Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan Bermula 1 Julai 2025

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan bermula pada 1 Julai 2025 untuk makluman semua rakyat Malaysia di luar sana.
Isi Kandungan
Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan
Pada 9 Jun, Kerajaan mengumumkan semakan semula Kadar Cukai Jualan yang disasarkan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan, yang kedua-duanya akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan asas, manakala kadar 5% atau 10% akan dikenakan ke atas barangan terpilih.
Dalam pada itu, skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas untuk merangkumi enam perkhidmatan baharu, iaitu:
- Penyewaan atau Pajakan;
- Pembinaan;
- Kewangan;
- Penjagaan Kesihatan Swasta;
- Pendidikan; dan
- Perkhidmatan Kecantikan.
Cukai Perkhidmatan merupakan cukai yang dikenakan ke atas perkhidmatan bercukai tertentu yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan berdaftar kepada pelanggan, cukai dikenakan secara langsung kepada penerima perkhidmatan.
Bagi mengurangkan bilangan perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop Cukai Perkhidmatan, YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan juga telah memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan Pajakan atau Sewaan serta Perkhidmatan Kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Selain itu, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan Cukai Perkhidmatan atas perkhidmatan sewaan atau pajakan untuk membolehkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai.
Cukai Perkhidmatan tidak akan diperluas kepada perkhidmatan kecantikan. YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan turut memutuskan untuk tidak meneruskan peluasan skop Cukai Perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku (manicure dan pedicure), rawatan wajah (facial), serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut.
Berikut adalah maklumat terkini mengenai peluasan skop yang diperluas mulai 1 Julai 2025, iaitu:
| Peluasan Skop | Kadar Cukai Perkhidmatan | Syarat Untuk Berdaftar | Perkhidmatan Tidak Bercukai | Pengecualian |
|---|---|---|---|---|
| Perkhidmatan Sewaan atau Pajakan | 8% | – Nilai perkhidmatan bercukai mencapai RM500,000 dalam tempoh 12 bulan. | Tidak dikenakan cukai ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan: – Rumah Kediaman – Bahan Bacaan – Pajakan Kewangan – Aset Ketara di luar Malaysia | – Kemudahan pengecualian business-to-business (B2B) dan group relief untuk elak cukai berganda. – Penyewa yang merupakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan kurang RM500,000 dikecualikan daripada membayar cukai. – Non-reviewable contract diberi pengecualian 12 bulan daripada tarikh kuatkuasa. |
| Perkhidmatan Kerja Pembinaan | 6% | – Menyediakan perkhidmatan pembinaan infrastruktur, bangunan komersial dan industri ke atas semua perkhidmatan kerja pembinaan infrastruktur, bangunan komersial dan industri. – Nilai perkhidmatan bercukai mencapai RM1.5 juta dalam tempoh 12 bulan bagi meringankan beban pematuhan cukai kontraktor kecil dan sederhana. | Tidak dikenakan cukai ke atas perkhidmatan kerja pembinaan: – Bangunan Kediaman – Kemudahan Awam Berkaitan Rumah Kediaman | – Kemudahan pengecualian business-to-business (B2B) untuk elak cukai berganda. – Non-reviewable contract diberi pengecualian 12 bulan daripada tarikh kuatkuasa. |
| Perkhidmatan Kewangan | 8% | – Menyediakan perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisen. – Nilai keseluruhan fi atau komisen mencapai RM500,000 dalam tempoh 12 bulan. | Tidak dikenakan cukai ke atas perkhidmatan / transaksi: – Faedah atau untung (pembiayaan syariah). – Keuntungan pertukaran mata wang asing dan pasaran modal. – Pembrokeran dan penajajaminan ke atas insurans / takaful nyawa, insurans perubatan / takaful keluarga kepada individu. – Fi ke atas kad kredit dan kad caj. – Perkhidmatan perbankan asas (akaun simpanan, akaun semasa). – Perkhidmatan kewangan yang dieksport. – Caj denda. | – Kemudahan pengecualian business-to-business (B2B) untuk elak cukai berganda. – Fi tertentu dalam transaksi yang dijalankan secara patuh syariah. – Layanan pengecualian cukai perkhidmatan kepada Bursa Malaysia dan Labuan dikekalkan. |
| Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta | 6% | – Nilai perkhidmatan bercukai mencapai RM1.5 juta dalam tempoh 12 bulan. | Penyedia perkhidmatan tidak bercukai: – Kemudahan jagaan kesihatan yang disediakan oleh Kerajaan. – Kemudahan jagaan kesihatan swasta di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] atau Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173]. | – Warganegara Malaysia dikecualikan daripada membayar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, amalan perubatan tradisional dan komplementari swasta serta kesihatan bersekutu swasta. |
| Perkhidmatan Pendidikan | 6% | -Tiada nilai ambang ditetapkan bagi pendaftaran. – Prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah swasta yang mengenakan yuran pengajian melebihi RM60,000 bagi setiap tahun akademik bagi seorang pelajar. | Tidak dikenakan cukai ke atas perkhidmatan: – Pendidikan Awam | – Pemegang kad OKU warganegara Malaysia. |
| Perkhidmatan Kecantikan | 8% | – Nilai perkhidmatan bercukai mencapai RM500,000 dalam tempoh 12 bulan. – Semua rawatan kecantikan seperti: 1. Rawatan Muka 2. Merias Kuku Tangan & Kaki 3. Dandanan Rambut 4. Mencacah Tatu 5. Solekan & Andaman 6. Melangsingkan Badan 7. Mandian Herba, Susu & Bunga | – | – |
Permohonan Pendaftaran Baharu Skop Cukai Perkhidmatan
Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa permohonan pendaftaran baharu berkaitan peluasan skop Cukai Perkhidmatan serta semakan Kadar Cukai Jualan yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, boleh dibuat mulai 1 Ogos 2025.
Entiti perniagaan yang belum berdaftar diberi tempoh sehingga 31 Ogos 2025 untuk mendaftar di bawah SST walaupun pelaksanaan peluasan skop berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
Bagi pihak berdaftar sedia ada, permohonan penambahan perkhidmatan baharu di bawah peluasan skop Cukai Perkhidmatan dan kod tarif di bawah semakan Kadar Cukai Jualan boleh dikemukakan mulai 24 Jun 2025.


Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut berkaitan Cukai Perkhidmatan ini, anda boleh rujuk Laman Web Rasmi MySST atau terus hubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1-300-888-500 atau e-mel kepada [email protected].
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!



