Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kes Kematian Covid-19 di Jerman Rendah?

Kes Kematian Covid-19 : Sekiranya anda membuka carta yang merekodkan tentang kesemua kes pandemik Covid-19 berdasarkan negara, negara Jerman (pada ketika artikel ini ditulis) berada pada kedudukan kelima daripada bilangan jumlah kes.

Bagaimanapun, berbeza dengan kesemua negara yang menduduki senarai 5 teratas jumlah kes – Jerman mencatatkan angka kematian yang jauh lebih rendah dengan purata hanya 24 kematian untuk setiap 1 juta penduduk dan 1/3 daripada jumlah kes berjaya dipulihkan.

Kenapa Jerman menunjukkan perbezaan ketara berbanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Itali, Perancis dan Sepanyol yang jauh ketara kesan kematian akibat pandemik kepada negara mereka?

Isi Kandungan

Kes Kematian Covid-19 : Masyarakat ketiga tertua dunia

Sesuatu yang menghairankan tentang kes jangkitan Covid-19 di Jerman, adalah kerana populasinya yang layak dikatakan antara paling tua di dunia.

Di Eropah, masyarakat Jerman yang berusia 65 tahun ke atas merangkumi 21.1% daripada keseluruhan populasi mereka, meletakkan Jerman di tangga kedua di Eropah selepas Itali yang mendahului dengan 22.4% dan ketiga dalam kedudukan dunia. Jepun menduduki tempat pertama dalam kedudukan keseluruhan.

Risiko tinggi jangkitan Covid-19 kepada warga tua merupakan antara penemuan-penemuan paling awal yang  kita ketahui berkaitan wabak ini, namun situasi di Itali dan Jerman nyata menampakkan perbezaan ketara.

Walau demikian, satu persamaan yang kelihatan dalam kes-kes kematian di Itali dan Jerman; pesakit yang meninggal dunia majoritinya datang daripada golongan tua. Institut Robert Koch (RKI) yang beroperasi di Berlin melaporkan 70% kes kematian di negara itu melibatkan individu berusia 70 tahun ke atas.

Apa yang menghairankan banyak pihak – kenapa kadar kematian di Jerman rendah, sedangkan jumlah populasinya lebih tinggi berbanding Itali?

Keberkesanan ujian saringan

Kes Kematian Covid-19 di Jerman Rendah? 1
Kes Kematian Covid-19

Tidak ada jawapan secara fakta boleh diberikan bagi menjawab persoalan tersebut.

Bagaimanapun, salah satu faktor yang dikatakan menjadi punca jumlah kes kematian di Jerman rendah – adalah disebabkan oleh kadar ujian saringan tinggi yang telah dijalankan kepada populasi awam.

Setakat ini, Jerman merupakan negara kedua paling tinggi dari segi jumlah ujian saringan yang berjaya dilakukan berbanding negara lain di seluruh dunia. Hampir 1 juta orang telah menjalani ujian saringan bagi menentukan status jangkitan daripada 83 juta penduduk.

Ujian saringan di Jerman telah dimulakan awal-awal lagi. Mana-mana individu yang mempunyai simptom-simptom ringan terus diarahkan menjalani ujian saringan bagi membolehkan pihak kesihatan mereka mengenalpasti kadar jangkitan sejak mula lagi kes pertama di negara tersebut.

Jerman dilaporkan mempunyai kapasiti untuk menjalankan 160,000 ujian saringan seminggu bersamaan 22,850 ujian sehari; dengan kepakaran lebih 12,000 petugas perubatan diberikan tanggungjawab menjalankan saringan.

Kes Kematian Covid-19 di Jerman Rendah? 2
Kes Kematian Covid-19

Kumpulan jururawat yang mencukupi

Jururawat merupakan petugas yang paling banyak meluangkan masa bersama pesakit dan peranan jururawat semasa musim wabak, tidak boleh dipandang ringan masyarakat.

