Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Ringkasan Perutusan Pelan Pemulihan Negara

Sekejap Tadi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengemukakan tentang Pelan Pemulihan Negara bagi langkah seterusnya selepas PKP Penuh ini.

Berikut merupakan ringkasan Intipati Perutusan Khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pelan Pemulihan Negara.

“Negara kehilangan RM1 bilion ringgit sehari sepanjang PKP dilaksanakan pada masa ini”

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri Muhyiddin umum Strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa, libatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat. Hal ini adalah kerana, keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh ini telah berjaya mengelakkan berlakunya peningkatan kes-kes baharu secara lebih mendadak atau exponential surge of new cases.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat unjuran sekiranya PKP tidak dilaksanakan, kes harian COVID-19 di negara kita mencecah lebih 13,000 kes pada hari ini dan seluruh sistem kesihatan kita akan runtuh

Pelan Pemulihan Negara

Kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup saudara dan saudari sekalian.

Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa.

Strategi Pelan Pemulihan Negara ini merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat. Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

  1. Keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian;
  2. Keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU; dan
  3. Tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin

Ringkasan Perutusan Pelan Pemulihan Negara

Fasa Pertama

Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP Menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Kerajaan sedang menimbang untuk beralih fasa Sekiranya Purata Kes Harian adalah 4,000 kes. Fasa akan beralih apabila 10 % populasi telah menerima 2 Dos Vaksin.

Fasa Kedua

kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat.

Semasa fasa kedua:

  1. Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis;
  2. Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor; dan
  3. Aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Penambahan sektor senarai positif semasa Fasa 2 termasuk aktiviti pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah. Semasa Fasa 2, dengan pendekatan senarai positif, masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi  seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.

Fasa Ketiga

Melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

Peralihan ini akan berlaku sekiranya berjaya mencapai nilai ambang iaitu:

  1. Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 2 ribu kes;
  2. Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi; dan
  3. 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021.

Semasa Fasa Ketiga:

  1. Semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian;
  2. Sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80% seperti Fasa Kedua; dan
  3. Aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.

Semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti.

Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan.

Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi.

Peralihan dari fasa ketiga kepada fasa keempat adalah sekiranya mencapai nilai ambang berikut:

  • Purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes;
  • 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin;
  • Sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi.

Fasa Keempat

Fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.

Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.

Kesimpulannya

Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik di mana sekiranya kita berjaya dalam tiga indikator utama pada mana-mana fasa, Kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke Fasa seterusnya.

Anda boleh membaca teks penuh ucapan Pelan Pemulihan Negara disini.

Sumber Astro Awani

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More