Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Pengasas Sugarbook Ditahan Polis

Pengasas Sugarbook Ditahan Polis. Polis menahan pengasas aplikasi Sugarbook di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan menerusi Ops Sugarbook kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan anggota JSJ Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

PENGASAS SUGARBOOK MENGAKU BERSALAH

“Siasatan awal suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook.”

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 372(1)(d) Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berhubung mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral, bagi mencari ‘sugar daddy’. Data platform Sugarbook mendedahkan seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi ‘sugar baby’ diterima pihaknya membabitkan penuntut di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, susulan itu pihaknya telah membuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa ramai wanita Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai ‘sugar baby’. Selepas menjalani siasatan, pemeriksaan mendapati aplikasi tersebut melanggar akta dan kini sudah disekat di Malaysia.

Terdahulu pemilik akaun Persatuan Pengguna Cyber Malaysia pada status Facebooknya mendedahkan aplikasi Sugarbook adalah merupakan aplikasi perkhidmatan pelacuran.

“Untuk makluman pengguna siber, aplikasi itu merupakan laman sosial khusus bagi golongan wanita yang ingin mendapatkan ‘sugar daddy’ untuk tujuan seksual dan implikasi apps (aplikasi) ini sangat buruk buat masyarakat.

“Buat golongan isteri yang mempunyai suami berstatus kewangan yang tinggi, mungkin anda boleh cuba melihat aplikasi ini dalam telefon pintar suami anda,” tulisnya.

Sumber : SINAR HARIAN

 

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More