Bahan Pendidikan Untuk Semua

CADANG POTONG GAJI PENJAWAT AWAM

Taikun sektor runcit terkenal mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya mengekalkan gaji pegawai awam.

Ini tidak seperti sektor swasta yang mengumumkan potongan gaji dan pembuangan pekerja susulan kesan kewangan akibat krisis Covid-19 yang sedang berlaku.

Pengarah urusan Mydin itu berkata, beliau tidak berniat campur tangan dalam urusan kerajaan dan cadangan itu hanya pandangan peribadinya berdasarkan pengalaman Mydin memotong gaji kakitangan atasan, termasuk dirinya sebanyak 100%.

“Yang dimaksudkan dengan gaji atas RM3,000 hanya contoh cadangan kepada kerajaan agar penjimatan dapat dilakukan dan ia sudah dilakukan oleh menteri-menteri, termasuk perdana menteri kita sendiri,” tulisnya di Facebook malam ini.

“Saya amat memahami kepayahan golongan B40 dan M40. Jika kerajaan boleh berjimat, bermakna lebih banyak bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional dapat disalurkan kepada golongan sasaran.

“Mydin tidak pernah berhenti menyokong peranan dan kesungguhan semua penjawat awam dalam memastikan urusan pentadbiran negara lancar, terutamanya ‘frontliners’ dan langkah untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam episod sukar ini.”

Terdahulu, Ameer pada Rabu dilapor mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya mengekalkan gaji pegawai awam.

Katanya, banyak industri terpaksa mengambil langkah drastik, termasuk memberhentikan pekerja, tetapi ini tidak berlaku dalam kalangan 1.6 juta penjawat awam walaupun gaji anggota Kabinet dipotong 2 bulan.

Beliau berkata, gaji pegawai awam patut dikurangkan supaya penjimatan itu dapat digunakan bagi membantu golongan miskin yang paling terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

“Sebilangan pegawai tinggi kerajaan masih mendapat gaji penuh, termasuk ahli Parlimen dan Adun. Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji,” katanya sambil menambah potongan gaji itu boleh dibuat berdasarkan peringkat gaji penjawat awam.

Cuepacs tolak cadangan

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, ramai penjawat awam adalah termasuk dalam kelompok B40 dan M40 dengan pendapatan purata bersih hanya kira-kira 20% daripada gaji mereka berikutan pelbagai potongan, antaranya pinjaman perumahan dan kereta.

“Rata-rata pendapatan bersih penjawat awam ialah 20% (daripada gaji). Ini untuk kita berbelanja. Jadi ada potongan, ia boleh menjejaskan ruang perbelanjaan penjawat awam,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perbelanjaan penjawat awam di pasar dan kedai membantu merangsang ekonomi dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Selain itu katanya, penjawat awam terkilan atas cadangan Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, yang merupakan pasar raya terkenal dalam kalangan mereka.

Ameer semalam berkata, hasil kerajaan akan merosot bukan sahaja kerana kejatuhan harga eksport komoditi utama negara seperti minyak dan minyak sawit, tetapi juga penurunan kutipan pelbagai cukai, termasuk cukai barangan dan jualan (SST) berikutan penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan pengguna.

Adnan berkata, walaupun wujud moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman bank, wang lebihan itu digunakan oleh penjawat awam bagi menampung peningkatan perbelanjaan rumah tangga berikutan mereka dan keluarga masing-masing kini berada di rumah.

Katanya, daripada 1.6 juta penjawat awam, 1.2 juta merupakan petugas barisan hadapan, termasuk 600,000 anggota polis dan tentera serta kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) atau mereka yang bekerja dari rumah.

Beliau berkata, wakil rakyat juga perlu diberikan gaji penuh kerana mereka bertanggungjawab kepada rakyat dan perlu memainkan peranan yang penting.

“Walaupun kita rasa gaji mereka besar, tetapi sebenarnya tidaklah besar. Mereka sangat rapat dengan rakyat dan kadang-kadang mereka guna duit sendiri untuk membantu rakyat.

“Kita tidak dapat nafikan peranan Adun dan ahli Parlimen apabila masalah rakyat diajukan, mereka memang membantu. Peranan besar, cuma kadang-kadang kita tak nampak.”

Bekas pegawai kanan kerajaan Ramon Navaratnam berkata, pada prinsipnya, semua orang perlu berkorban, termasuk penjawat awam.

Bagaimanapun katanya potongan gaji penjawat awam harus dikenakan ke atas kelompok yang meraih pendapatan melepasi paras tertentu.

Katanya, kerajaan harus membincangkan isu itu dengan Cuepacs.

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan itu berkata, kerajaan perlu mencari sumber wang bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif bantuan lain yang akan memberi kesan ke atas paras defisit negara.

“Ia boleh dibiayai dengan pinjaman, simpanan atau hasil baru, termasuk cukai baru atau yang lebih tinggi. Namun, akhirnya ia perlu dibayar juga. Duit tidak tumbuh pada pokok.

“Rakyat harus sedar bahawa pengorbanan perlu dibuat. Pastilah akan ada pihak yang lebih terbeban berbanding orang lain, namun semua orang harus mengongsi beban itu.

Terdahulu, ketua setiausaha negara, Mohd Zuki Ali berkata, pegawai awam dengan gred Jusa C ke atas akan menyumbang antara 5 hingga 10% daripada elaun tetap mereka kepada tabung Covid-`19.

Ahli ekonomi dari Universiti Malaya Nazari Ismail berkata, kontrak pekerjaan penjawat awam mesti dihormati, atau sebaliknya kerajaan akan diseret ke mahkamah.

“Tambahan lagi, gaji penjawat awam rendah berbanding sektor swasta. Ini hakikat yang dimaklumi semua.

“Tetapi (kurangan) ini ditampung oleh jaminan keselamatan (pekerjaan) yang mereka perolehi daripada kestabilan gaji tanpa mengira keadaan ekonomi yang dihadapi.”

Beliau berkata, kakitangan sektor swasta menikamti gaji lebih tinggi kerana mereka terdedah kepada risiko lebih tinggi dari sudut keadaan ekonomi.

“Oleh sebab keadaan ekonomi sekarang merosot, mereka yang berada dalam sektor swasta tidak seharusnya mempersoalkan gaji penjawat awam.

“Mereka sepatutnya sudah menjangka kemungkinan ekonomi merosot dan menyediakan peruntukan yang perlu.”

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More