Sumber Rujukan Globalisasi Anda

12 Kes VIP Langgar SOP Disiasat Oleh Polis

Kes VIP Disiasat Oleh PDRM

vip

SEREMBAN: Polis telah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan melibatkan 12 kes orang kenamaan (VIP) yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, daripada jumlah tersebut dua daripadanya tiada tindakan lanjut (NFA), tiga masih lagi dalam tindakan manakala selebihnya telah membayar kompaun.

“Semua kes (VIP) yang kami terima dan dimaklumkan dan telah ada laporan, pihak polis jalankan siasatan. Di peringkat awal iaitu ketika PKP mula berkuat kuasa, sebanyak 12 kes telah kami buka (kertas siasatan), ada dalam kalangan VIP itu telah dikompaun dan membayarnya.

“Ada juga kes yang kami buka telah NFA atas sebab tugas-tugas rasmi dan mengikut SOP yang telah ditetapkan, lain-lain kes masih lagi dalam tindakan kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Katanya, terdapat tiga kes baharu yang diterima dan diambil tindakan oleh pihak polis iaitu melibatkan majlis perkahwinan anak perempuan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Seremban dan lawatan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke sebuah kem tentera di Sendayan.

Jelasnya, satu kes lagi adalah acara kayuhan basikal yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kajian Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin di ibu negara.

“Ketiga-tiga ini dalam tindakan kami, seperti sedia maklum untuk kes melibatkan (Datuk) Zuraida, kenyataan telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Brickfields yang menyatakan pematuhan SOP telah dilaksanakan. Kami akan merakam percakapan Ketua Polis Daerah Brickfields itu sendiri bagi mengesahkannya.

“Bagi kes melibatkan (Datuk Seri) Ismail Sabri, kami juga akan merakam (percakapan) penganjur majlis tersebut, kita tengok daripada laporan media, itu adalah lawatan rasmi tapi kerana sudah ada laporan, kami akan merakam (percakapan),” katanya.

Tambahnya, bagi kes majlis perkahwinan di Seremban, pihak polis juga telah merakam percakapan pihak hotel yang menjadi lokasi majlis yang berlangsung pada 14 Mac itu.

“Kami akan semak sekiranya berlaku pelanggaran SOP, pegawai yang menyiasat akan buat laporan dan pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kenyataan daripada pihak hotel tersebut telah diambil semalam (kelmarin) dan kenyataan pihak-pihak lain juga akan dirakam,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Safe@Work Miti, SPIN TEKUN 

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More