Cukai SST: Semakan Cukai Jualan & Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan Secara Bersasar Mulai 1 Julai 2025

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai Cukai SST bagi tahun 2025 untuk makluman semua rakyat Malaysia di luar sana.
Isi Kandungan
Apa Itu Cukai SST?
Cukai SST merujuk kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Service Tax) yang diperkenalkan semula di Malaysia pada 1 September 2018 bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Sistem percukaian ini terbahagi kepada dua komponen utama iaitu Cukai Jualan (CJ / Sales Tax) dan Cukai Perkhidmatan (CP / Service Tax).

Cukai Jualan (CJ / Sales Tax)
Cukai ini dikenakan ke atas barang bercukai yang dihasilkan dalam negara oleh pengilang berdaftar atau barang yang diimport ke Malaysia.
Kadar cukai biasanya adalah 5% atau 10%, bergantung pada jenis barangan.
Contoh barangan yang dikenakan Cukai Jualan adalah seperti berikut:
- Elektronik (contoh: peti sejuk, televisyen).
- Pakaian.
- Minuman berkarbonat.
Namun, barangan keperluan asas seperti makanan asas, ubat-ubatan dan buku biasanya dikecualikan daripada cukai ini.
Cukai Perkhidmatan (CP / Service Tax)
Cukai ini dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan berdaftar di dalam Malaysia.
Kadar cukai standard adalah 6%.
Contoh perkhidmatan yang dikenakan Cukai Perkhidmatan adalah seperti berikut:
- Perkhidmatan profesional (contoh: perakaunan, guaman).
- Hotel dan penginapan.
- Restoran dan makanan.
- Telekomunikasi.
Objektif Cukai SST
Objektif Cukai SST adalah untuk:
| Meluaskan Ruang Fiskal | Kedudukan ruang fiskal negara yang lebih kukuh akan membolehkan Kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif dan bantuan kepada rakyat, sekaligus membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup. Contoh STR dan SARA. |
| Barangan Asas Dikecualikan | Kerajaan memberi jaminan bahawa golongan rentan tidak akan terjejas kerana tiada kenaikan kadar cukai jualan bagi barangan keperluan asas. |
| Manfaat SST Untuk Kesejahteraan Rakyat | Hasil daripada cukai akan digunakan untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat seperti bantuan bencana, kualiti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan. |
| Ke Arah Menjadikan SST Sebagai Cukai Yang Progresif | Semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan melibatkan barangan bukan keperluan asas dan barangan pilihan, serta perkhidmatan tertentu. |
| Percukaian Bersasar | Pelaksanaan sistem percukaian SST adalah lebih mudah difahami dan bersifat bersasar. Sebagai contoh, pengenaan cukai perkhidmatan ke atas pendidikan tinggi dan penjagaan kesihatan swasta hanya kepada bukan warganegara sahaja. |
Siaran Media Kementerian Kewangan
Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, Kerajaan MADANI akan melaksanakan Semakan Semula Kadar Cukai Jualan (CJ) dan Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan (CP) bermula 1 Julai 2025.
Langkah ini bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan peluasan asas percukaian, bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Cukai SST) telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian.
Penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan.
Secara amnya, semakan semula kadar CJ dan peluasan skop CP ini merangkumi perkara berikut:
- Kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat;
- Kadar CJ sebanyak 5% atau 10% dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas; dan
- Skop kenaan CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan. Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelakkan cukai berganda, serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.
Kerajaan MADANI juga mengambil kira keperluan bagi pematuhan perundangan kepada syarikat yang akan tertakluk kepada SST.
Sehubungan itu, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST yang ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan penalti akan dikenakan sehingga 31 Disember 2025.
Tarikh Kuat Kuasa
Semakan Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan adalah bermula pada 1 Julai 2025 (Selasa).

Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut berkaitan Cukai SST ini, anda boleh rujuk Portal Rasmi Kementerian Kewangan atau Facebook Rasmi Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!



