Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Tubuh Jawatankuasa Teknikal Nilai Ubahsuai Banglo Bukit Bendera

Dicadangkan Panel Jawatankuasa Teknikal bagi menjalankan penilaian

teknikal

GEORGETOWN: Kerajaan negeri disarankan menubuhkan sebuah Panel Jawatankuasa Teknikal bagi menilai banglo-banglo warisan di Bukit Bendera di sini yang akan dijadikan inap desa bagi memastikan nilai warisan dan sejarah banglo berkenaan kekal terpelihara.

Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata, lebih 50 banglo yang antaranya dimiliki kerajaan negeri dan pihak persendirian di Bukit Bendera mempunyai nilai sejarahnya tersendiri yang harus dipelihara oleh semua pihak walaupun setelah dijadikan rumah inap desa.

Jelas beliau, setakat ini pihaknya dimaklumkan terdapat lima buah banglo di Bukit Bendera yang bakal diubah suai dan dijadikan rumah inap desa malah difahamkan pelan pengubah suaian itu juga telah dihantar kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Namun saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan negeri, adakah nilai warisan banglo berkenaan dapat dipelihara setelah diubah suai untuk dijadikan inap desa.

“Oleh itu, kami mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan sebuah Panel Jawatankuasa Teknikal bagi menjalankan penilaian dengan menggunakan khidmat pakar-pakar bebas sebelum banglo-banglo di Bukit Bendera ini dibenarkan untuk diubah suai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Yan Lee, pihaknya tidak menentang sebarang usaha pembangunan untuk memajukan ekonomi rakyat namun adalah wajar pembangunan semula dan pengubahsuaian banglo-banglo berkenaan dilakukan mengikut prosedur yang teratur.

Jelasnya, Bukit Bendera kaya dengan nilai warisan dan sejarah tersendiri yang dibimbangi akan terjejas sekiranya banglo-banglo di situ diusik selepas diubah suai.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf Bukit Bendera sebagai Rizab Biosfera (Biosphere Reserved) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Disebabkan itu katanya, sebarang pembangunan atau pengubahsuaian banglo di kawasan Bukit Bendera perlu dijalankan dengan teliti secara teknikal.

“Kita mahu pelancong yang datang ke Bukit Bendera menghayati keindahan alam dan sejarah yang ada di sana tanpa pembangunan berlebihan yang menjejaskan kawasan semula jadi di situ,” katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia cuba mendapatkan penjelasan daripada Datuk Bandar MBPP, Ar Yew Tung Seang mengenai status lima banglo di Bukit Bendera yang didakwa akan diubah suai untuk dijadikan inap desa, namun tiada maklum balas diterima setakat ini.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: JAPERUN Agih Makanan Sebagai Bantuan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More