Sumber Rujukan Globalisasi Anda

RTM Nafi Siar Berita Bazar Ramadan Batal

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) menafikan penyebaran berita palsu berhubung pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara seperti yang tular di laman sosial.

Penafian itu dibuat pada jam 12.32 tengah malam tadi menerusi akaun Twitter rasmi Berita RTM.

Ciapan berkenaan turut memuat naik tangkap layar akaun seorang warganet yang berkongsi berita palsu mengenai pembatalan bazar Ramadan di seluruh negara dengan menyatakan sumbernya adalah Berita TV1.

Perkongsian berita palsu daripada akaun itu diulang ciap hampir 30,000 pengikutnya hingga mengundang salah faham dalam kalangan warganet.

Bagaimanapun, semakan Harian Metro mendapati ciapan berkenaan sudah dipadam oleh pemilik akaun Twitter berkenaan.

Pada 26 Mac lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan tiada penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

Menurut Aminuddin, keputusan itu terpaksa dibuat bagi menjamin kesihatan rakyat susulan pandemik koronavirus baharu (Covid-19).

Langkah sama turut diambil kerajaan Terengganu dan pemberitahuan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak menerusi satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dalam kenyataannya Ahad lalu berkata, perbincangan masih dilakukan dengan pihak berkaitan mengenai kaedah terbaik boleh dilakukan demi kepentingan semua dan belum memutuskan sama ada penganjuran bazar Ramadan diteruskan atau sebaliknya.

Manakala, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan negeri lain berhubung penganjuran atau pembatalan bazar Ramadan setakat ini.

Bazar Ramadan Masih Ada Di Wilayah Persekutuan Cuma Kaedah Pengurusan Akan Diperketatkan

Sudah beberapa negeri telah mengumumkan pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini. Hal ini bagi mengelakkan penularan wabak merbahaya COVID-19 yang masih berada dalam paras merisaukan. Namun, bagi negeri Wilayah Persekutuan dikatakan bahawa bazar akan beroperasi seperti biasa cuma, akan diperketatkan dari segi peraturan dan pengurusan.

Prosedur pengurusan bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan mulai tahun ini akan dipertingkat bagi mengelakkan orang ramai bersesak di gerai-gerai jualan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Memetik laporan Astro Awani, beliau berkata pihaknya akan membuat penelitian lanjut bersama pihak yang berkaitan sebelum pengumuman mengenai perkara itu dilakukan sedikit masa lagi.

“Saya tidak mahu oleh kerana Singapura atau pihak-pihak lain mengumumkan tiada bazar (Ramadan) pada tahun ini maka kita pun cakap tidak ada,” katanya.

Tambahnya, pengurusan bazar Ramadan perlu diubah suai tanpa membatalkannya memandangkan ia merupakan keperluan terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar. Bukan itu sahaja, bazar juga adalah keperluan masyarakat bandar yang tidak sempat memasak selepas habis bekerja.

Tan Sri Annuar juga menjelaskan kemungkinan bazar Ramadan pada tahun ini, sebagai contoh di tempat yang mempunyai hingga 50 gerai, mungkin hanya ada 10 gerai sahaja dan akan dijarakkan antara satu sama lain serta dibuka di banyak tempat.

“Yang pastinya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini diteruskan atau tidak kita tidak akan meneruskan cara lama yang boleh membawa kepada masalah kesihatan. Kita kena perbaiki kehidupan, kita jangan hanya disiplinkan diri sewaktu PKP, banyak perkara yang kita boleh belajar dan amalkan terus pada pasca PKP nanti,” katanya.

Kerajaan menguatkuasakan PKP mulai 18 Mac sehingga 14 April bagi mengekang penularan COVID-19.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More