Sumber Rujukan Globalisasi Anda

BERPELUH, SIHAT ATAU MUDARAT?

Berpeluh itu reaksi normal oleh badan terhadap haba, sama ada anda berada dalam cuaca panas ataupun selepas anda bersenam. Ia berfungsi menyejukkan dan mengeluarkan toksin dari badan. Walaubagaimanapun, jika anda berpeluh secara berlebihan, ia mungkin salah satu petanda badan anda mempunyai masalah.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Pusat Perubatan Management & Science University (MSU), Prof Dr Arman Zaharil Mat Saad berkata, keadaan itu dipanggil hiperhidrosis iaitu sejenis penyakit kulit apabila pesakit mengeluarkan peluh secara berlebihan melebihi kadar normal.

Menurutnya, kebiasaannya ia berlaku di bahagian tertentu seperti di tapak tangan atau kaki, ketiak dan kepala.

BERPELUH

“Terdapat tiga jenis kelenjar peluh dan lebih tiga juta kelenjar dalam badan manusia. Paling banyak ialah kelenjar ekrin.

“Pembahagian kelenjar peluh adalah tidak sekata di badan manusia dan boleh didapati lebih banyak di tapak tangan, tapak kaki, ketiak, dahi dan pipi, katanya.

Lebih unik, hanya kelenjar ekrin boleh didapati di tapak tangan, kaki dan ia dikawal oleh sistem saraf simpatetik.

“Bagi manusia normal, kadar pengeluaran peluh kira-kira 0.5 hingga satu mililiter (ml) atau meter persegi (m2) seminit dan hanya sekitar lima peratus kelenjar peluh aktif.

“Peningkatan pengeluaran peluh boleh disebabkan oleh perubahan emosi, pemakanan dan aktiviti fizikal apabila terdapat peningkatan pengeluaran katekolamin yang merangsang sistem saraf simpatetik, katanya.

Menurut beliau, lazimnya penyakit ini dihidapi pesakit berusia di antara 20 hingga 50 tahun.

Bagaimanapun, gejala hiperhidrosis boleh berkurangan atau hilang dengan sendirinya apabila pesakit menjangkau usia melebihi 50 tahun.

“Namun, ada juga pesakit mengalami gejala peluh berlebihan (hiperhidrosis) pada usia yang lebih awal iaitu ketika remaja.

“Kajian epidemiologi terkini menunjukkan kadar penyakit hiperhidrosis yang dilaporkan dalam kalangan masyarakat ialah sekitar lima peratus.

Berikut adalah potensi masalah yang dihadapi oleh badan anda jika anda kuat berpeluh.

Stress

Jika anda kuat berpeluh, mungkin anda sedang mengalami tekanan atau stress. Stress ini memberikan kesan negatif di dalam tubuh anda. Bukan itu sahaja, peluh yang disebabkan stress akan mengeluarkan bau yang sangat kuat disebabkan ia mengandungi lemak dan protein yang dicampur dengan bakteria kulit.

BERPELUH
BERPELUH

Masalah Thyroid (Hyperthyroidism)

Hyperthyroidism adalah keadaan di mana kelenjar tiroid menjadi ‘hyperaktif’ dan mengeluarkan terlalu banyak hormon tiroid seterusnya meningkatkan kadar metabolisme badan. Anda mungkin berasa cepat gementar, bimbang dan mengalami penurunan berat badan dengan mendadak serta kuat berpeluh. Segeralah berjumpa doktor jika anda mempunyai simptom sebegini.

Kesan sampingan daripada ubat-ubatan.

Peluh secara berlebihan mungkin disebabkan oleh ubatan yang anda ambil seperti antibiotic, ubat tekanan darah dan dadah psikiatri. Anda tidak perlu risau kerana kesan sampingan ini adalah untuk sementara waktu. Anda boleh mendapat maklumat tentang kesan sampingan di kertas maklumat pada ubat anda.

Obesiti

Obesiti adalah gangguan yang dicirikan oleh kehadiran sejumlah besar lemak badan. Genetik, tidak aktif, diet tidak sihat, tabiat makan, ubat-ubatan tertentu, dan kurang tidur boleh menyebabkan obesiti dan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih lanjut. Obesiti menyebabkan hiperhidrosis sekunder (hyperhidrosis yang bukan penyebab utama, tetapi boleh menandakan satu lagi keadaan asas) dan menjadikan kehidupan tidak selesa. Obesiti adalah disebabkan lemak berlebihan dalam badan yang boleh menjadi punca kepada masalah kesihatan yang lain.

Kesimpulannya, kita harus sentiasa peka adakah peluh yang dikeluarkan oleh badan kita adalah peluh yang sihat atau sebaliknya. Jika peluh anda berlebihan daripada biasa,segera berjumpa doktor.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More