Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Proton Besarkan Kilang Pengeluaran Di Tanjung Malim

Besarkan Kilang Pengeluaran

CHUNRONG pada majlis pecah tanah pembinaan kilang pengeluaran di Tanjung Malim.

PROTON Holdings Bhd (Proton) memulakan proses pembesaran kilang pengeluarannya di Tanjung Malim yang dijangka siap pada suku ketiga tahun depan.

Apabila siap kelak, ia akan menempatkan kilang penghentakan baharu bersama dengan barisan pengeluaran yang sedia ada.

Proton dalam satu kenyataan berkata, penambahan kemudahan ini akan memberi sumbangan kepada barisan pengeluaran sedia ada kerana jentera hentakan superlarge yang akan diguna mampu meningkatkan kebolehan kumpulan.

“Lebih penting lagi, pengembangan ini adalah sebahagian rancangan kumpulan untuk menambah tahap penggunaan komponen tempatan bagi model sedia ada dan akan datang.

“Kumpulan melabur sebanyak RM200 juta bagi tujuan ini dan ia sebahagian daripada rancangan Proton untuk menaik taraf tahap kemudahan Tanjung Malim.

“Ia akan membolehkan pengeluaran panel badan yang lebih besar.

“Selain pelaburan itu, RM1.2 bilion sudah dibelanjakan untuk barisan pengeluaran yang baharu pada 2019,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, pelaburan itu juga seiring dengan strategi pengembangan dan rancangan masa depan kerana ia membolehkan pembuatan pelbagai model, selain meningkatkan strategi teknologi kerana kilang baharu itu menggunakan alatan dan sistem terkini.

“Walaupun kami berpuas hati dengan kemajuan kumpulan ketika ini, Proton perlu sentiasa bergerak ke depan. Penambahan kemudahan baharu ini adalah sebahagian daripada strategi memastikan kumpulan terus berkembang dan pada masa yang sama, menambah jumlah model bila ia diperlukan.

“Ini bermakna, kumpulan akan mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan pelbagai model, tetapi lebih penting lagi, kami akan mengeluarkan produk yang bertaraf tinggi dan mempunyai teknologi baharu,” katanya.

Prestasi Proton meningkat secara mendadak dalam tempoh tiga tahun lalu dengan melancarkan model baharu, menambah penguasaan pasaran, meningkatkan tahap kualiti dan merombak rangkaian pengedar.

Hasil daripada perubahan itu, kumpulan berjaya menyandang gelaran sebagai satu-satunya pengeluar kenderaan di Malaysia yang menambah jualan pada 2020.

Chunrong berkata, haluan dan perkembangan masa depan Proton adalah jelas dengan menjadikan Malaysia pasaran utama, tetapi mempunyai kebolehan untuk bersaing di luar negara.

Beliau berkata, kemudahan baharu itu adalah sebahagian kecil dalam perjalanan berkenaan, tetapi penting bagi membolehkan penambahan penggunaan komponen tempatan pada masa hadapan.

Ia juga, katanya, akan membolehkan Proton membabitkan lebih ramai vendor tempatan dalam proses pengeluarannya, sekali gus mengukuhkan ekosistem automotif tempatan.

Sumber Harian Metro

Artikel lain: UiTM Pulau Pinang agih bantuan Ramadan kepada 350 penerima

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More