Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Negara Tua Malaysia Bakal Menjadi Realiti 2030

Negara Tua Malaysia adalah merujuk kepada apabila penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara. Menerusi Kenyataan Media bagi Penerbitan Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dilaporkan bahawa peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.0 peratus kepada 7.3 peratus bagi tempoh yang sama dan berdasarkan definisi United Nations, Malaysia telah menjadi negara menua. 

Namun yang demikian, dilaporkan menerusi spektrum statistik Jangkaan Hayat Malaysia 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada 28 September 2022, purata jangka hayat rakyat Malaysia dilihat menurun dimana lelaki dan perempuan berumur 65 tahun pada 2022 masing-masing dijangka hidup selama 14.2 tahun dan 16.4 tahun lagi. Ini bermakna mereka dijangka hidup sehingga berusia 79.2 tahun bagi lelaki dan perempuan, 81.4 tahun. Penurunan dapat dilihat jika dibandingkan dengan jangkaan statistik yang dilaporkan pada tahun 2012, bahawa seorang lelaki yang mencapai umur 65 tahun pada 2018 dijangka akan hidup selama 15.0 tahun lagi manakala bagi wanita selama 17.2 tahun lagi. Menurut Jabatan Perangkaan, statistik jangkaan hayat di negara ini mencatatkan penurunan sejak 2020 adalah disumbangkan oleh faktor peningkatan lebihan kematian semasa pandemik Covid-19 dan malaysia dijangka akan menjadi negara tua menjelang 2030.

Pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan oleh sesebuah negara tua dalam usaha bersiap siaga mengalami transformasi negara tua. Aspek-aspek berkenaan seperti yang telah diutarakan oleh Prof. Madya Dr Shaharudin Idrus dalam penulisannya di akhbar Berita Harian pada tahun 2016, termasuklah pembangunan prasana minda dan pembangunan prasana fizikal. Pembangunan prasana minda meliputi perhatian dan kasih sayang yang wajar diberikan kepada golongan warga emas. Tidak dinafikan bahawa golongan warga emas bukan sahaja mempunyai risiko tinggi untuk terdedah kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit, malahan penyakit mental seperti kemurungan turut menjadi ancaman tegar terhadap golongan ini. 

Di antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kemurungan dalam kalangan warga emas merupakan faktor keupayaan warga emas untuk mengurus diri mereka sendiri termasuklah dari segi kewangan, pergerakan, komunikasi dan pemakanan. Malahan, sebuah kajian yang dijalankan dalam kalangan warga emas di sekitar negeri Johor (Nur Aqlili Riana, 2018) mencerminkan bahawa warga emas yang mempunyai prestasi kesihatan fizikal meliputi imbangan badan, kelajuan berjalan dan kelenturan tubuh badan yang kurang memuaskan adalah berisiko tinggi untuk mengalami kemurungan. Sehubungan itu, program-program seperti senaman aerobik, 10,000 langkah dan gotong-royong adalah antara inisiatif yang dapat dijalankan dalam usaha meningkatkan prestasi kesihatan fizikal golongan warga emas menjelang negara tua 2030.

Status Negara Tua Menaik Pada 2030

negara tua

KANGAR – Kerajaan akan terus memberi perhatian khusus terhadap warga emas sebagai persediaan bagi menghadapi status negara tua menjelang 2030, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, peratus warga emas (melebihi umur 60 tahun) dijangka meningkat secara drastik iaitu kepada 5.3 juta dalam masa 10 tahun akan datang.

“Pada 2020 terdapat 3.7 juta orang warga emas di negara ini dan ia dijangka meningkat sebanyak 15.3 peratus iaitu kepada 5.3 juta pada 2030,” katanya ketika berucap pada Program Volunteerism @Pawe: Bengkel Kemahiran Asas Kesukarelawanan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kajian juga menunjukkan hampir 23 peratus atau 538,000 orang daripada 2.4 juta warga emas di negara ini mengalami sindrom sarang kosong iaitu ‘empty nest’ (rasa kesunyian dan sedih) akibat tinggal bersendirian dan jauh daripada anak-anak.

“Kesunyian dan kemurungan ini memberi kesan kepada kesihatan mereka, serta membataskan peranan mereka sebagai anggota masyarakat,” katanya.

Rina berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Pelan Strategiknya 2021 hingga 2025, memberi penekanan kepada pembangunan warga emas di negara ini. Walaupun kita bakal menjadi negara tua, pembangunan harus diteruskan untuk mencapai taraf sebagai negara maju.

Katanya, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan telah menaikkan bantuan kewangan tahunan pengendalian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daripada RM33,330 kepada RM50,000 bagi melaksanakan program dan aktiviti PAWE selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif.

“Pada tahun ini juga sebanyak RM7.15 juta diperuntukkan bagi pengoperasian 143 PAWE di seluruh negara sebagai tanda komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup warga emas.

“PAWE beroperasi berteraskan konsep Organisasi Berasaskan Komuniti yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan dengan kerjasama strategik KPWKM,” katanya.

Sumber Bernama

Artikel lain : Dana GSPSB diteruskan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More