Bahan Pendidikan Untuk Semua

lelaki lebih berisiko dijangkiti COVID-19 berbanding wanita

Bilangan pesakit yang meninggal di seluruh dunia akibat daripada penyakit Covid-19 yang disebabkan oleh Coronavirus SARS-CoV-2 semakin meningkat dari hari ke hari. Di negara Sepanyol, pesakit yang maut akibat Covid-19 ini kebanyakannya adalah lelaki, yang berumur melebihi 80 tahun dan mempunyai sejarah masalah kesihatan – khususnya, berkaitan dengan jantung.

Bagaimanapun, satu pemerhatian yang menarik mengenai wabak berkenaan, sejak dikesan di Wuhan, China Disember lalu, statistik menunjukkan bukan sahaja lelaki lebih berisiko dijangkiti novel koronavirus itu, malah jumlah kematian lebih tinggi dalam kalangan pesakit lelaki.

KETIKA pasukan saintis melakukan ujian pengesanan terhadap pesakit di China, di mana bermula punca pandemik COVID-19 yang kini melanda hampir seluruh dunia, mereka mendapati kebanyakan kematian membabitkan pesakit lelaki berbanding wanita.

Sejak itu, data lain dari luar China juga adalah sama. Lelaki lebih ramai menjadi korban. Biarpun wanita mempunyai jangka hayat lebih panjang, bagaimana virus itu mempengaruhi jantina dan mengapa ia terjadi.

Meskipun pengumpulan data masih lagi dijalankan, sebenarnya banyak perkara masih tidak diketahui. Dengan data sedia ada, kadar kematian lelaki lebih tinggi berbanding wanita.

Dalam Laporan Pusat Penyakit dan Pencegahan yang disiarkan pada 11 Februari lalu, mendapati kira-kira 44,000 kes di China, mendapati kadar kematian lebih tinggi dalam kalangan lelaki iaitu 2.8 peratus berbanding wanita 1.7 peratus.

Bermula di China, virus itu merebak ke banyak negara yang ketika ini sedang menempuhi pandemik global, menunjukkan lelaki lebih ramai menjadi korban.

Menurut data terkumpul Global 50/50, sehingga 3 April lalu, kematian lelaki adalah 69 peratus daripada kematian akibat COVID-19 di Itali dan Sepanyol.

Pegawai Perubatan Penyakit Berjangkit di Klinik Cleveland Abu Dhabi , Dr Maher Balkis, mengesahkan kajian mengenai lelaki lebih ramai meninggal dunia akibat COVID-19.

Beliau berkata, kira-kira 60 peratus kematian membabitkan pesakit lelaki dengan China sendiri mencatatkan kira-kira 65 peratus kematian pesakit lelaki.

“Data lain dari seluruh juga menunjukkan indikator sama dengan lelaki lebih berisiko dijangkiti berbanding wanita.

“Ia memberi petunjuk, lelaki lebih terdedah penyakit serius dan meninggal dunia disebabkan itu,” katanya.

Bagaimanapun ia hanya data awal dan memerlukan lebih banyak sampel.

Banyak negara termasuk Amerika Syarikat, tidak merekodkan kes mengikut jantina, menyukarkan penyelidik untuk membangunkan pangkalan data yang lebih meluas.

Ini bermakna saintis masih melakukan penyelidikan dan perlu data konkrit untuk membuat kesimpulan yang lebih kuat. Risiko kemaan akibat Covid-19 adalah lebih tinggi pada pesakit positif yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, darah tinggi, diabetes, kardiovaskular dan masalah pernafasan.

sumber :  berita harian

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More