Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Projek PR1MA terbengkalai di PD siap September depan

Projek PR1MA Dijangka Siap Pada September

projek

KUALA LUMPUR: Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Port Dickson, Negeri Sembilan yang dilapor terbengkalai sebelum ini, dijangka siap September ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata tiada sebarang kerja dijalankan ketika ini kerana kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja seperti diminta.

“Kontraktor itu gagal menyiapkan kerja dan sudah ditamatkan. Kita akan ambil kontraktor baharu dalam masa terdekat untuk selesaikan isu ini segera.

“Dengan adanya kontraktor baharu itu, saya jangka projek akan siap September tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Lorong Ampang Mampan (SDGs) di sini, hari ini.

Semalam, seramai 659 pembeli rumah PR1MA di Port Dickson dilaporkan tertekan selepas rumah dijanjikan belum siap sejak dibeli tiga tahun lalu, namun tetap perlu membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.

Mereka membeli rumah itu pada 2018 tetapi keadaan di tapak projek PR1MA Port Dickson amat menyedihkan kerana tiada kerja pembinaan dilakukan pemaju seperti dijanjikan.

Mengulas sama ada pembeli layak menerima pampasan berikutan rumah belum siap, beliau berkata, tiada peruntukan memberi pampasan setakat ini.

Apabila ditanya jika ada projek lain turut berdepan masalah sama, beliau berkata, projek Residensi Tebrau yang sebelum ini mengalami kelewatan akan siap sepenuhnya bulan ini.

“Semalam saya dimaklumkan projek itu sudah mendapat Sijil Siap dan Pematuhan (CCC). Jadi bila-bila masa saja saya akan turun untuk serahkan kunci kepada pembeli,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, dalam lawatan ke Highland Towers di sini pagi tadi, kerja meroboh dan membersihkan kawasan yang terbiar sejak 28 tahun itu akan dimulakan tidak lama lagi dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Tanah dan Daerah.

Selepas kawasan seluas 0.81 hektar itu dibersihkan, katanya, penduduk di kawasan itu mencadangkan untuk membina 50 unit banglo.

Pada Ogos 2018 lalu, Zuraida mencadangkan Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi.

Cadangan itu dibuat memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Pahang usahakan baikpulih penduduk tempatan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More