Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Gaji Minimum RM1500 Mulai 1 Mei 2022

Gaji Minimum RM1500 yang sedang hangat diperkatakan sejak kerajaan meluluskan usul tersebut akan mula dilaksanakan pada 1 Mei 2022 ini, yang juga merupakan Hari Pekerja. Langkah ini disambut baik ramai pihak terutamanya rakyat Malaysia, dan pelaksanaan akan termaktub kepada majikan syarikat besar dan bukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Isi Kandungan

Cadangan Gaji Minimum RM1500

Umum sedia maklum bahawa kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 ketika pembentangan Bajet 2020 diadakan. Kenaikan pada ketika itu adalah sebanyak RM100, daripada kadar gaji minimum RM1100 kepada RM1200 sebulan. Ia telah dilaksanakan menggunakan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Justeru itu, satu cadangan untuk menaikkan gaji minimum bagi pekerja negara ini telah diumumkan pada bulan Februari tahun ini kepada kadar gaji minimum sekitar RM1500 sebulan. Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, kajian telah dibuat dan satu angka gaji minimum telah ada untuk dibawa sebagai cadangan dan akan diumumkan selepas dipersetujui Jemaah Menteri. (Sumber: Berita Harian)

Gaji Minimum RM1500
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan. – Foto Bernama

Maklum Balas Majikan

Cadangan Kerajaan untuk melaksanakan kadar gaji minimum RM1500 telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengusaha perniagaan terutamanya di Selangor. Ada yang bersetuju dengan cadangan ini, kerana melihat kepada kos sara hidup pekerja yang semakin meningkat. Ada juga yang kurang bersetuju oleh kerana keadaan ekonomi kebanyakan perniagaan kini yang masih sedang pulih daripada pelbagai dugaan terutama pandemik COVID-19.

Susulan cadangan tersebut, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) telah mengeluarkan kenyataan bahawa keadaan sekarang adalah bukan masa sesuai untuk meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan cadangan pelaksanaan gaji minimum RM1500 adalah dilihat akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Dalam kenyataan Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, kepada Harian Metro bertarikh 6 Februari 2022, beliau berkata majoriti perniagaan Malaysia tidak bersedia serta tidak akan dapat melaksanakan cadangan gaji minimum baharu itu. Ini ekoran pandemik COVID-19 yang telah mengakibatkan perniagaan mengalami kejutan ekonomi, dan kebanyakannya belum lagi mencapai kestabilan. Ditambah pula kesan buruk akibat daripada banjir besar bulan Disember 2021 yang lalu.

Menurut beliau lagi, dengan 98.9 peratus perniagaan Malaysia berada dalam kumpulan perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PMKS), usaha sewajarnya harus dilakukan untuk pemulihan perniagaan di samping kawalan terhadap kenaikan kos produk dan perkhidmatan. Beliau juga berkata bahawa kenaikan ke atas gaji minimum akan memberi faedah kepada pekerja dengan gaji yang lebih rendah daripada kadar gaji minimum dan sebahagian besar daripada mereka adalah pekerja asing.

Tinjauan Astro Awani bagi peniaga di sekitar Selangor pula mendapati pelbagai maklum balas daripada majikan apabila pengumuman pelaksanaan kadar gaji minimum RM1500 dibuat. Ada yang berpendapat kenaikan gaji minimum itu adalah berpatutan dengan kos sara hidup pekerja yang semakin meningkat, terutama bagi pekerja yang tidak mendapat sebarang kemudahan kediaman dan makanan untuk kelangsungan hidup. Oleh itu mereka menyambut baik saranan tersebut, kerana memikirkan tanggungan yang dihadapi pekerja mereka.

Namun bagi peniaga yang banyak terkesan dengan keadaan pandemik dan juga banjir buruk pada Disember 2021 yang lalu, mereka merasakan tiada kesesuaian lagi untuk melaksanakan gaji minimum RM1500 itu. Pelaksanaan ini pada pandangan mereka akan menjejaskan pemulihan ekonomi berikutan jangkaan kos barangan dan perkhidmatan yang akan meningkat, ditambah dengan negara yang belum mencapai kemampanan ekonomi.

Sumber Video: Youtube Astro Awani

Sesi Libat Urus Bersama Majikan

Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah mengadakan sesi libat urus dengan majikan berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1500 ini bagi membolehkan ia dilaksanakan secara holistik, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu ucapan beliau di Kuala Lumpur bulan lalu. (Sumber: Astro Awani) Bagi tujuan tersebut, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah berbincang dengan persatuan terlibat termasuklah Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan majikan.

Menurut beliau, kerajaan melibatkan semua majikan untuk perbincangan gaji minimum ini berikutan ada syarikat yang mampu, tidak kurang syarikat yang tidak mampu kerana terlalu kecil. Terdapat kerisauan pertambahan angka penangguran sekiranya majikan yang tidak mampu terpaksa memberhentikan pekerja mereka. Kerajaan amat prihatin akan kos sara hidup rakyat Malaysia kini, namun pada masa sama tidak mahu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta PKS Mikro menghadapi kesukaran dalam pelaksanaan gaji minimum RM1500 itu.

