Sumber Rujukan Globalisasi Anda

KPDNHEP dedah usahawan salah guna istilah francais

Pendedahan Penyalahgunaan Istilah Francais daripada KPDNHEP

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan kegiatan sesetengah usahawan menyalahgunakan istilah francais dan jualan langsung sebagai jalan mudah mengembangkan perniagaan mereka.

kpdnhep

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata walaupun aduan diterima tidak banyak, KPDNHEP memandang serius masalah itu dengan sebahagian pelaku sudah dikenakan tindakan mengikut Akta Francais 1988 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

“Selain itu, francaisor yang menekan francaisi mereka juga dikenakan tindakan. Jadi, jika ada masalah yang timbul termasuk perjanjian yang tidak ditunaikan, kita minta ia segera laporkan,” katanya selepas merasmikan program Industri Francais dan Jualan Langsung, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) 2021 peringkat negeri Melaka, di sini.

Berhubung kebimbangan usahawan menceburi bidang francais disebabkan kos tinggi, beliau berkata, pelaksanaan program Pembangunan Francais Makro dilihat boleh mengatasi isu itu, khususnya bagi golongan B40 dan M40 yang berhasrat menceburi sektor berkenaan.

“Kita mengadakan perbincangan bersama pemain industri yang berpotensi menawarkan pakej francais mampu milik yang relevan bernilai RM100,000 ke bawah dan francais mikro bernilai RM50,000 ke bawah.

“Inisiatif ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan B40 dan M40, selain menjana pulangan keuntungan kepada francaisor,” katanya.

Rosol berkata, mereka yang berminat merebut peluang berkenaan perlu berbuat demikian memandangkan setakat ini terdapat 11 jenama francais menawarkan pakej mikro dan mampu milik, seperti Arjuna Village, Ani Sup Utara, Taska Bonda Mama, KopieSatu, MD Putu Bambu World dan Ayam D’ Penyet.

Mengenai program jelajah francais berskala kecil Franchise Bay yang dilancarkan hari ini, beliau berkata, program bertujuan memberi pendedahan sistem perniagaan francais yang wujud di negara ini.

“Setakat ini terdapat 1,091 jenama francais berdaftar dengan 700 daripadanya adalah jenama tempatan.

“KPDNHEP menyasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi baharu dengan nilai potensi pelaburan RM7.5 juta pada pameran Franchise Bay sepanjang tahun ini yang juga akan diadakan di Terengganu, Johor, Pahang, Selangor, Kedah dan Sarawak,” katanya.

Sumber BERNAMA

Artikel lain: Sarawak Bantuan Ibu Bersalin RM450

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More