Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Semua Negeri Perlu Patuh PKPB

Hari ini, 04 Mei 2020 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula. Maka secara automatiknya PKP Fasa 4 terbatal menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada Hari Pekerja lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi pada Isnin, 4 Mei.

Bagaimanapun, tidak semua negeri akan menguatkuasakan PKPB pada Isnin kerana ingin membendung penularan jangkitan COVID-19 selain memastikan rakyat masing-masing tidak terdedah dengan jangkitan tersebut.

Berikut tujuh negeri yang menangguhkan dan tidak akan melaksanakan PKPB:

 

1) Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan meneliti syarat dan garis panduan PKPB yang diumum Kerajaan Persekutuan bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri itu.

“Oleh itu pelaksanaan di bawah PKPB ditangguhkan di Kedah sehingga keputusan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (Khas COVID-19) pada 5 Mei ini,” katanya.

2) Sarawak

Kerajaan Negeri Sarawak juga memutuskan untuk tidak mengikut langkah Kerajaan Persekutuan untuk membuka semula ekonomi pada Isnin ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira keadaan negeri dahulu sebelum membuat keputusan.

3) Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, Negeri Di Bawah Bayu itu mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei ini.

“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus itu.

4) Selangor

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tidak semua industri akan dibenarkan beroperasi pada Isnin ini.

Katanya, beliau akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan cara penguatkuasaan dan garis panduan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita tidak mahu ‘crash landing’ dengan erti kata lain, kita akan cuba melihat peringkat demi peringkat dan saya akan bertanya dan melihat kesiapsiagaan PBT,” katanya.

5) Negeri Sembilan

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, langkah kawalan ketat masih diperlukan memandangkan kes baharu COVID-19 terus dicatat di Negeri Sembilan.

Kata beliau, memandangkan kes baharu COVID-19 di Negeri Sembilan masih berlaku dan untuk tujuan pengawalan, Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan beberapa syarat dan peraturan.

“Hanya sektor ekonomi dibenarkan boleh beroperasi manakala sektor sosial dan aktiviti sukan tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB,” katanya.

6) Pahang

Kerajaan Negeri Pahang pula akan menangguhkan pelaksanaan PKPB sehingga keputusan dicapai pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, Jumaat ini.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat mingguan ini, segala ketetapan yang dibuat pada PKP sekarang, masih kekal.

“Seperti semua maklum, negeri Pahang kini mempunyai kluster baharu. Jadi, tumpuan khusus dan utama perlu dilakukan bagi menanganinya,” katanya dalam kenyataan.

7) Kelantan

Seterusnya, Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Negeri Kelantan akan diadakan pada Khamis ini bertujuan menyesuaikan keperluan PKPB dengan rakyat di negeri tersebut.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga keputusan diambil di dalam jawatankuasa tersebut, semua ketetapan (PKP) yang dibuat sebelum ini adalah masih terpakai dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

“Kemaslahatan rakyat adalah merupakan keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan hari ini sudah diwartakan, sekali gus semua peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini terbatal secara automatik.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua pihak di seluruh negara sama ada di negeri dan daerah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa.

Katanya, apabila PKPB atau PKP 5 ini sudah diwartakan maka PKP 4 yang diwartakan sebelum ini terbatal kerana pewartaan itu turut menyatakan tarikh permulaan dan penamatannya.

“Oleh itu PKP 4 yang diwartakan terbatal kerana kita sudah warta PKP 5, dan tidak timbul isu ada pihak tidak mahu mematuhinya kerana itu adalah salah di sisi undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri menegaskan, ramai yang terkeliru seolah-olah Akta 342 tidak lagi berkuatkuasa apabila PKPB dilaksanakan, sedangkan ia sama sahaja dengan PKP yang lain.

“Hukuman tetap sama iaitu kepada mereka yang ingkar dikompaun RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Jadi statusnya sama sahaja walaupun nama bertukar kerana ia tetap PKP walaupun ada tambahan B,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi pemilik premis yang gagal mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan sama dan boleh ditutup operasi.

“Saya ingin ingatkan semua peraturan ini diwartakan dan jika diwartakan, maka peraturan diwartakan sebelum ini terbatal.

“Sebagai contoh PKP fasa empat kita wartakan misalnya satu kereta hanya boleh dinaiki dua orang, tetapi PKPB dilaksanakan kita wartakan membolehkan empat orang dalam satu kereta. Maknanya, peraturan PKP sebelum ini terbatal dan kita menggunakan peraturan baru,” katanya.

Beliau berkata, jika ada pihak yang masih hendak menggunakan peraturan PKP fasa empat ia adalah salah di sisi undang-undang kerana sudah diganti peraturan baru.

Katanya, fokus penguasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pihak berkuasa lain menerusi PKPB lebih kepada menguatkuasakan pematuhan SOP.

“Jadi saya harap semua sedar perkara ini dan semua rakyat perlu patuh,” katanya.

Kredit : BH

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More