Bahan Pendidikan Untuk Semua

PUPUK KREATIVITI ANAK ANDA DENGAN AKTIVITI INI

Setiap ibu bapa pasti inginkan yang terbaik untuk anak-anak, justeru peranan ibu bapa amat penting sebagai rujukan utama dalam melahirkan anak yang bijak dan kreatif.

Kreativiti boleh dipupuk menerusi aktiviti bermain dan rumah adalah tempat yang paling ideal bagi mengasah serta mencungkil kreativiti anak.

Dengan bermain, anak-anak dapat meneroka sesuatu yang baharu, sekali gus mengasah bakat terpendam mereka. Bukan itu sahaja, aktiviti bermain yang menyeronokkan juga boleh membentuk fikiran dan pembangunan minda anak.

Bagi ibu bapa yang mungkin ketandusan idea mahu melakukan aktiviti apa bersama-sama anak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ini antara beberapa aktiviti yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kreativiti anak.

1. Menyusun warna

Bermain dengan warna adalah cara paling baik untuk merangsang minda anak. Menyusun warna juga bagus untuk merangsang kecerdasan visual dan mata anak. Aktiviti ini tidak terbatas dengan barang-barang tertentu sahaja. Ibu bapa boleh menggunakan batang ais krim, penyedut minuman atau apa sahaja barang berwarna yang terdapat di rumah.

2. Menyusun objek kecil

Aktiviti menyusun objek kecil seperti manik, butang baju atau kacang hijau dalam bentuk yang menarik mampu merangsang perkembangan psikomotor anak dan melatih mereka menjadi lebih fokus. Ibu bapa juga boleh menggunakan objek kecil itu dengan menyuruh anak mengasingkannya mengikut warna dan jenis.

Aktiviti yang memerlukan pengawasan sepenuhnya oleh ibu bapa itu bagus dilakukan kerana dapat membantu menajamkan pemikiran dan penglihatan anak serta menjadikan pergerakan tangan lebih lancar.

3. Penyepit baju

Selain merangsang otak, bermain dengan penyepit baju juga mampu melatih anak untuk mengawal tangan, kemahiran motor serta deria mereka. Gunakan penyepit yang mempunyai bentuk dan warna menarik agar anak tidak bosan dan suruh mereka sepit di tepi bekas atau kertas mengikut warna dan bentuk yang sama.

4. Trek kereta

Bagi yang mempunyai anak lelaki, pasti mereka mempunyai banyak mainan kereta. Buat sendiri trek kereta dengan hanya menggunakan pita pelekat berwarna dan suruh anak menggerakkan kereta di atas trek.

Selain menjimatkan wang kerana ibu bapa tidak perlu beli trek kereta yang mahal, aktiviti berkenaan juga mampu merangsang kemahiran motor dan melatih anak untuk lebih fokus. Tukar reka bentuk trek kepada yang lebih mencabar setiap minggu untuk merangsang otak anak dengan lebih baik.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan bersama-sama anak ialah melukis, membuat menara menggunakan gelung, cawan atau blok mainan dengan susunan besar di bawah dan kecil di atas serta bermain tanah liat.

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More