kini merupakan pelumba basikal No 1 dunia (Individual Sprint) dan No 2 dunia (Keirin) dalam ranking UCI.

 

Ikon berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih suntikan semangat selepas menghuni kedudukan teratas dalam ranking dunia acara pecut individu. Berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Azizul yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu mengumpul 1,600 mata untuk berada di tangga teratas. Dalam acara keirin, Mohd Azizulhasni berada pada kedudukan kedua setelah meraih 1,740 mata di belakang Kevin Quintero dari Colombia yang mengumpul 1,790 mata. Bagi kategori pecut individu, rakan seperjuangan Mohd Azizulhasni, iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada di tangga ke-18 dunia dengan 922.5 mata, Muhammad Fadhil Mohd Zonis pada kedudukan ke-103 dengan 237 mata, manakala Amar Danial Masri di tempat ke-248 selepas meraih 75 mata.

10 tokoh anak muda Malaysia

3. Ruslin Tamsir, jurutera tempatan yang mencipta pembesar suara kereta McLaren Senna. Ciptaaan beliau telah mendapat paten dari Pejabat Paten Eropah (EPO).

 

Pembesar suara unik itu dibangunkan kerana syarikat kereta berkenaan mahukan satu bentuk ‘penutup’ speaker yang kelihatan seperti ia bercantum terus dengan kotak speaker fiber karbon di pintu kereta itu, bagaikan langsung tidak kelihatan sambungannya, tanpa menjejaskan nilai estetika kereta dan pada masa yang sama memastikan pengalaman audio yang hebat. Reka bentuknya mungkin kelihatan ‘simple’, namun sebenarnya banyak perkara kompleks yang perlu diambil kira dalam melindungi pembesar suara daripada sebarang kerosakan, memasang pembesar suara di sudut yang sempit dan memberikan hasil bunyi terbaik. Ruslin telah menerbitkan paten yang tidak boleh ditiru, digunakan, diedarkan, diimport, atau dijual, secara komersial oleh orang lain tanpa persetujuannya. Sentuhan anak Malaysia pada kenderaan Mclaren Senna bukanlah satu-satunya kejayaan Ruslin kerana beliau juga pernah bekerja dalam projek-projek yang melibatkan syaikat automotif antarabangsa yang lain termasuk BMW, Mini, dan Volvo.

kejayaan anak muda negara

4. Hakeem Mohamad Akmal, pelajar jurusan perakaunan UiTM berjaya mendapat gelaran tertingi di Malaysia dan dunia oleh ACCA yang berpangkalan di United Kingdom pada tahun 2019.

Pelajar program Certified Accounting Technician (CAT), Hakeem Mohammad Akmal, 18, yang merupakan seorang pelajar Fakulti Perakaunan UiTM layak dianugerahkan gelaran tertinggi di Malaysia dan dunia apabila memperoleh skor 100 peratus bagi kertas Recording Financial Transactions (FA1). Hakeem telah melanjutkan pengajian di UiTM selepas memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan meneruskan kecemerlangannya di universiti apabila memperoleh skor tertinggi dalam peperiksaan FA1 walaupun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam mata pelajaran perakaunan sebelum in. Sementara itu, Hakeem menyifatkan interaksi antara pelajar dan pensyarah adalah sangat penting bagi menjadikan proses pembelajaran lebih berkesan. Hakeem tetap menjalani aktiviti bersama rakan seperti menonton filem dan bersukan namun meletakkan batasan serta memantau kegiatannya supaya dapat seimbang dengan pelajaran. Beliau juga seorang yang suka bertanya ketika berada dalam kelas. Beliau turut menyatakan perancangannya untuk melanjutkan pengajian di ACCA setelah menamatkan program CAT bagi meneroka kerjaya dalam bidang percukaian kerana dilihat mencabar serta mempunyai peluang pekerjaan yang luas di Malaysia.

10 tokoh anak muda Malaysia

5. Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan ke-9 dunia manakala Putera Aiman mendapat tempat pertama dan kedua dunia bagi peperiksaan FA2 pada tahun 2020.

Pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA dan Putera Aiman Abdul Rashid, 19, pelajar semester akhir program CAT melakar kecemerlangan apabila tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember lepas. Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA) manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama dan kedua dunia bagi peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2). UiTM merupakan universiti awam pertama di Malaysia menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011 dan terus berperanan sebagai institusi pengajian awam utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk menghasilkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.

6. Dr. Eliesmaziah, pemegang PhD Biomaterial & Biomedical Engineering mencipta tudung bagi kegunaan polis wanita Muslim di United Kingdom.

 

Dr. Eliesmaziah, 45, pemegang PhD Biomaterial & Biomedical Engineering bukan sahaja merupakan pemilik kepada tudung sukan jenama ‘MoreSlim’ tetapi juga merupakan pemilik, pengasas dan penyelidik bagi ‘Instant Hijab UK’. Semuanya bermula apabila Dr Elies mengambil langkah kanan ketika berjumpa beberapa polis ketika satu pameran di UK. Beliau merasakan bahawa material pakaian seragam mereka tidak sesuai untuk anggota polis lalu berbincang dengan mereka dan daripada situ bermulalah perbincangan beliau dengan pihak atasan. Menurut Dr. Elies, tudung rekaannya lain dari segi reka bentuknya, ciri-ciri keselamatan dan yang paling penting komposisi fabriknya yang direka khas, ada pengesahan ISO, EN dan AATCC malah sangat selesa dipakai untuk waktu yang panjang, lama atau dalam keadaan tertekan.

