Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Cacar Air (Chicken Pox) -Tanda,Komplikasi,Rawatan dan juga Pencegahan

Isi Kandungan

Jangkitan Cacar Air (Chicken Pox)

Cacar Air (Chicken Pox) -Tanda,Komplikasi,Rawatan dan juga Pencegahan 1

Ini ialah jangkitan biasa yang berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan oleh virus. Virus cacar air juga dikenali sebagai virus varicella. Ia adalah virus sama yang menyebabkan kayap. Ia merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh merebak daripada seorang ke seorang. Seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters). Ianya merebak:

  • Melalui udara apabila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.
  • Dengan menyentuh atau bernafas masuk “partikel virus” yang terdapat pada cecair yang keluar daripada lepuh (blister) .

Tanda Dan Gejala

Anak anda akan mendapat cacar air 10-21 hari selepas terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar air. Cacar air boleh merebak 1–2 hari sebelum ruam kelihatan pada orang yang di jangkiti sehingga semua ruam  kering. Kebanyakan kanak-kanak mengalami jangkitan yang tidak serius. Namun jangkitan cacar air bagi orang dewasa,remaja serta anak kecil kurang dari setahun boleh menjadi lebih serius.

Gejala:

  • Demam, rasa tidak sihat dan letih lima hari sebelum ruam timbul.
  • Ruam bermula bintik merah yang kecil dan gatal (seperti jerawat) pada semua badan termasuk mulut. Biasanya ruam bermula di dada dan belakang, kemudian merebak ke muka, kepala, kedua-dua lengan dan kaki.
  • Dalam masa 24 jam, ruam-ruam akan kelihatan seperti lepuh air (blister), kemudian pecah, kering dan menjadi keruping (4 -5 hari).
  • Bintik-bintik baru akan terus timbul untuk lima hari dan mengambil masa dua minggu untuk hilang.

cacar air

Biasanya jangkitan cacar air ini menghasilkan pelalian seumur hidup. Walau bagaimanapun, virus ini mungkin bersembunyi dan berulang sebagai kayap (shingles) kepada orang dewasa dan kadang-kala kepada kanak-kanak.

Komplikasi

Biasanya cacar air ialah masalah kesihatan ringan bagi kanak-kanak dan kebanyakannya akan pulih.

Walau bagaimanapun, sesetengah orang berisiko mendapat komplikasi yang teruk, iaitu bayi yang baru lahir, orang dewasa dan seseorang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.

Komplikasi lain yang boleh berlaku termasuk:

  • Jangkitan kuman pada kulit.
  • Jangkitan pada darah (blood stream infection).
  • Radang paru-paru.
  • Keradangan otak (“encephalitis,cerebellar ataxia”).

Rawatan

Amnya:

  • Elakkan anak anda ke sekolah atau taman asuhan kanak-kanak sehingga ruam menjadi berkerak (lebih kurang tujuh hari daripada permulaan ruam). Jika tidak kemungkinan kawan-kawannya akan turut dijangkiti. Elakkan dari naik kapal terbang pada masa ini.
  • Ambil ubat paracetamol untuk mengurangkan demam.
  • Minum banyak air masak.
  • Ambil makanan yang seimbang.
  • Sentiasa membasuh tangan.

Untuk rasa gatal:

  • Sapu losen kalamine di tempat ruam.
  • Potong kuku pendek untuk mengelakkan kecederaan kulit semasa menggaru.
  • Ubat antihistamine mungkin diberi oleh doktor jika rasa gatal yang teramat sangat sehingga anak anda tidak dapat tidur.

Ubat antivirus untuk cacar air (dalam bentuk makan) boleh didapati dan selalunya akan diberi oleh doktor kepada mereka yang berisiko mendapat jangkitan yang teruk, iaitu:

  • Berumur 12 tahun ke atas.
  • Mengidap penyakit paru-paru/kulit yang kronik.
  • Mereka yang menjalani terapi lama dengan mengambil ubat “salicylate” seperti aspirin.
  • Mereka yang menjalani terapi steroid sama ada jangka pendek atau berkala (dalam bentuk sedut).
  • Segolongan ibu-ibu mengandung.

Pencegahan

  • Cacar air boleh dicegah dengan suntikan pelalian.Vaksin “varicella” ini tiada di dapati dalam program immunisasi sekarang akan tetapi terdapat pada sektor swasta. Minta nasihat doktor.
  • Jika anda mendapat cacar air, elakkan jangkitan kepada orang lain dengan tidak pergi ke sekolah atau ke tempat kerja sehingga lepuh menjadi kering dan berkerak.
  • Vaksin juga boleh diberi kepada anak anda yang belum pernah dijangkiti penyakit ini jika terdedah kepada individu yang menghidap cacar air untuk mengelakkan anak anda daripada mendapat penyakit ini. Sila berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.
  • Seseorang yang berisiko mendapat cacar air yang teruk (bayi yang baru lahir, yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, wanita mengandung) yang terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar air, mungkin diberi antibodi dalam bentuk immunoglobulin untuk memberi perlindungan segera.

Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia

Penutup

Akhir kata, diharapkan perkongsian kali ini berkaitan Cacar Air ini akan memberi sedikit info untuk tatapan anda semua. Untuk mendapatkan lebih banyak info berkaitan kesihatan dan info-info semasa anda boleh layari website t.me/tcerdot.my. Terima Kasih

Menarik Untuk Dibaca:Penyakit Insomnia, Penyakit Taun, Penyakit Rabies, Penyakit Strok, Penyakit Gout, Tekanan Darah Tinggi , Penyakit batu Karang, Kanser Perut Penyakit Anemia

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More