Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Perkara Perlu Tahu Tentang Suntikan Tifoid Untuk Pengendali Makanan

APA ITU SUNTIKAN TifoiD?

Suntikan Typhoid ialah Vaksin Kepialu yang kini diwajibkan kepada semua pengendali makanan dan minuman. Ini kerana secara amnya, kepialu dijangkiti jika anda makan atau minum minuman yang tercemar. Oleh itu adalah penting untuk semua pengendali makanan tak kira di hotel, kedai makanan segera, kedai dan gerai makanan wajib mengambil suntikan ini.

Seperti yang dimaklumkan oleh KKM, peniaga makanan yang beroperasi sepanjang tempoh PKP terutamanya e-bazar Ramadan ini bukan sahaja dikehendaki mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah perlu mengambil suntikan tifoid supaya tiada jangkitan penyakit bawaan makanan dilaporkan.

Perkara Perlu Tahu Tentang Suntikan Tifoid Untuk Pengendali Makanan 1

Apakah penyakit yang boleh disebabkan oleh bakteria tifoid ini dan di manakah kita boleh mendapatkan suntikan ini?

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu kita tahu tentang suntikan tifoid di Malaysia.

 

Isi Kandungan

1. APA ITU DEMAM KEPIALU ( DEMAM TIFOID )

Menurut InfoSihat.gov.my, demam tifoid adalah satu jangkitan bawaan makanan disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi (S. typhi).

Bakteria ini terdapat di dalam darah, urin dan najis pesakit dan juga najis pembawa.

Pembawa bakteria ini adalah seorang yang mempunyai bakteria tifoid tetapi tidak mempunyai gejala demam tifoid. Mereka ini sukar dikesan dan sentiasa mengeluarkan bakteria tifoid di dalam najis dan seterusnya menjangkiti orang lain.

2. KEPENTINGAN SUNTIKAN TYPHOID

Demam kepialu atau demam tifoid ini boleh merebak melalui pengendali makanan melalui makanan yang disediakan oleh pembawa / pesakit ini.

Selain itu, ia juga boleh merebak melalui hinggapan lalat, bekalan air yang tidak bersih, atau makanan dan minuman yang tercemar oleh najis.

Oleh itu, penting bagi seseorang pengendali makanan mendapatkan vaksin ini bagi memastikan mereka tidak menjadi pembawa dan seterusnya menjangkiti orang lain.

3. GEJALA DEMAM KEPIALU & BAHAYANYA

Sekiranya seseorang dijangkiti, gejala yang dirasai adalah seperti:

  • Demam panas berpanjangan
  • Sembelit
  • Sakit kepala
  • Cirit birit
  • Sakit perut
  • Sakit badan / lemah / letih lesu
  • Kurang selera makan
  • Mata layu dan cengkung
  • Tidak sedarkan diri dan meracau
  • Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan)

Demam tifoid ini boleh mengancam nyawa jika tidak mendapatkan rawatan awal.

Antara bahayanya adalah:

  • Pesakit boleh mengalami pendarahan dan bahagian yang dijangkiti di dalam ususnya boleh pecah/bocor
  • Menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal dan secukupnya.
  • Dua (2) hingga 5 peratus kes menjadi “carrier” atau pembawa kronik kerana bakteria masih wujud dalam saluran biliari walaupun gejala telah tiada.

4. HARGA SUNTIKAN TIFOID DI MALAYSIA

Sebelum mengetahui harga suntikan, tentu ramai yang nak tahu di mana kita boleh dapatkan suntikan tifoid ini di Malaysia.

Untuk pengetahuan, suntikan tifoid boleh didapati di klinik-klinik swasta, klinik kerajaan dan sesetengah Majlis Daerah / Pihak Berkuasa Tempatan turut menyediakan kemudahan ini.

Harga suntikan tifoid di Malaysia adalah sekitar RM45-RM80, bergantung kepada klinik, lokasi serta jenis vaksin. Suntikan ini biasanya bertahan sehingga 2-3 tahun.

Perkara Perlu Tahu Tentang Suntikan Tifoid Untuk Pengendali Makanan 2

Contoh maklumat tentang suntikan tifoid oleh DBKL.

5. GRABFOOD ANTARA YANG MEWAJIBKAN SUNTIKAN TIFOID

Pengendali makanan berdaftar seperti GrabFood contohnya, telah mewajibkan semua penghantar mereka mendapatkan suntikan tifoid. Pra-syarat ini berkuatkuasa pada 8 Ogos 2018 untuk meningkatkan standard keselamatan dan kebersihan perkhidmatan GrabFood.

Malah, pihak pentadbir akan menanggung pembayaran imunisasi ini dengan pembayaran maksima sebanyak RM41 sebagai insentif bagi memastikan semua penghantar mereka mendapatkan suntikan ini.

AMALKAN JUGA LANGKAH KESELAMATAN PENGENDALIAN MAKANAN

Selain mendapatkan suntikan tifoid, semua peniaga dan pengendali makanan atas talian juga perlu memastikan:

  • Premis makanan bersih
  • Menjaga kebersihan diri termasuk membasuh tangan sebelum menyediakan makanan dan selepas ke tandas.
  • Telah mendapat suntikan vaksin tifoid.
  • Sentiasa memakai apron yang bersih serta penutup kepala dan kasut yang bertutup semasa mengendalikan makanan.
  • Bahan mentah untuk masakan mestilah segar.
  • Proses nyahbeku daging atau ayam perlu sempurna.
  • Mencuci makanan dengan menggunakan air terawat yang mengalir
  • Masak menggunakan air terawat
  • Makanan perlu dimasak dengan sempurna sehingga suhu didih.
  • Makanan yang telah dimasak diasingkan dari yang mentah.
  • Makanan yang telah dimasak hendaklah disimpan dalam bekas bertutup untuk mengelakkan urungan lalat.
  • Menghabiskan makanan dalam masa 4 jam selepas ia disediakan.
  • Makanan yang disimpan pada suhu 0°C – 4°C
  • Makanan yang dipanaskan semula melebihi suhu 6°C.
  • Menggunakan penyepit atau sudu yang bersih untuk menghidangkan dan mengambil makanan.
  • Sentiasa memastikan air minuman menggunakan air yang telah dididihkan atau boleh menggunakan air minuman berbungkus.

Dalam menghadapi situasi wabak ini, eloklah kita sama-sama memastikan faktor keselamatan makanan turut terjaga agar mengelakkan keadaan bertambah parah dengan jangkitan penyakit lain ok!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More