Kenapa Kematian Mengejut Banyak Berlaku Sejak Akhir-Akhir Ini?

Sejak kebelakangan ini, banyak berita kematian mengejut yang berleluasa tidak kira usianya dengan mati secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas.
Oleh itu, berikut admin ingin kongsikan sedikit info mengenai sindrom mati mengejut yang kita semua perlu ambil tahu.
Isi Kandungan
Apa Itu Kematian Mengejut?
Kematian mengejut merujuk kepada kematian yang tidak dijangka, selalunya dalam jangka masa yang singkat, daripada sebarang sebab selain daripada keganasan dan ia sering digunakan untuk menggambarkan kematian akibat jantung, terutamanya kematian jantung mengejut, di mana kematian berlaku dalam masa sejam dari permulaan simptom atau dalam masa 24 jam selepas dilihat hidup.
Kematian Jantung Mengejut atau Sudden Cardiac Death (SCD) ialah jenis kematian mengejut khusus yang disebabkan oleh kehilangan aktiviti jantung secara tiba-tiba, selalunya disebabkan oleh aritmia yang membawa maut.
SCD sering berlaku disebabkan oleh penyakit arteri koronari yang mendasari, dengan aritmia ventrikel menjadi mekanisme biasa yang membawa kepada serangan jantung dan kematian.

Laporan Kematian Mengejut
Laporan Kematian Mengejut atau Sudden Death Report (SDR) adalah klasifikasi kematian yang digunakan oleh pihak polis dalam siasatan dan ia merujuk kepada kematian yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka, dan biasanya memerlukan siasatan lanjut untuk menentukan punca kematian.
SDR bukan bermaksud kes tersebut tidak disiasat, tetapi ia adalah satu kategori dalam siasatan kematian, selain daripada kes jenayah atau kematian akibat kemalangan jalan raya.
Meskipun diklasifikasikan sebagai SDR, kematian tetap disiasat oleh pihak polis. Siasatan ini mungkin termasuk bedah siasat (post-mortem) dan lain-lain langkah untuk menentukan punca kematian.
Kematian akibat serangan jantung yang berlaku secara tiba-tiba juga boleh diklasifikasikan sebagai SDR.
Jika hasil siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah, kes akan kekal sebagai SDR. Namun, jika terdapat bukti unsur jenayah, kes akan diklasifikasikan semula sebagai kes jenayah.
Punca Mati Mengejut
Kematian mengejut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, terutamanya berkaitan dengan masalah jantung dan saluran darah.
Beberapa punca utama termasuk penyakit jantung kongenital, seperti sindrom QT panjang dan kardiomiopati hipertrofi, serta masalah pembuluh darah jantung yang tidak normal.
Selain itu, tekanan darah tinggi yang tidak dirawat, merokok, dan masalah tidur seperti Obstructive Sleep Apnea (OSA) juga boleh meningkatkan risiko.
Berikut adalah beberapa punca kematian mengejut yang lebih terperinci, iaitu:
| Masalah Membabitkan Jantung | – Gangguan genetic seperti kardiomiopati hipertrofi (otot jantung tebal) dan menghalang aliran darah. – Apabila jantung berdegup semakin laju, laluan darah terhalang daripada di pam ke seluruh badan oleh pergerakan dinding otot jantung yang tebal. – Sindrom QT Panjang (sistem elektrik jantung menjadi tidak normal). – Gangguan irama jantung seperti sindrom Brugada (masalah genetik yang menyebabkan degupan jantung tidak teratur). |
| Tekanan Darah Tinggi (Hipertensi) | Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal boleh merosakkan jantung dan saluran darah, ini meningkatkan risiko serangan jantung dan strok. |
| Merokok | Perokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kematian mengejut akibat penyakit jantung. |
| Obstructive Sleep Apnea (OSA) | Gangguan tidur di mana pernafasan terhenti secara berkala semasa tidur, boleh meningkatkan risiko masalah jantung dan kematian mengejut. |
| Aktiviti Fizikal Berat Tiba-Tiba | Terutama bagi mereka yang tidak aktif untuk jangka masa yang lama, aktiviti fizikal yang intensif boleh mengejutkan sistem kardiovaskular dan menyebabkan kematian. |
| Tekanan Tinggi & Kurang Tidur | Faktor-faktor ini boleh memberi tekanan pada jantung dan meningkatkan risiko kematian mengejut. |
Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS)
Tahukah anda, lebih 80% kematian SADS di Malaysia disebabkan berkaitan jantung.
Hanya empat (4) minit untuk menyelamatkan seseorang daripada mati mengejut. Lebih daripada itu akan menyebabkan kerosakan pada sel otak.
43% kematian mengejut di seluruh Negara adalah dalam kalangan golongan muda berusia bawah 40 tahun.
Tanda-tanda serangan adalah seperti berikut:
- Sakit di bahagian dada, kiri lengan atau muka, sukar bernafas, boleh mendengar degupan jantung dengan jelas serta berpeluh.
- Berpeluh kerana badan berasakan dalam keadaan bahaya dan mengaktifkan saraf simpatik.
- Sakit di bahagian perut, pening kepala, loya dan muntah.
Perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala seperti ini.
Cara mengelak daripada perkara sebegini berlaku adalah kita perlu melakukan saringan berkala termasuk elektrokardiogram (ECG) atau memasang Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) dan menjaga pemakanan, bersenam, mengelakkan tekanan serta tidak merokok.
Apakah Mati Mengejut Termasuk Di Dalam Tanda-Tanda Kiamat?
Kematian merupakan satu kepastian bagi setiap insan yang bernyawa.
Ini kerana, Allah SWT telah menyatakannya di dalam Al-Quran secara jelas bahawa kematian itu akan datang kepada manusia dan ia tidak akan cepat atau lambat sesaat pun seperti firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.”
Surah Al-A’raf: 34
Terdapat hadis yang marfu’ daripada Nabi Muhammad SAW bahawa di antara tanda-tanda Kiamat adalah akan banyak berlaku kematian secara mengejut atau mendadak.
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَمَارَاتِ السَّاعَةِ … وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الْفَجْأَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya di antara tanda Kiamat … akan banyak berlakunya kematian secara mengejut.”
Berikut adalah doa yang kita boleh amalkan dalam kehidupan harian untuk meminta berlindung dari terlalu tua sehingga menjadi nyanyuk dan mati mengejut sehingga tidak sempat bertaubat atau mengucap Syahadah, iaitu:

Justeru, kita sebagai umat Islam amat disarankan untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT mengakhirkan hidup kita dengan pengakhiran yang baik.
Selain itu, menjadi kewajipan ke atas kita juga untuk sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu dengan Allah SWT dengan cara meningkatkan serta mempersiapkan sebanyak-banyaknya amal soleh.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Artikel Berkaitan: Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS).



