Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Official Moratorium, tiada caj tambahan jika bayar sebelum jun 2020

Moratorium? Bank Negara Malaysia (BNM) meminta institusi perbankan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam/pelanggan diberikan maklumat yang jelas mengenai proses dan perubahan terhadap syarat perjanjian mereka.

Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata institusi perbankan juga perlu menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian-perjanjian tersebut dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Moratorium

PEMINJAM pinjaman sewa beli yang memilih mengambil moratorium enam bulan dari 1 April hingga 30 September 2020 akan diberi pilihan dari segi pembayaran balik.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam kenyataan berkata, pelanggan boleh memilih untuk membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan caj faedah tambahan.

“Mereka juga boleh terus membayar balik ansuran selepas Oktober 2020 menerusi lanjutan enam bulan tempoh pembayaran balik selepas tarikh matang asal.

“Dalam kes ini, faedah berdasarkan kadar kontrak akan dicaj ke atas jumlah ansuran tertangguh sehingga dibayar sepenuhnya, yang sepatutnya pada akhir tempoh lanjutan enam bulan,” katanya.
 

ABM berkata, bagi pelanggan sewa beli yang tidak mengesahkan secara rasmi penerimaan moratorium sebaik menerima notifikasi daripada bank masing-masing, mereka dianggap tidak mengambil moratorium.

“Ini bermakna, pelanggan perlu terus membayar ansuran bulanan seperti biasa mengikut jadual asal,” katanya.

Bagaimanapun, katanya bank tidak mengenakan caj faedah tambahan atau fi bayaran lewat bagi ansuran tertunggak bagi April dan Mei oleh pelanggan yang menangguhkan bayaran ansuran bulanan, jika bayaran bagi April, Mei dan Jun 2020 dibuat tidak lebih dari 30 Jun 2020.

“Jika bayaran tidak dibuat menjelang 30 Jun 2020, akaun akan tertunggak dan caj bayaran lewat akan mula terakru bermula Julai 2020 dan seterusnya,” katanya.

Bermula pada 1 Mei 2020, peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap akan menerima notis pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan mereka berhubung langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan proses penangguhan pembayaran pinjaman/pembiayaan mereka di bawah moratorium itu.

“Institusi perbankan juga akan menyediakan bagi setiap peminjam/pelanggan maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap mereka.

Peminjam/pelanggan yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian mereka yang sedia ada.

Official Moratorium, tiada caj tambahan jika bayar sebelum jun 2020 2
Official Moratorium, tiada caj tambahan jika bayar sebelum jun 2020 3

Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam/pelanggan mereka untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul/tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium.

Institusi perbankan tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh tersebut sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang disetujui dengan peminjam/pelanggan, kata bank pusat.

Menurut BNM, susulan daripada pengumuman pada 25 Mac lepas, institusi perbankan sedang dalam proses memformalkan perjanjian-perjanjian bagi mencerminkan semakan terhadap syarat pembayaran balik dengan pihak peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap bagi pelaksanaan moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman/pembiayaan.

Langkah ini adalah bagi memenuhi keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah yang terpakai bagi apa-apa perubahan yang dibuat terhadap syarat perjanjian-perjanjian tersebut, termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan/atau jumlah pembayaran berikutan moratorium tersebut.

Peminjam/pelanggan digalakkan untuk merujuk laman sesawang, portal perbankan internet atau pusat hubungan institusi perbankan mereka untuk maklumat lanjut.

sumber : harian metro

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More