Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kes keganasan rumahtangga meningkat

Kini kita hanya sedar untuk membantu orang yang susah untuk mendapatkan sumber makanan, tetapi adakah kita sedar bagaimana orang yang mengalami keganasan rumah tangga melalui hari-harinya didera emosi dan fizikal?

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) melaporkan sejak perintah duduk di rumah atau kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan di kebanyakan negara yang terkesan akibat COVID-19, kes jenayah didapati menurun, namun kes keganasan rumah tangga meningkat dengan ketara.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menggesa kerajaan di seluruh negara untuk mengutamakan keselamatan wanita dan kanak-kanak sepanjang pelaksanaan perintah berkurung.

Katanya, keganasan terhadap wanita dan kesihatan wanita serta kanak-kanak kekal sebagai isu utama terutama apabila berlaku konflik ketenteraan dan kecemasan termasuk penularan wabak seperti COVID-19.

“Keganasan bukan sahaja berlaku di medan perang, tetapi bagi wanita kebanyakannya acaman itu wujud di rumah. Secara umumnya, seorang daripada tiga wanita pernah mengalami keganasan fizikal atau seksual sama ada dilakukan pasangannya mahu pun pemangsa luar,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di PBB, baru-baru ini.

Berdasarkan data yang diperoleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tekanan hidup dan kehilangan sumber pendapatan dikenal pasti antara punca keganasan rumah tangga berlaku.

Selain itu, pelaksanaan PKP juga didapati menyebabkan wanita yang hidup dengan pendera akan terus mengalami penderaan sehingga boleh mengakibat kematian.

Kesukaran untuk mendapatkan bantuan sama ada daripada ahli keluarga atau pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP juga didapati menyebabkan keganasan rumah tangga menjadi isu besar di kebanyakan negara.

Di Turki, misalnya, lebih ramai wanita terbunuh sejak PKP dilaksanakan di negara itu mulai 11 Mac 2020, manakala di India keganasan berasaskan jantina berganda pada minggu pertama PKP dilaksanakan.

Pihak berkuasa di Jingzhou, bandar di wilayah Hubei, China melaporkan jumlah kes keganasan rumah tangga sepanjang Februari 2020 meningkat tiga kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Di Amerika Syarikat, panggilan untuk bantuan dan perkhidmatan dalam talian bagi kes keganasan rumahtangga juga dilaporkan meningkat. Laporan pejabat peguam daerah San Fransisco menunjukkan peningkatan kes keganasan rumah tangga sehingga 60 peratus.

Dalam hubungan itu, WHO menyediakan garis panduan bagi semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat khususnya ahli keluarga untuk memainkan peranan penting dalam mengekang keganasan rumah tangga.

Justeru itu, haruslah kita sentiasa peka akan nasib golongan orang yang teraniaya ini. Semoga mereka yang teraniaya akan dibantu dan dilindungi. Jika anda ingin meluahkan kepada seseorang,carilah orang yang betul-betul anda percayai. Andai anda perlukan bantuan hubungilah talian kasih 24jam di 15999.

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More