Sumber Rujukan Globalisasi Anda

PROGRAM SIBERKASA DILANCAR UNTUK LESTARIKAN PRASARANA DAN EKOSISTEM KESELAMATAN SIBER

Program PemerKASAan Keselamatan SIBER (SiberKASA)

Program PemerKASAan Keselamatan SIBER (SiberKASA) dilancarkan pada 23 Mac lalu bagi melestarikan bidang keselamatan siber dalam menangani ancaman serta serangan siber yang semakin kompleks, dinamik dan canggih.

Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata SiberKASA merupakan inisiatif untuk membangun, memperkasa, melestari, dan mengukuhkan prasarana serta ekosistem keselamatan siber di Malaysia bagi memastikan keselamatan sistem rangkaian serta kesiapsiagaannya.

siberkasa

Inisiatif CyberSecurity Malaysia (CSM), agensi pakar teknikal keselamatan siber di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), itu mengandungi tiga komponen utama iaitu Manusia, Proses dan Teknologi, katanya.

“Pendekatan secara holistik yang merangkumi komponen manusia , proses dan teknologi perlu dijadikan asas kepada pembentukan dasar dan perancangan strategik,” katanya ketika melancarkan SiberKASA, di sini hari ini.

Di bawah komponen Manusia, katanya banyak insiden keselamatan siber berpunca daripada faktor manusia yang menggunakan teknologi dan internet secara tidak bertanggungjawab, bersikap tidak peduli dan naif, serta ditambah pula dengan penggunaan teknik kejuruteraan sosial oleh penjenayah untuk melancarkan serangan siber.

“Maka, langkah-langkah pencegahan seperti program kesedaran dan latihan perlu diadakan secara kerap dan berkala melibatkan semua peringkat di sesebuah organisasi mahu pun orang awam,” katanya. Di bawah aspek Proses, ia melihat kepada keperluan mempunyai garis panduan, undang-undang, peraturan serta piawaian atau standard.

“Kita dari semasa ke semasa meneliti dan melihat semua aspek dan apabila ada keperluannya untuk pindaan, akan kita cadangkan kepada kerajaan,” katanya. Aspek Teknologi pula akan membuat penilaian keselamatan dan ujian kerentanan secara berkala serta penggunaan produk yang mematuhi standard keselamatan, katanya.

Pengerusi CSM Jeneral (Bersara) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata komponen Manusia merangkumi perkhidmatan CyberSAFE L.I.V.E Galeri dan “Global Accredited Cybersecurity Education Certification’s Upskilling Programme”, yang merupakan program latihan peningkatan kemahiran dan pembangunan kapasiti keselamatan siber.

CyberSAFE L.I.V.E Galeri, yang turut dirasmikan Saifuddin pada majlis itu, adalah hab pembelajaran dan pengajaran serta penyebaran maklumat mengenai keselamatan siber di Malaysia dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Galeri Keselamatan Siber Partama  di Malaysia.

Mohd Azumi berkata komponen Proses pula menyenaraikan tujuh Garis Panduan Industri Keselamatan Siber yang disasarkan untuk diguna pakai oleh industri, khususnya pembangun dan pentadbir sistem dan produk keselamatan, penyelidik serta pengguna teknologi yang berkaitan Komponen Teknologi di bawah inisiatif SiberKASA itu pula mengandungi produk hasil inovasi yang dibangunkan melalui kepakaran dalaman CSM antaranya CamMuka 2.0 dan xForensik, katanya. Sementara itu, Saifuddin berkata KKMM sedang dalam rangka untuk menyediakan kertas Kabinet bagi penggubalan Akta Anti Buli Siber.

“Kami mempunyai idea secara kasar bagaimana fungsi akta itu nanti  tapi perkara pertama mendapatkan keputusan Kabinet dari segi dasar untuk kita mempunyai sebuah Akta Anti Buli Siber,” katanya, sambil menambah ia akan disiapkan secepat mungkin.

Sumber BERNAMA

Artikel lain: MaGIC dan ScaleUp bergabung

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More