Sumber Rujukan Globalisasi Anda

ADAB YANG PERLU DI AJAR KEPADA ANAK SEDARI KECIL

Adab berasal dari perkataan Arab iaitu أدب yang memberi maksud perilaku dan perbuatan kebaikan, kesantunan, moral, sopan santun, kesusilaan, serta kemanusiaan. Sementara tafsiran skop dan perincian Adab mungkin berbeza dalam kebudayaan yang berlainan, kesamaan yang terdapat dalam tafsiran-tafsiran ini ialah penilaian keperibadian seseorang melalui kepatuhannya terhadap beberapa konteks. Justeru seseorang itu menunjukkan Adab dengan mempamerkan kelakuan dan kepandaian membuat pilihan yang betul.

Adab wajar dibentuk sejak usia muda daripada adab keluar masuk bilik ibu bapa dan pelbagai lagi.

Islam menjadi indah dan cantik bukan hanya kerana kekuatan ilmu tetapi juga adab baik yang ditampilkan oleh golongan muda. Sekiranya akhlak dan adab yang teladannya datang daripada Rasulullah SAW itu, tidak dibentuk sejak usia muda lagi, dibimbangi akhlak dan serta tingkah laku mereka akan menjadi buruk apabila sudah dewasa.

Adalah penting jika ilmu mampu melahirkan adab yang baik kerana ketiadaannya akan merosakkan peribadi Muslim sehingga tidak hairan kita menyaksikan ramai kalangan masyarakat yang berilmu tetapi hilang adab meskipun dalam soal seperti makan dan minum, memberi salam dan meminta izin.
 

Meminta izin dalam konteks pergaulan manusia perlu dididik sejak awal usia lagi. Contohnya adab bagi seorang anak untuk meminta izin kedua ibu bapa sebelum masuk ke dalam bilik kerana ada waktu tertentu dilarang berbuat demikian.

Berikut adalah cara mendidik anak kecil agar mereka membesar menjadi orang yang berbudi pekerti.

Isi Kandungan

1. ELAK MEMPERKATAKAN TENTANG PENAMPILAN DAN RUPA FIZIKAL SESEORANG

Sentiasa ingatkan anak supaya tidak mengejek penampilan atau rupa fizikal seseorang. Didik anda untuk menilai orang dengan budi pekertinya, dengan kelebihannya. Jangan jadikan paras rupa sebagai ukuran untuk menilai seseorang.

2. ‘MENCELAH’ PERBUALAN ORANG DEWASA HANYA APABILA PERLU

Latih anak untuk berkata “maafkan saya,” apabila terpaksa mencelah ibu bapa atau orang dewasa yang sedang berbual untuk menanyakan sesuatu.

Jika bukannya sesuatu yang penting, ajarkan mereka supaya menunggu sehingga orang dewasa habis bercakap.

3. MENGETUK PINTU DAN MEMINTA IZIN

Anak kecil perlu faham kepentingan meminta izin terutamanya ketika mahu menggunakan atau mengambil sesuatu yang bukan milik mereka.

Sejak kecil, mereka sepatutnya sudah diajar agar menghormati privasi ibu bapa. Perbuatan mengetuk pintu dan minta izin sebelum mereka masuk ke dalam bilik ibu bapa adalah disyariatkan dalam Islam.

Seperti diterangkan dalam Al-Quran, surah An-Nur ayat 58 yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu meminta izin (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya…”).

4. MENGHARGAI SETIAP PEMBERIAN

Terapkan kepentingan nilai penghargaan kepada anak. Walaupun sekecil-kecil hadiah atau pemberian, fahamkan mereka betapa seseorang telah berusaha dengan niat yang baik untuk mendapatkannya untuk kita.

Jangan sesekali memperlekehkan atau menunjukkan mimik muka apabila pemberian tersebut bukanlah sesuatu yang mereka harap-harapkan.

5. MENJAGA KEBERSIHAN DIRI

Berikan anak didikan dalam kebersihan diri masing-masing. Ajar mereka untuk menutup mulut ketika bersin atau batuk, jangan korek hidung dan sentiasa gunakan tisu. Ia bukan saja amalan yang buruk, tetapi boleh menyebarkan penyakit berjangkit. Tunjukkan kepada anak cara untuk membersihkan diri selepas bermain dan selepas makan. Ajarkan juga anak supaya membersihkan diri sebelum beribadah.

6. LETAK DULU GAJET SEMASA BERCAKAP DENGAN ORANG

Latih mereka untuk memberikan respon dengan sopan apabila orang mengajukan soalan kepadanya. Pandang wajah seseorang apabila bercakap dengan mereka.

Jangan biarkan mereka asyik mengasingkan diri dan sibuk dengan gajet apabila berada dalam majlis tertentu. Sebaliknya, cuba beramah-mesra dengan kenalan dan ahli keluarga. Bukan selalu dapat jumpa, bukan?

7. ADAB DI MEJA MAKAN

Bersyukur dengan apa yang dihidangkan dan elakkan menghina makanan. Biar mereka rasa dahulu apa yang dihidangkan dan jangan terus membuat hidangan ‘istimewa’ semata-mata mereka menolak untuk makan makanan tersebut. Tabiat ini boleh menjadikan mereka seorang yang memilih makanan atau ‘picky eater’.

Setelah membaca doa, ambil makanan yang dekat terlebih dahulu. Jangan ambil makanan secara berlebihan tanpa memikirkan orang lain.

8. BELAJAR URUS DIRI SENDIRI TANPA MENGHARAPKAN ORANG LAIN

Biasakan anak-anak untuk menguruskan diri sendiri seperti menyiapkan pakaian sekolah, menyimpan beg, mengemas bilik tidur, dan sebagainya.

Walaupun anda mempunyai pembantu rumah, semua kemahiran mengurus diri ini tidak patut diserahkan kepada pembantu tersebut. Sebaliknya, ianya amat penting untuk anak-anak melakukannya sendiri supaya dapat melatih mereka membesar sebagai seorang yang berakhlak mulia, bijak mengurus diri dan tidak menyusahkan orang lain.

Adab adalah sangat penting dan lebih diutamakan sebelum kita mempelajari sesuatu ilmu. Tiada gunanya jika seseorang itu memiliki Ilmu yang hebat dan tinggi, tetapi tidak memiliki adab dan akhlak yang baik sesama manusia. Malah bukan itu sahaja, Ilmu sesorang itu akan menjadi sia-sia sekiranya ia sedikitpun tidak memberi kesan ke atas pribadi dan tingkah lakunya.

Oleh yang demikian, marilah kita menitik beratkan soal adab dalam kehidupan seharian anak-anak sedari kecil. Ini adalah kerana orang yang tinggi adabnya kepada orang lain, walaupun tidak mempunyai ilmu yang banyak, lebih baik dan mulia berbanding orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi kurangnya adab.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More