Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Cara Terbaik Taiwan dalam Menangani Covid-19

Taiwan bukan sebahagian daripada negara anggota World Health Organization (WHO) berikutan bantahan daripada China, yang mendakwa kepulauan demokratik itu sebagai milik mereka.

Kerajaan Taiwan sebelum ini mendakwa, terpinggir daripada perhatian WHO ketika pandemik berkenaan sama seperti menggunakan politik untuk memperjudikan nyawa penduduk mereka.

Baik WHO dan China kedua-duanya berkata negara ini menerima segala bentuk bantuan yang diperlukan.

Taiwan berkata, WHO tidak menghiraukan sebarang pertanyaan diajukan ketika penyebaran COVID-19 mula dikesan, iaitu sebahagian daripada apa yang disifatkan sebagai corak mendedahkan mereka kepada risiko, berikutan tekanan China untuk kepulauan itu dikeluarkan dari menganggotai WHO.

Taiwan setakat ini mencatatkan 373 kes, dengan 5 kematian jauh lebih rendah berbanding negara-negara jiran, dan meraih pujian daripada pakar kesihatan berikutan pendekatan serta reaksi pantas mereka dalam menangani pandemilk terbabit.

Cara Terbaik Taiwan dalam Menangani Covid-19

Cara Terbaik Taiwan dalam Menangani Covid-19

Apabila China mengumumkan bahawa terdapatnya kes dalam kalangan rakyat mereka yang mempunyai simptom yang sama seperti wabak SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) telah menyebabkan kematian kepada 349 orang di China dan 299 orang di Hong Kong yang berlaku sekitar tahun 2002 hingga 2003, Taiwan bertindak cepat dengan melakukan tapisan di pintu masuk negara mereka.

Belajar daripada kesilapan lalu, Taiwan bersedia dengan menyediakan monitor skrin kesihatan di lapangan terbang mereka.

Daripada itu, mereka menghalang individu yang mempunyai tanda-tanda seperti yang dinyatakan China dan menghantar mereka untuk menjalani ujian kesihatan di hospital selain daripada mula mengenal pasti dan mencari identiti yang sudah berkontak rapat dengannya.

Taiwan mengajar negara dunia agar sentiasa peka dan proaktif dengan keadaan semasa global. Pada 31 Disember (hari yang sama China memaklumkan WHO mengenai kes simptom yang dihadapi), Taiwan mengerahkan pemeriksaan segera dilakukan pada penumpang yang tiba dari penerbangan Wuhan.

Pada 21 Januari, negara ini mengenal pasti kes pertama mereka dan seluruh dunia mengambil langkah berjaga-jaga; kebanyakannya menutup pintu negara daripada dimasuki pelancong dari China.

Bukan itu sahaja, kes yang berkontak rapat dengan individu positif COVID-19 juga diminta untuk berada dalam keadaan kuarantin supaya tidak menjangkiti orang lain.

Warga negara itu yang baru pulang daripada luar negara akan diminta mengisi borang untuk
menentukan tahap kesihatan mereka. Mereka yang berpotensi telah dijangkiti atau mempunyai bacaan suhu yang tidak normal akan terus menjalani ujian saringan di lapangan terbang.

Keputusan ujian direkodkan dan mereka diwajibkan mendaftarkan nombor telefon mereka ke
dalam sistem penjejakan yang membolehkan pihak berkuasa mengesan pergerakan mereka. Beg penumpang berkenaan akan dinyahkuman. Seterusnya, mereka dilarang menaiki pengangkutan awam dan hanya dibenarkan menggunakan teksi khas yang disediakan kerajaan.

Dengan adanya sistem pengesanan sebelum ini, kerajaan berupaya memastikan mereka yang berisiko ini mematuhi arahan kuarantin 14 hari.

Terdapat suara-suara khususnya di Barat yang memberikan amaran bahawa sistem seperti mana digunakan Taiwan akan memudahkan kerajaan mengetahui pergerakan rakyat, sekaligus membawa ancaman kepada demokrasi dan kebebasan. Walau bagaimana pun, langkah-langkah ekstrem sememangnya tidak boleh dielakkan dalam menangani penularan wabak yang bahaya seperti coronavirus.

Taiwan juga mempersiapkan rakyat mereka dengan ilmu pengetahuan yang mana apabila sesuatu data itu didedahkan, ketakutan dalam menghadapinya dapat dikurangkan.

Bekalan yang penting dalam mencegah jangkitan penyakit seperti hand sanitizer dan topeng muka juga disediakan lebih awal dan dijual dengan harga yang murah agar semua penduduk dapat memilikinya.

Semasa China melaporkan kes simptom ini apa yang Malaysia lakukan? Moga kita dapat belajar dari Taiwan dan belajar daripada kesilapan hari ini untuk ‘simpanan’ masa hadapan.

Kesimpulannya, Kerajaan Malaysia juga dilihat berada pada landasan yang baik dalam usaha pencegahan wabak covid-19 ini. Walaupun kita belum mencapai tahap seperti taiwan, kita harus bersyukur kerajaan mengambil langkah yang drastik sewaktu kes makin meningkat dengan mengumumkan perintah kawalan pergerakkan. Walaubagaimanapun, kita wajar mencontohi Taiwan dalam aspek kebersedian, self-sufficiency dan penekanan terhadap teknologi. Semoga negara kita Malaysia dan negara-negara lain dapat mengatasi wabak covid-19 ini dengan segera.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More