Satu perbezaan ketara jika dibandingkan Jerman dan Itali adalah perbezaan di antara jumlah jururawat yang ada untuk setiap 1,000 populasi. Kadar bilangan jururawat Jerman merupakan antara yang tertinggi di dunia iaitu seramai 13.2 jururawat untuk setiap 1,000 pesakit.

Di Itali pula, puratanya lebih rendah, pada kadar 5.4 orang jururawat untuk 1,000 penduduk.

Dengan jumlah petugas yang mencukupi, pesakit mempunyai peluang lebih tinggi mendapatkan perhatian dan rawatan yang perlu. Jururawat juga berpeluang merehatkan diri, digantikan dengan petugas lain dalam memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan.

Berapakah kadar indeks atau kadar optimum bilangan petugas jururawat yang dirasakan baik untuk setiap 1,000 populasi?

Menurut Badan Kesihatan Sedunia, angkanya perlu mencapai tahap 4.45 jururawat bagi setiap 1,000 orang. Ini bermakna Jerman jauh sekali meninggalkan banyak negara lain dalam kadar kesediaan jururawat termasuklah juga negara kita, yang berada pada tahap 4.59 bagi tahun 2013

Atas sebab itulah kakak-kakak jururawat negara kita perlu bertungkus-lumus bekerja tanpa rehat ketika ini, kerana negara kita cukup-cukup jururawat yang ada. Dalam situasi biasa, mungkin angka kita memadai tetapi dalam keadaan pandemik – pasti cukup sukar untuk seorang jururawat bertugas dalam tempoh kerja yang panjang setiap hari.

Adakah Jerman berisiko menghadapi kenaikan kes mendadak?

Semasa peringkat awal pandemik Covid-19 berlaku, tidak dapat dinafikan keberkesanan Jerman hampir menyaingi tiga buah lagi negara yang dikatakan paling berjaya menangani jangkitan, iaitu Korea Selatan, Taiwan serta Jepun walaupun Jepun paling berisiko tinggi, kerana mempunyai peratusan populasi warga tua paling tinggi di dunia.

Walaupun begitu, terdapat beberapa kelemahan dalam sistem kawalan wabak Jerman yang dirasakan mampu menyebabkan kenaikan mendadak jumlah kes; disebabkan oleh sistem laporan bilangan kematian yang dikhuatiri tidak tepat.

Sistem saluran maklumat kes yang digunakan di Jerman mesti melalui pengesahan jabatan kesihatan tempatan terlebih dahulu, sebelum boleh dihantar kepada RKI yang bertanggungjawab mengumpulkan kesemua data.

Keperluan ini dikhuatiri akan menyebabkan kelewatan maklumat dapat disatukan oleh penyelidik, menyebabkan angka sebenar lewat diketahui – menungkinkan angka kes serta kematian yang dilaporkan tidak seiring dengan jumlah sebenar situasi jangkitan.

Selain itu, fasa pandemik di Jerman diramalkan belum tiba ke kemuncaknya lagi disebabkan oleh ramalan kewujudan kes-kes yang gagal dikesan sebelum yang dirasakan akan mula menampakkan simptom tidak lama lagi, sehingga menyebabkan berlakunya pertambahan jumlah kes secara drastik.

Walaupun berhadapan risiko berlakunya pertambahan mendadak, sekurang-kurangnya Jerman nampak bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Jerman mempunyai sistem ujian saringan yang sangat sistematik, berjaya dibentuk di seluruh negara. Disokong oleh tenaga kerja pakar perubatan dan jururawat antara yang paling tinggi nisbahnya di dunia. Jerman juga boleh berbangga dengan fasiliti perubatan milik mereka seperti wad dan katil yang lengkap, bukan saja dari segi teknologi bahkan dari segi jumlah bilangannya.

Mana-mana negara yang mempunyai peratusan tertinggi masyarakat tua, patut menjadikan Jerman dan Jepun sebagai model sistem perubatan negara mereka.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More