Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Malaysia Bersedia Hadapi Status Negara Tua

Status Negara Tua Menaik Pada 2030

negara

KANGAR – Kerajaan akan terus memberi perhatian khusus terhadap warga emas sebagai persediaan bagi menghadapi status negara tua menjelang 2030, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, peratus warga emas (melebihi umur 60 tahun) dijangka meningkat secara drastik iaitu kepada 5.3 juta dalam masa 10 tahun akan datang.

“Pada 2020 terdapat 3.7 juta orang warga emas di negara ini dan ia dijangka meningkat sebanyak 15.3 peratus iaitu kepada 5.3 juta pada 2030,” katanya ketika berucap pada Program Volunteerism @Pawe: Bengkel Kemahiran Asas Kesukarelawanan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kajian juga menunjukkan hampir 23 peratus atau 538,000 orang daripada 2.4 juta warga emas di negara ini mengalami sindrom sarang kosong iaitu ‘empty nest’ (rasa kesunyian dan sedih) akibat tinggal bersendirian dan jauh daripada anak-anak.

“Kesunyian dan kemurungan ini memberi kesan kepada kesihatan mereka, serta membataskan peranan mereka sebagai anggota masyarakat,” katanya.

Rina berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Pelan Strategiknya 2021 hingga 2025, memberi penekanan kepada pembangunan warga emas di negara ini.

Katanya, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan telah menaikkan bantuan kewangan tahunan pengendalian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daripada RM33,330 kepada RM50,000 bagi melaksanakan program dan aktiviti PAWE selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif.

“Pada tahun ini juga sebanyak RM7.15 juta diperuntukkan bagi pengoperasian 143 PAWE di seluruh negara sebagai tanda komitmen kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup warga emas.

“PAWE beroperasi berteraskan konsep Organisasi Berasaskan Komuniti yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan dengan kerjasama strategik KPWKM,” katanya.

Sumber Bernama

Artikel lain : Dana GSPSB diteruskan

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More