Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Tips Ajar Anak Manja Menjadi Berdikari

Anak terlalu manja? Cuba ingat kembali, adakah kita melakukan hampir semua perkara untuk anak kecil yang sangat kita sayangi? Adakah kita tidak membenarkan mereka melakukan sesuatu perkara itu kerana menganggap mereka masih kecil lagi. Walaupun anak ini masih kecil lagi, tetapi mereka sebenarnya mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu perkara seperti orang dewasa. Kanak-kanak punya perasaan ingin tahu yang sangat tinggi dan sentiasa ingin meneroka persekitarannya.

Tips Ajar Anak Manja Menjadi Berdikari 1

Berikut merupakan beberapa tips ajar anak yang terlalu manja ke arah menjadi individu yang lebih berdikari. Semoga bermanfaat buat semua ibu bapa di luar sana.

Isi Kandungan

BERI ANAK MASA

Kita semua sebagai ibu bapa sememangnya mahu sesuatu perkara itu diselesaikan dengan pantas, bukan? Namun, sejujurnya ia sukar berlaku sekiranya anak kecil membantu atau melaksanakan perkara tersebut buat kita. Apabila kita hilang sabar lantas menyuruh anak kecil tersebut ‘cepat, cepat, cepat’, pasti runtuh emosi anak yang ingin membantu kita pada waktu itu kerana ibu bapa tidak memberikan kepercayaan kepada mereka untuk melakukan perkara tersebut mengikut kemampuan mereka.

Bimbang tidak cukup masa atau risau terlewat? Lakukan perkara tersebut seawal 15 minit atau 30 minit daripada jangkaan selesai perkara itu. Beri anak masa untuk belajar melakukan serta menyelesaikan perkara yang mereka ingini. Siapa tahu, mungkin dengan bersabar sedikit sahaja lagi, anak kita sudah berjaya melakukan perkara  tersebut?

BERI ANAK PILIHAN

Hidup ini penuh dengan pilihan. Anak kecil juga seharusnya turut diberi peluang untuk membuat pilihan selagi ianya tidak memberi kemudaratan buat dirinya.

Sebagai contoh, beri anak pilihan pakaian yang ingin dipakainya pada hari itu, memilih buku yang ingin dibaca, memilih permainan untuk dimainkan bersama, atau memilih makanan kegemaran mereka. Bantu anak kecil ini membuat pilihan agar mereka dapat belajar membuat pilihan terbaik. Terima pilihan mereka agar mereka turut merasakan bahawa pendapat mereka juga adalah penting serta boleh diguna pakai.

Dengan cara ini, anak kecil bukan sahaja dapat belajar membuat keputusan, malah dapat meningkatkan penghargaan kendiri (self esteem) mereka.

BIAR ANAK BUAT SENDIRI

Tips ajar anak yang seterusnya adalah dengan merelakan anak kecil untuk melakukan sendiri perkara yang ingin dicuba. Sebagai ibu bapa, usah terlalu cepat memberikan pertolongan untuk membantu mereka.

Sebagai permulaan, mungkin ibu bapa boleh menunjukkan cara-cara untuk melakukan sesuatu perkara itu. Kemudian, biarkan anak untuk melakukannya sendiri. Beri kepercayaan kepada anak kecil ini, lihat kemampuan mereka dan pantau keadaan mereka. Anak kecil akan belajar kesan dan akibat daripada percubaan mereka itu.

BERI ARAHAN JIKA PERLU

Sekiranya perlu, ibu bapa boleh memberikan arahan buat si kecil ini dalam proses mendidik mereka untuk menjadi lebih berdikari. Maklumkan kepada anak langkah demi langkah untuk melakukan sesuatu perkara itu agar anak dapat belajar dan memahami perkara tersebut dengan lebih baik lagi.

Arahan yang spesifik, jelas dan nyata daripada ibu bapa pasti dapat membantu anak melakukan sesuatu perkara tersebut dengan jayanya.

WUJUDKAN PERSEKITARAN MESRA KANAK-KANAK

Dalam mengajar anak untuk menjadi lebih berdikari, kita sebagai ibu bapa seharusnya mewujudkan persekitaran yang mesra kanak-kanak.

Sebagai contoh, letakkan pinggan dan cawan plastik di tempat yang mudah dicapai oleh mereka agar mereka dapat mengambilnya pada bila-bila masa apabila diperlukan. Atau sediakan botol plastik berisi air untuk dituang sendiri ke dalam cawan apabila mereka berasa haus dan ingin minum. Sekiranya air tertumpah, anak kecil ini perlu belajar untuk mengelap sendiri tumpahan air tersebut. Selain itu, ibu bapa juga boleh menyediakan kerusi buat si kecil untuk mencuci pinggannya sendiri di sinki selepas makan.

ajar

Penutup

Cara in sangat bermanfaat buat si kecil untuk belajar berdikari dan mereka akan mencapai kepuasan apabila berjaya melakukan perkara tersebut dengan sempurna suatu masa nanti.

Dengan mempraktikkan tips ajar anak untuk lebih berdikari seperti di atas, ia tidak bermakna ibu bapa mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka. Ibu bapa perlu belajar melepaskan mereka untuk melakukan pelbagai perkara kerana mereka tidak selamanya kecil. Zaman kanak-kanak mereka sekejap sahaja akan berlalu pergi. Pejam celik pejam celik, mereka akan menginjak ke alam remaja dan dewasa. Anak-anak ini akan turut menjalani kehidupan yang mencabar seperti kita tidak lama lagi.

Sumber Siraplimau

Artikel lain: Hukum Bermesraan Bersama Pasangan Ketika Bulan Ramadan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More