Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Keistimewaan Madu

Madu didefinisikan sebagai pemanis semula jadi yang dihasilkan oleh lebah madu dari sari bunga atau nektar atau dari rembesan bahagian hidup tumbuhan, atau perkumuhan tumbuhan.

 

Isi Kandungan

Bagaimana Madu Terhasil?

Sifat fizikal madu seperti warna, aroma, rasa, dan ketumpatan madu serta komposisi kimia sesuatu madu bergantung kepada jenis nektar bunga yang dihisap lebah madu, keadaan cuaca dan pemprosesan madu.

Secara umumnya, madu boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu :-

  • Madu monoflora

Madu yang dihasilkan dari nektar dari sejenis bunga saja. Contoh madu monoflora ialah madu akasia, madu sidr dan madu manuka.

  • Madu poliflora

Dikenali juga sebagai madu multiflora ialah madu yang dihasilkan lebah madu yang mengambil nektar dari pelbagai jenis bunga. Jenis madu ini seperti madu tualang dan madu asli.

 

Kandungan madu

Hampir semua jenis madu mengandungi flavonoid, asid fenolik, asid askorbik, tokoferol, enzim serta pelbagai jenis vitamin dan mineral.

Komposisi utama madu ialah gula, iaitu antara 95 hingga 97 peratus berat kering madu. Gula utama dalam madu ialah daripada fruktosa dan glukosa.

 

Madu Sumber Probiotik

Probiotik adalah bakteria hidup yang memberi manfaat kepada kesihatan apabila dimakan dalam jumlah mencukupi.

Madu pula mengandungi antara empat hingga lima peratus fruktooligosakarida baik untuk pertumbuhan bakteria probiotik dalam usus manusia.

Antara fungsi probiotik ialah menghalang pembiakan bakteria yang tidak baik, membantu sistem penghadaman dan penyerapan nutrien dan pada masa sama menghasilkan vitamin, seperti vitamin B-12 dan seterusnya membantu menyihatkan usus dan menyembuhkan penyakit gastrik.

 

Asid Amino dalam Madu

Kandungan asid amino dalam madu, iaitu antara 0.05 hingga 1.0 peratus dengan asid amino proline ialah asid amino utama dalam madu.

Asid amino proline dipercayai sangat penting untuk pembinaan kolagen dan tisu kartilaj untuk menjadikan otot dan sendi tulang bertambah anjal dan tangkas.

Justeru, dalam perubatan tradisional madu digunakan sebagai penyembuh luka pada tubuh manusia dan mempunyai sifat melawan keradangan.

 

Zat Vitamin dan Mineral dalam Madu

Vitamin yang terkandung dalam madu termasuk vitamin B, vitamin A dan vitamin C, manakala mineral yang biasa terkandung dalam madu ialah kalium, magnesium, kalsium, natrium, sulfur, besi dan fosfat.

 

Enzim

Dalam madu ada pelbagai enzim yang tidak terdapat dalam gula putih.  Enzim utama dalam madu ialah invertase, diastase dan glukosa oksidase. Ketiga-tiga enzim ini memainkan peranan penting dalam pembentukan madu secara semula jadi.

Enzim glukosa oksidase penting dalam penguraian glukosa kepada hidrogen peroksida dan asid glukonik. Hidrogen peroksida mempunyai sifat melawan mikroorganisma patogen, manakala asid glukonik boleh membantu penyerapan kalsium dalam tulang manusia.

 

Antipengoksidaan

Penerbitan saintifik juga membuktikan madu mengandungi pelbagai komponen kimia yang mempunyai bahan antipengoksida semula jadi seperti fenolik, flavonoid dan vitamin C.

Bahan antipengoksida sangat penting membantu merencatkan penyakit kronik seperti kanser, koronari arteri, degenerasi saraf, dan melambatkan proses penuaan.

 

Semoga bermanfaat.

 

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More