PKP Perlu Diteruskan, Bukan PKPB
PKP Perlu Diteruskan! Susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 01 Mei 2020 memaklumkan bahawa hampir semua sektor ekonomi dibenarkan bermula 4 Mei ini, pelbagai pendapat yang dikeluarkan oleh rakyat melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan banyak lagi.
PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang telah diumumkan sedikit sebanyak mendapat kritikan daripada rakyat. Ada yang gembira, malah ada juga yang sebaliknya. Penulis sendiri masih ada rasa risau jika PKPB ini dilaksanakan terlalu awal.
Isi Kandungan
PKP Perlu Diteruskan
Bukan suka dengan situasi sekarang namun, kita kena fikirkan terutamanya untuk barisan hadapan kita. Penat lelah mereka sejak PKP dilaksanakan masih belum reda, ada juga yang belum bertemu keluarga sejak PKP, sekiranya PKPB dilaksanakan dan berlaku yang kita tidak ingini. Korang rasa siapa yang akan lebih bekerja keras untuk semua tu? Sudah tentu barisan hadapan kita kan.
Kita jadikan pengajaran apa yang berlaku pada Negara Jepun yang telah menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan terlalu awal mengakibatkan mereka dilanda gelombang Kedua Covid-19.
Hokkaido, iaitu pulau di utara Jepun ini telah dilanda gelombang kedua C0V1ID-19.
Sebanyak 135 jangkitan C0V1ID-19 dalam tempoh seminggu dilaporkan selepas menamatkan perintah berkurung tiga minggu apabila k3s jangkitan berkurang kepada satu angka.
Perintah berkurung yang ditamatkan pada 19 Mac lalu bagi membolehkan perniagaan dan sekolah beroperasi, kini mengisytiharkan darurat kecemasan.
Pengerusi Pertubuhan Perubatan Hokkaido, Dr Kiyoshi Nagase, berkata beliau menyesal kerana perintah berkurung ditamatkan terlalu awal di wilayah dengan 5.3 juta penduduk itu.
“Ini bermakna kita mungkin perlu menunggu hingga tahun depan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan kita boleh menamatkan perintah berkurung tanpa risau,” katanya.
Pakar kawalan penyakit berjangkit di Health Sciences University, Hokkaido, Prof Yoko Tsukamoto, turut bersetuju bahawa perintah berkurung ditamatkan terlalu awal.
“Pada masa itu, kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi atau pengetahuan mengenai wabak COV1D-19.
“Namun, kita tidak boleh persalahkan sesiapa kerana keputusan (menamatkan perintah berkurung) dibuat berdasarkan penurunan kadar jangkitan kepada hanya satu atau dua kes sehari.
“Tapi kini kita sedar ini menjadi kesilapan terbesar, walaupun pada masa itu ia adalah tindakan yang wajar dilakukan,” katanya.
Hokkaido melaporkan 38 kes baharu COV1D-19 kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan 688 jangkitan selain seorang maut, menjadikan jumlah keseluruhan 27 kematian iaitu yang kelima tertinggi di Jepun.
Kes pertama C0VID-19 di Hokkaido dikesan pada seorang pelancong China dari Wuhan ketika Festival Salji Sapporo pada Februari lalu sebelum perintah berkurung diisytiharkan, yang dihadiri dua juta orang.
Belajar dari Sejarah
Ini pula perkongsian dari selebriti Faizal Tahir. Faizal turut berkongsi infografik pandemik selsema melanda Sepanyol pada 1918. Wabak itu melarat selama 2 tahun dengan 3 fasa. Majoriti kematian berlaku pada fasa kedua kerana rakyat terlalu cepat meraikan kebebasan dari kuarantin dan penjarakan sosial sehingga meragut lebih puluhan juta nyawa.
KUALA LUMPUR, 2 Mei — Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin semalam, merupakan satu khabar gembira buat rakyat Malaysia setelah hampir dua bulan ‘terkurung’ di dalam rumah.
Kebenaran untuk sebahagian besar sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi, selain kebenaran beberapa aktiviti lain dengan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat, pasti amat ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk kembali bekerja, lebih-lebih lagi ramai yang telah terputus mata pencarian ekoran pelaksanaan PKP.
Dalam tempoh berkenaan telah ramai yang kehilangan pekerjaan, tidak kurang yang terpaksa dipotong gaji, apabila majikan masing-masing sudah tidak mampu untuk menampung kerugian dan hal ini berlaku di hampir di seluruh negara, yang diserang oleh virus pandemik ini.
Muhyiddin berkata kesan tersebut turut dirasai kerajaan, apabila negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, dan jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion.
Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, Malaysia dilaporkan akan mengalami kerugian RM35 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion, dan ini sudah tentu akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara dan mengambil masa lama untuk pulih kembali.
Pelbagai reaksi turut diberikan rakyat atas tindakan melaksanakan PKPB ini, dan walaupun ramai yang menzahirkan sokongan serta memahami keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu, namun tidak kurang juga menyatakan kebimbangan, langkah itu akan menyebabkan kes positif COVID-19 kembali meningkat.
Segala tindakan kerajaan itu, pastinya dibuat setelah perbincangan mendalam dilakukan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan pelbagai kementerian berkaitan, dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.
Kerajaan ternyata mempunyai perancangan yang jelas menggunakan enam strategi utama iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal penularan wabak COVID-19 dengan melaksanakan PKP, serta membina ketahanan melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi.
Kini kerajaan dalam fasa ketiga iaitu menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal; diikuti melaksanakan strategi pemulihan ekonomi; memperkasa ekonomi secara menyeluruh; dan terakhir menyusun semula struktur ekonomi, untuk menghadapi perubahan kehidupan dengan adanya ‘normal baharu’.
Disebabkan itu juga kerajaan menetapkan pelbagai SOP yang ketat, untuk semua sektor perniagaan yang beroperasi selain menggalakkan sektor awam dan swasta mengamalkan normal baharu pekerjaan, termasuk bekerja dari rumah selain penggiliran jadual harian bekerja untuk membendung virus COVID-19.
Oleh itu sebagai rakyat, kita perlu patuh kepada langkah kerajaan ini membalas jasa petugas barisan hadapan, dengan mematuhi SOP yang telah disediakan untuk mengelak penularan kembali wabak ini.
Patuhi jarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai penutup hidung dan mulut, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19, dan lindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Jangan dek keterujaan dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan itu kita menjadi alpa, kerana tidak mustahil kes positif COVID-19 kembali meningkat, seperti yang berlaku di Jerman dan Hokkaido, Jepun. Bersama kita perangi COVID-19.
Kredit : BERNAMA