Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kopi Antara 7 Punca Badan Menjadi Lesu

7 Punca Badan Menjadi Lesu. Pastinya setiap yang bergelar manusia pasti pernah merasai penat. Kebiasaannya, penat kerap berlaku kepada individu setelah selesai melakukan sesuatu pekerjaan yang melibatkan tenaga. Walau begitu kepenatan bukan sahaja berlaku apabila melakukan sesuatu perkerjaan namun kepenatan boleh berlaku kepada individu yang tidak melakukan sebarang aktiviti.

Mungkin segelintir daripada anda keliru atau tertanya-tanya perkara yang boleh membuatkan individu itu penat walaupun ia tidak melibatkan tenaga. Oleh hal demikian, mari kita lihat perkongsian dari Hello Doktor di bawah ini:

Punca cepat penat yang ramai belum tahu!

Kebiasaannya, kepenatan akan dikaitkan dengan aktiviti seharian dalam kehidupan seperti bekerja, bersenam, bersukan mahupun belajar.

Ya, tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti-aktiviti di atas adalah penyumbang utama kepada keletihan yang juga tidak boleh dielakkan. Pun begitu, mungkin ada perkara lain yang mendalanginya termasuklah:

1. Kopi antara punca cepat penat?

Siapa di sini penggemar minuman kopi? Selepas membaca ini, kalian mungkin mahu mengubah sedikit tabiat ini! Untuk pengetahuan anda, semua minuman kopi mengandungi kafein yang merupakan dalang sebenar kepada kepenatan dalam diri.

Ini kerana kafein akan mengganggu proses pengeluaran adenosine – sebatian yang membuat kita mengantuk, dan ia akan membuat kita lebih cepat penat. Jadi, kepercayaan di mana minum kopi untuk berjaga pada tengah malam mungkin adalah kurang tepat.

7 Punca Badan Menjadi Lesu
Ramai yang tidak tahu kopi merupakan salah satu penyebab badan menjadi lesu.

2. Tidak mengambil bersarapan

Sebab itulah ibu anda akan selalu berpesan agar jangan tinggal sarapan pada waktu pagi! Meskipun anda tidak rasa lapar atau tidak punya mood untuk makan walau sedikit pada waktu pagi, tubuh badan anda masih memerlukannya.

Ini kerana tubuh badan anda memerlukan glukosa untuk otot dan otak berfungsi dengan baik selepas sekian waktu berehat di malam hari. Selain glukosa, ada banyak lagi nutrien yang kalian boleh terlepas sekiranya tertinggal sarapan pagi yang seterusnya akan membuat anda lebih cepat ‘barai’.

3. Berlebihan dalam bekerja

Tanpa mengira jenis atau sektor pekerjaan sama ada di pejabat atau kilang, ia tetap merupakan sesuatu yang memenatkan baik buat otak dan juga tubuh badan. Menurut kajian Draugiem Group, pekerja yang efisien dan produktif adalah apabila mereka bekerja selama 52 minit dan kemudian berehat selama 17 minit. Sudah terang lagi bersuluh, jangan lagi memaksa diri anda untuk terus bekerja berjam-jam lamanya kerana ia adalah tidak bagus buat mental dan fizikal.

7 Punca Badan Menjadi Lesu
Bekerja secara berlebihan boleh juga menyebabkan badan anda cepat letih dan lesu.

4. Jarang mendapat cahaya matahari

Bak drakula, individu yang hanya terkurung di dalam bilik tanpa terdedah kepada cahaya matahari pasti akan lebih mudah berasa penat. Kenapa? Ini kerana tubuh badan anda memerlukan cahaya matahari untuk mengelakkan otak menghasilkan hormon melatonin dengan lebih banyak.

Selain itu, kekurangan pendedahan sinaran ini juga akan membuat kalian kurang mendapat vitamin D yang akan mengganggu pola tidur anda. Meskipun kita disarankan untuk hanya duduk di rumah tatkala pandemik ini, namun tidak salah untuk keluar sebentar di halaman rumah untuk menghirup udara segar!

5. Postur tubuh badan yang ‘penat’!

Percaya atau tidak, postur tubuh badan juga akan menjadi pencetus kepada kepenatan yang berlaku tanpa diundang. Semasa sedang bekerja di hadapan komputer riba, berjalan atau berbaring, postur anda seharusnya tegak dan tidak bongkok agar tidak mudah penat.

Menurut Dr Stacey Pierce-Talsma, postur yang buruk akan memberi lebih tekanan pada tulang, sendi dan ligamen, dan inilah punca keletihan. Mulai hari ini, sila betulkan postur tubuh badan anda ya?

6. Asyik dengan gadget

Kini, semua orang pasti tidak mampu meneruskan kehidupan serba moden tanpa bantuan telefon pintar, komputer riba dan lain-lain inovasi. Sedar atau tidak, perkara-perkara inilah yang akan mengundang kepenatan melampau kerana kita semua akan terlalu sibuk menghadapnya.

Sebaiknya, kurangkan masa di hadapan skrin serta berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang di sekeliling secara berdepan untuk hidup yang lebih cergas, cerdas dan sihat!

7. Bersenam dengan terlalu banyak

Kata orang, bersenam mampu membina tenaga agar kita tidak cepat penat.  Namun sebaliknya pula akan terjadi sekiranya anda bersenam dengan terlalu banyak. Menurut artikel Livestrong, bersenam itu adalah bagus jika dilakukan dengan cara yang betul yakni makan dan minum dengan sihat serta rehat dan tidur dengan cukup.

Oleh itu, tiada salahnya untuk bersenam cuma pastikan anda melakukannya dengan kadar yang berpatutan dan bersesuaian dengan gaya hidup yang diamalkan.

Artikel Berkaitan: Migrain – Gejala, Faktor dan Rawatannya

 

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More