Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Komando Gantikan Polis, Jika Banyak Songeh Kerana Bahaya Covid19

Komando Gantikan Polis? Susulan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berjalan dan sudah masuk hari ke-19, kita masih mendengar berita tentang individu-individu yang ditangkap kerana ingkar arahan PKP.

Penulis sendiri hairan, mentaliti sesetengah individu yang tidak ambil serius masalah Pandemik Covid-19 ini. Kerajaan suruh duduk di rumah, tapi masih ada yang keluar tanpa arah tujuan selain melepak, berkumpul dengan rakan-rakan.

Tiapkali dengar berita, pasti ada saja individu atau sekumpulan ‘insan keras kepala’ yang  ditangkap oleh pihak berkuasa. Banggakah dorang bila ditangkap masuk lokap gara-gara ingkar arahan PKP.

Bagi anda yang ikut arahan PKP, TAHNIAH. Sama-sama kita hentikan wabak Covid-19 ini dari terus merebak.#StayAtHome

Komando Gantikan Polis

KUALA LUMPUR – Pelanggaran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan oleh segelintir individu menyaksikan trend sikap rakyat Malaysia yang semakin terlalu individualistik.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila tindakan-tindakan tegas oleh polis yang didakwa menengking dan merotan individu-individu yang ingkar PKP dipersoalkan dan disiasat.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang kecewa dengan sikap rakyat Malaysia menyifatkan trend sikap ini sebagai tidak baik kerana Malaysia memerlukan kerjasama kolektif daripada semua pihak dalam membendung wabak Covid-19.

Menurutnya, individu-individu yang melanggar arahan PKP yang sudah memasuki fasa kedua seperti orang yang hilang akal kerana terlalu mementingkan kehendak sendiri hingga tidak peduli keselamatan rakyat terbanyak.

“Kerajaan melaksanakan PKP bersebab untuk membendung penularan wabak yang bahaya. Itu pun bukan tidak boleh keluar langsung tetapi jika ada keperluan. Jadi mengapa tidak boleh bekerjasama?.

“Saya dapati rakyat Malaysia sudah hilang norma-norma hidup bermasyarakat sebaliknya menjadi individu yang terlalu pentingkan diri sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang menyatakan rasa kecewa dan sedih apabila ada anggota polis disiasat kerana bertindak tegas kepada rakyat yang ingkar arahan kerajaan, khususnya ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang bergelut dan berjuang untuk menyelamat nyawa rakyat di negara ini.

“Kalau arahan polis yang menjaga keamanan negara pun tak mahu dengar, apa nak jadi? Saya juga amat sedih apabila ada anggota polis yang bertindak tegas pula disiasat.

“Ini satu isyarat yang tidak betul kepada masyarakat. Saya harap perkara ini dilihat semula secara berhati-hati. Kalau isu ini silap ditangani, rakyat Malaysia semakin banyak songeh,” tegasnya.

Melihat perkembangan mutakhir itu, Teo mencadangkan agar kerajaan menempatkan lebih ramai tentera komando sebagai barisan hadapan dalam mengawasi pergerakan rakyat.

Pendekatan ini bukan untuk menafikan peranan polis tetapi mengajar rakyat Malaysia lebih berdisiplin dan menghormati arahan terutama ketika situasi getir seperti hari ini.

“Polis selalu berada dalam masyarakat menyebabkan rasa takut rakyat kepada mereka walaupun yang berpangkat tinggi semakin berkurangan berbanding askar yang kurang berada dalam masyarakat.

”Selain itu, kedudukan askar dipandang secara simbolik sebagai benteng pertahanan negara. Warna, pakaiannya sahaja sudah menggerunkan rakyat, itu belum lagi mereka menjerit. Walaupun jika seorang prebet yang menjerit tiada siapa yang berani, apatah lagi menularkan video-video.

“Pada saya kalau dengan meletakkan askar dapat mendisiplin rakyat daripada bergerak, sekali gus dapat membendung penularan wabak ini, tidak ada salah kerajaan menempatkan askar-askar komando,” tambahnya.

Komando Gantikan Polis, Jika Banyak Songeh Kerana Bahaya Covid19 1
Komando Gantikan Polis

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More