kejayaan anak muda negara

7. Dr Farah Roslan mencipta tudung pakai buang pertama yang bakal digunakan di hospital-hospital seluruh United Kingdom.

 

Dr Farah Roslan, seorang wanita Malaysia yang merupakan seorang doctor di United Kingdom, mencipta tudung pakai buang bebas kuman pertama di UK, untuk kegunaan pengamal perubatan. Farah Roslan berkata idea penciptaan tudung berkenaan mula timbul ketika melakukan latihan di Royal Derby Hospital. Farah berkata tudung biasa membataskan penglibatannya di bilik bedah. Bagi menjamin keselamatan pesakit, keadaan itu telah memberi motivasi kepada Farah yang merupakan doktor pelatih, untuk mencipta tudung pakai buang bebas kuman. Penghasilan tudung itu mengambil kira keperluan di bilik pembedahan dan syariat Islam. Farah yang kini bekerja di Lincolnshire, berharap tudung ciptaannya akan diiktiraf dan seterusnya boleh digunakan di seluruh hospital di United Kingdom. University Hospital of Derby dan Burton NHS Trust dalam kenyataan berkata, tudung ciptaan rakyat Malaysia itu sudah mula digunakan buat pertama kalinya pada awal Disember lalu.

kejayaan anak muda negara

8. Saintis negara Dr Nur Adlyka Ainul Annuar dan pasukannya di NASA berjaya menemui satu lohong hitam supermasif atau raksasa dalam galaksi NGC 1448.

 

Nur Adlyka Ainul Annuar, pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) berusia 27 tahun dari Muar merupakan sebahagian daripada pasukan dalam penemuan bukti kewujudan lubang hitam yang amat besar di galaksi, terletak kira-kira 38 juta tahun cahaya dari Bumi. Beliau membentangkan penemuan pasukannya dalam satu kertas kerja bertajuk “Black Holes, Green Galaxies, Old Stars & NuSTARs” pada mesyuarat Persatuan Astronomi Amerika ke-229. Pasukan itu menggunakan maklumat daripada Teleskop Spektroskopi Nuklear (NuSTAR) di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dengan menumpukan satu galaksi bernama NGC 1448, di mana bukti lubang besar hitam ditemui. Bercakap mengenai penemuan berkenaan, Nur Adlyka berkata, NGC 1448 merupakan salah satu lubang besar hitam yang paling banyak dikaburi sehingga kini. Nur Adlyka yang kini sedang melanjutkan pengajiannya dalam PhD bagi Astrofizik di Pusat Ekstragalaksi Astronomi di Universiti Durham di United Kingdom.

 

9. Jocelyn Yow rakyat kelahiran Malaysia yang dilantik sebagai datuk bandar wanita bukan rakyat USA termuda pada usia 25 tahun di California, USA.

 

Seorang wanita yang memiliki susur-galur dari Malaysia, mencipta sejarah apabila menjadi wanita bukan kulit putih paling muda dilantik sebagai datuk bandar di California, Amerika Syarikat (AS). Jocelyn Yow, 25, dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale, sebuah bandar di wilayah Riverside, California, selepas berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandar Eastvale pada tahun 2018 dan menyandang jawatan datuk bandar sementara sejak tahun lalu. Jocelyn adalah anak kepada pasangan imigran di AS. Ibunya dari Vietnam, manakala bapanya berasal dari Malaysia dan datang ke AS pada 1980-an untuk melanjutkan pengajian. Beliau bersama ibu bapanya berpindah ke Malaysia pada 1996 apabila datuknya menghidap kanser dan tinggal di negara ini lebih 10 tahun, sekali gus membolehkan wanita itu mempelajari budaya dan warisan Malaysia.

10 tokoh anak muda Malaysia

10. Samuel Isaiah, seorang guru berbangsa India yang berjaya menjadi finalis untuk anugerah berprestij Global Teacher Prize 2020 hasil usaha beliau mengajar anak orang asli di kawasan pedalaman Pahang.

 

Samuel Isaiah mengundang perhatian ramai susulan khidmatnya terhadap masyarakat Orang Asli, dinamakan antara 10 finalis untuk anugerah Global Teacher Prize 2020. Anugerah yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2015 itu anjuran Yayasan Varkey dengan kerjasama Unesco itu menawarkan hadiah utama AS$1 juta (RM4.4 juta) kepada guru “luar biasa” yang memberikan sumbangan besar dalam profesion mereka. Mesra dipanggil Teacher Sam di kalangan muridnya, Samuel mula mendapat perhatian ramai selepas berperanan meningkatkan prestasi akademik murid Orang Asli di SK Runchang, di Muadzam Shah, Pahang. Disebabkan itu dia diberikan Anugerah Guru Adiwira oleh Kementerian Pendidikan pada 2018. Tahun lalu dia mengambil cuti untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Dasar Pendidikan dan Kepemimpinan di State University of New York di Albany. Sebagai pemegang biasiswa Fulbright, dia juga berhasrat untuk memainkan peranan dalam dasar pendidik Orang Asli.

PENUTUP

Akhir kata, semoga perkongsian kali ini yang berkaitan dengan 10 Tokoh Anak Muda Malaysia Yang Diiktiraf Dunia dapat memberi manfaat serta inspirasi buat kita semua. Untuk maklumat lanjut mengenai isu-isu semasa sila layari laman web https://www.tcer.my/

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More