Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kesan Positif Daripada Larangan Tazkirah Ketika Tarawih

Sudut Positif Ketiadaan Tazkirah Ketika Solat Tarawih

tazkirah

GEORGETOWN: Larangan supaya tiada tazkirah ketika solat tarawih perlu dilihat secara positif dan tidak wajar dipertikaikan umat Islam terutama dalam tempoh negara masih lagi berjuang melawan pandemik Covid-19.

Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Mohd. Noor berkata, keputusan itu yang dibuat di dalam mesyuarat jawatan kuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman baru-baru ini bertujuan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadat solat sunat tersebut.

Katanya, solat tarawih itu dilaksanakan ketika aktiviti dan pergerakan rakyat dibatasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mencegah penularan pandemik Covid-19.

“Menyampaikan tazkirah sewaktu solat tarawih bukanlah amalan yang wajib dilakukan sebaliknya boleh dibuat pada waktu-waktu lain yang lebih sesuai.

“Tazkirah masih dibenarkan diadakan pada waktu-waktu lain seperti selepas solat subuh, waktu dhuha, selepas solat zuhur dan sebagainya sepanjang Ramadan ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan ketiadaan takzirah semasa solat tarawih seperti diputuskan di negeri ini disebabkan oleh pengaruh DAP di negeri ini.

Menurut beliau, umat Islam perlu diingatkan tazkirah sewaktu solat tarawih bukan amalan sunah.

Malah katanya, amalan itu tidak pernah dilakukan umat Islam pada zaman Rasullullah SAW dan para sahabat Nabi yang dianggap sebagai generasi-generasi terbaik yang seharusnya menjadi ikutan umat Islam.

“Umat Islam sepatutnya mengambil peluang daripada kehadiran bulan yang mulia ini dengan mengerjakan ibadat sebanyak mungkin terutamanya menghidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadat qiamulail, membaca al-Quran, zikir dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti-aktiviti lain termasuk ceramah dan tazkirah sewajarnya ditangguhkan buat sementara waktu.

“Ramadan adalah peluang keemasan untuk umat Islam meningkatkan kemantapan rohani masing-masing.

“Ini adalah dengan melakukan amalan-amalan sunat, berpuasa pada siang hari manakala malamnya pula dipenuhi dengan solat sunat dan ibadat-ibadat lain seperti yang disarankan Islam,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Zakat Fitrah Negeri Pahang

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More