Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Penyakit Sawan (Epilepsi)- Punca,Tanda, Rawatan dan juga Pencegahan

Pengenalan

Penyakit Sawan atau Epilepsi adalah gangguan otak apabila sel-sel saraf dalam otak kadang-kala mengeluarkan isyarat yang luar biasa. Corak aktiviti neuron terganggu dan menjejaskan perasaan, tingkah laku dan emosi atau kadang-kala menyebabkan kejang otot dan pengsan.

penyakit sawan

Seseorang yang mengalami sawan tidak bermakna ia mempunyai epilepsi. Sekiranya seseorang kerap mengalami sawan (dua atau lebih) dikenalpasti mempunyai epilepsi.

Epilepsi tidak berjangkit dan tidak disebabkan oleh penyakit atau kemerosotan mental.

Epilepsi boleh dikawal, namun sesetengahnya sembuh dengan sendiri.

Punca

Penyakit Sawan atau Epilepsi berpunca dari pelbagai faktor. Sebarang gangguan pada aktiviti normal neuron samada penyakit mahupun kecederaan otak boleh menyebabkan sawan.

Sebahagian besar sawan tidak diketahui puncanya.

Punca epilepsi:

  • Faktor-faktor genetik
  • Kecederaan pranatal (sebelum kelahiran) dan masalah tumbesaran
  • Cedera di otak
  • Keracunan
  • Tumor otak
  • Pengambilan alkohol berlebihan
  • Penyakit Alzheimer
  • Angin ahmar (strok)
  • Jangkitan otak

Serangan Penyakit Sawan atau Epilepsi juga boleh berlaku jika kurang tidur, meminum alkohol, stres atau mengalami perubahan hormon yang berkaitan dengan haid.

Tanda dan Gejala

Gejala Penyakit Sawan atau Epilepsi bergantung kepada kawasan otak yang terjejas.

penyakit sawan

Sawan setempat berlaku disebabkan oleh kejadian aktiviti yang tidak normal di salah satu kawasan otak. Tanda dan gejala sawan setempat adalah:

  • Berasa gembira yang secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab
  • Berasa marah
  • Berasa sedih
  • Loya
  • Halusinasi (mendengar, bau, rasa, melihat atau merasa perkara yang tidak benar).
  • Berlaku samada mereka sedar atau tidak sedar.
  • Mampu melakukan pergerakan berulang-ulang (automasi) seperti mengelip mata, mengenyit mata dan menggerakkan mulut.
  • Sesetengah pesakit mempunyai aura tersendiri dengan menunjukkan tanda luar biasa atau amaran sebelum mendapat serangan

Sawan menyeluruh berlaku akibat kejadian aktiviti tidak normal di kedua-dua belah otak. Tanda dan gejala sawan menyeluruh adalah:

  • Tidak sedar
  • Jatuh
  • Kejang otot yang teruk
  • Kancing gigi
  • Mulut berbuih
  • Terkencing
  • Terbuang air besar

Komplikasi

Kebanyakan pesakit epilepsi boleh menjalani kehidupan yang aktif, namun berisiko kepada 2 keadaan bahaya iaitu status epileptikus dan kematian secara tiba-tiba tanpa sebab.

Status epileptikus adalah serangan sawan yang berulang-ulang yang berpanjangan dan pesakit tidak sedarkan diri. Ia dirawat dengan pelbagai ubat anti-epileptik dan boleh mengancam nyawa.

Risiko kematian mengejut di kalangan penghidap epilepsi semakin meningkat, tetapi punca kematian tidak diketahui. Risiko kematian mengejut juga terdapat di kalangan orang biasa. Walau bagaimanapun, risikonya adalah dua kali ganda. Punca sebenar kejadian ini tidak diketahui.

Rawatan

Diagnosis yang tepat adalah penting untuk rawatan epilepsi.

Rawatan ubat-ubatan anti-epilepsi masa kini boleh mengawal 80% pesakit epilepsi manakala 20% lagi sukar dirawat dan disebut sebagai epilepsi refraktori.

Apabila epilepsi dikesan, rawatan perlu dimulakan secepat mungkin.

Terdapat pelbagai ubat-ubatan pencegah epilepsi yang mempunyai manfaat serta kesan sampingan tersendiri.

Pilihan ubat pencegah epilepsi bergantung kepada umur dan sifat sawan, gaya hidup pesakit, kekerapan sawan dan bagi wanita- samada hamil atau tidak.

Semua pesakit perlu mematuhi regimen rawatan dan berbincang dengan doktor sekiranya mengalami kesan sampingan dari ubat yang diambil.

Kebanyakan pesakit dirawat dengan sejenis ubat sahaja. Walau bagaimanapun, sesetengah pesakit memerlukan kombinasi ubat-ubatan anti-epilepsi.

Kesan sampingan kecil ubat termasuklah pening, berat badan bertambah dan keletihan. Kadang-kala pesakit mengalami kesan sampingan yang lebih serius seperti kesan buruk alergi yang boleh membawa maut seperti Steven Johnson Syndrome.

Ubat Penyakit Sawan atau Epilepsi juga boleh menyebabkan pesakit menjadi murung atau tidak berupaya untuk berfikir secara rasional.

Ubat epilepsi boleh juga berinteraksi dengan ubat-ubatan lain dengan cara yang berbahaya. Oleh itu pesakit perlu memberitahu doktor ubat-ubatan lain yang diambil.

Ubat epilepsi biasanya bermula pada dos yang rendah dan meningkat secara beransur-ansur. Ia mungkin mengambil masa untuk mencari dos yang sesuai untuk merawat pesakit di samping mengurangkan kesan sampingan.

Ubat-ubatan boleh dihentikan setelah mendapat nasihat dan pengawasan doktor. Doktor akan menghentikan ubat jika pesakit tidak mengalami sawan melebihi 2 tahun. Sesetengah pesakit pula antara 3 hingga 5 tahun.

Apabila Penyakit Sawan atau Epilepsi tidak dapat dikawal dengan kaedah ubat-ubatan, doktor boleh merujuk pesakit untuk membuat penilaian pembedahan. Ini biasanya dilakukan oleh pakar. Keputusan untuk pembedahan adalah bergantung kepada jenis epilepsi dan kawasan otak yang terjejas.

Kaedah lain untuk merawat Penyakit Sawan atau Epilepsi adalah makanan ketogenik (makanan yang menggalakkan pembetntukan bahan-bahan dalam tisu) untuk kanak-kanak.

Pencegahan

Cegah trauma di kepala, dengan memakai topi keledar dan tali pinggang keledar.

Menjaga peringkat pranatal dengan baik, termasuk merawat tekanan darah tinggi dan jangkitan dalam kehamilan.

Merawat penyakit kardiovaskular, jangkitan penyakit, tekanan darah dan gangguan lain yang boleh menjejaskan otak.

Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia

Penutup

Akhir kata, diharapkan perkongsian kali ini berkaitan Penyakit Sawan ini akan memberi sedikit info untuk tatapan anda semua. Untuk mendapatkan lebih banyak info berkaitan kesihatan dan info-info semasa anda boleh layari website t.me/tcerdot.my. Terima Kasih

Menarik Untuk Dibaca: Penyakit Taun, Penyakit Rabies, Penyakit Strok, Penyakit Gout, Tekanan Darah Tinggi , Penyakit batu Karang, Kanser Perut Penyakit Anemia

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More