Gaji Minimum RM1500
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pelancaran Inisiatif Jamin Kerja pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. – Foto BERNAMA

Kerajaan Lulus Gaji Minimum RM1500

Pada 19 Mac 2022, menerusi petikan dari Berita Harian, Kerajaan telah meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1500 sebulan dan bakal bermula pada 1 Mei 2022 di seluruh negara.

Pelaksanaan Gaji Minimum RM1500

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksaan gaji minimum ini hanya akan melibatkan majikan syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya. Pelaksanaan gaji minimum baharu ini tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menangguh pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu kepada syarikat, perusahaan kecil dan koperasi yang tidak mampu untuk membayar gaji minimum RM1500 kepada pekerja mereka buat masa ini. Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah diarah untuk membuat perbincangan untuk membolehkan syarikat dan perusahaan seumpamanya menangguhkan pelaksaan itu.

Keputusan ini dibuat setelah kajian impak dilaksanakan secara mendalam termasuk kesan pelaksanaan gaji minimum baharu ini terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ini bagi tidak memberi kesan buruk kepada pekerja terutamanya selain perusahaan itu sendiri. (Sumber : UTUSAN)

Sumber video: Berita Harian TV

Maklum Balas Terkini Gaji Minimum RM1500

Setelah pengumuman kenaikan gaji minimum bakal dilaksanakan 1 Mei ini, pelbagai reaksi dilihat dari pelbagai lapisan masyarakat. Kebanyakan menyatakan bahawa golongan peniaga terutamanya akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Pun begitu, masih ada rakyat yang menarik nafas lega atas pengumuman ini, terutama golongan bujang yang tinggal di kawasan bandar.

Antara pandangan yang melihat perkara ini sebagai berita buruk mengatakan harga barang akan naik tinggi seiring dengan kenaikan tangga gaji minimum. Terdapat kegusaran akan kenaikan tangga gaji yang lain apabila tahap gaji rendah dinaikkan, justeru akan meningkatkan kos operasi syarikat. Ini bakal membawa kepada kenaikan harga barangan syarikat tersebut.

Ada yang menyokong menyatakan kenaikan gaji tersebut bagai tiada kesudahan kerana gaji pekerja sudah pasti tidak akan mencukupi sekiranya harga barang dinaikkan lagi, tidak kurang yang merasakan akan ada pembuangan pekerja kerana syarikat akan cuba mengurangkan kos operasi mereka.

Dari sudut lain, ada guru tadika yang meluahkan hasrat supaya gaji mereka dinaikkan oleh pemilik premis pendidikan awal kanak-kanak kerana masih ada gaji asas pekerja yang berada di tahap RM900 sebulan. Bahkan gaji asas RM1100 dilihat untuk pekerja yang mempunyai diploma dan ijazah dalam pendidikan. (Sumber: mStar)

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dalam pada itu telah merayu kepada pihak kerajaan supaya mempertimbangkan semula keputusan pelaksanaan gaji minimum RM1500 pada bulan Mei nanti. Mereka berkata, kerajaan sebaliknya perlu ambil pendekatan kenaikan progresif seperti yang telah dicadangkan sebelum ini. Kenaikan secara beransur-ansur masih dapat menangani kenaikan kos sara hidup akibat pandemik COVID-19 serta gangguan bekalan yang berlaku, pada pendapat FMM.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan kepada Harian Metro berkata FMM yakin bahawa majikan boleh terus mengekalkan pekerjaan dan pelarasan gaji dengan kawalan oleh kerajaan yang perlu terhadap kenaikan kos serta usaha bersepadu oleh industri untuk membiayai kenaikan kos secara dalaman. Beliau berkata lagi, kenaikan daripada kadar gaji minimum semasa RM1200 kepada RM1500 adalah merupakan satu kenaikan serta-merta sebanyak 25 peratus daripada gaji pokok sedia ada. Ini seterusnya akan membawa kesan terhadap perniagaan dan pemulihan ekonomi apabila kos gaji keseluruhan meningkat.

Dalam pada itu, menurut Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia yang dijalankan dari 5 Januari sehingga 10 Februari 2022, kebanyakan responden mempunyai pendapat bahawa kenaikan RM100 pada kadar gaji minimum adalah boleh diterima berpandukan kepada keadaan ekonomi semasa. Dengan dapatan tersebut, FMM telah mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanakan pelarasan gaji minimum secara berperingkat dengan kenaikan sebanyak RM100 pada suku ketiga tahun 2022 diikuti pelarasan seterusnya pada tahun 2023 atau 2024 membawa kenaikan kepada RM1500.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More