Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Covid-19 Kes Sporadik Punca Jangkitan Baharu dan Kematian

Isi Kandungan

Jumlah kes harian baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan penurunan pada Ahad apabila sebanyak 6,241 kes dilaporkan berbanding 7,452 kes pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian yang direkodkan pula ialah 87 kes membabitkan 84 warganegara dan tiga bukan warganegara.

“Angka terbaru yang direkodkan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia sebanyak 616,815 kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memberitahu, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,178 kes diikuti Sarawak (600), Johor (565), Negeri Sembilan (556) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (415).

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Perlis pula kekal menjadi negeri melaporkan pertambahan kes terendah dengan dua jangkitan baharu.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes jangkitan baharu yang dikesan, 6,227 adalah kes tempatan manakala 14 kes import:

Kes Import

  • Selangor (10 import A):
    • 1 Angola
    • 2 China
    • 1 Hong Kong
    • 1 France
    • 1 Germany
    • 1 Singapore
    • 1 UAE
    • 2 Timor Leste
  • KL ( 1 import A)
  • Johor (1 Import A)
  • Sarawak (1 Import A): 1 Brunei
  • Labuan (1 Import A)

Bilangan orang balik Malaysia semalam adalah 595 orang manakala bilangan orang PUS dari luar negara sedang kuarantin adalah 8805 orang

“Dengan pertambahan kes baharu ini, kes aktif ketika ini sebanyak 86,628 kes manakala yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 890 kes. Sebanyak 444 kes pula memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Kata Dr Noor Hisham, sebanyak 30 kluster baru turut dilaporkan menjadikan jumlah kluster bertambah kepada 2,338 kluster.

Ujar beliau, sebanyak 713 kluster masih aktif sementara 1,625 kluster telah tamat.

“Daripada jumlah kluster baru itu sebanyak 18 kluster adalah daripada kategori kluster tempat kerja dengan 10 kluster melibatkan sektor perkilangan.

“Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan majikan untuk sentiasa memastikan kepatuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan Kementerian Perdagangan Antarbangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Jelasnya, pematuhan terhadap SOP itu untuk mengimbangi kelangsungan operasi perkilangan di samping membendung penularan Covid-19.

Dr Noor Hisham turut memberitahu, negara kini berhadapan dengan trend peningkatan mendadak kes baharu dan kes kematian Covid-19 terutama selepas 1 April lalu.

“Majoriti kes baharu dan kematian merupakan kes sporadik yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

“Berdasarkan analisis yang dijalankan, didapati jumlah kumulatif kes baharu Covid-19 sehingga 3 April lalu ialah sebanyak 8,968 kes dengan 52 peratus membabitkan kes sporadik,” katanya.

Trend itu kekal tinggi sehingga Sabtu (5 Jun) dengan jumlah kes baharu Covid-19 dilaporkan sebanyak 52,040 kes dengan 84.3 peratus adalah kes sporadik.

Justeru, beliau menyeru masyarakat untuk mengambil serius situasi itu kerana ia menunjukkan penularan Covid-19 berlaku di dalam komuniti termasuk di kawasan beli-belah dan tempat kerja.

Tegasnya, masyarakat perlu faham bahawa sesiapa sahaja boleh dijangkiti Covid-19 tidak kira di mana mereka berada.

“Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes sporadik dan kematian di dalam komuniti,” katanya.

Sumber Sinar Harian

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More