Sumber Rujukan Globalisasi Anda

10 Kelebihan Penggunaan Buku Teks Digital

Buku Teks Digital? Masih ingat pengalaman kamu menggunakan buku teks semasa kamu di sekolah kira-kira 20 atau 15 tahun yang lalu? 

Penulis masih ingat, semasa berada di sekolah rendah dan menengah 25 tahun yang lalu. Pergi sekolah membawa 5 hingga 6 buku teks (Bahasa Melayu, Matematik, Alam dan manusia, Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris).

Bila tiba subjek tertentu contohnya bahasa inggeris. Cikgu suruh buka mukasurat sekian dan baca perenggan demi perenggan secara bergilir-gilir dengan rakan sekelas.  Suara kena kuat dan lantang agar rakan-rakan sekelas mampu dengar dengan jelas.

Jika ditanya adakah ia teknik pembelajaran berkesan? Pada saya, berkesan kerana semasa subjek bahasa inggeris bila kita disuruh membaca satu perenggan dengan kuat akan ada keyakinan dan keberanian untuk membaca petikan bahasa inggeris biarpun ada perkataan yang tidak tahu disebut.

Pada abad ke -21, adakah masih relevan penggunaan buku teks? Atau perlu beralih kepada cara yang lebih interafktif?

YA.

Buku teks harus beralih daripada buku teks bercetak dengan aksara dan ilustratsi yang kaku kepada buku elektronik. Kenapa ia perlu beralih? Kita ada 10 Kelebihan Penggunaan Buku Teks Digital berbanding buku teks yang bercetak.

Isi Kandungan

10 Kelebihan Penggunaan Buku Teks Digital

1. Penjimatan

Dengan buku teks elektronik, kos percetakan (kertas dan dakwat), penggudangan, pengangkutan dan banyak kos-kos kecil lagi telah ditiadakan. Malah masa yang diluangkan oleh guru-guru dan pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) dapat dijimatkan. Adalah dijangka dengan peralihan buku teks daripada cetak kepada digital boleh menjimatkan belanja kerajaan sehingga 70% daripada kos penyediaan buku teks sekolah seluruh Malaysia.

2. Lebih Ringan Dan Mudah Disimpan 

Buku teks elektronik yang paling sesuai digunakan ialah buku teks berformat E-Pub. Ia merupakan format buku elektronik yang sangat ringan dan diterima oleh kebanyakan platform peranti. Dianggarkan saiz bagi sebuah saiz e-pub berbanding format PDF ialah sebanyak 10 kali ganda lebih ringan.

3. Berinteraktif 

Buku-buku teks bercetak yang digunakan dalam kelas kini dianggap buku tetap yang tidak mudah diubah-ubah. Kandungan bercetaknya akan kekal statik sehinggalah ia  rosak, dilupus dan diganti dengan edisi buku teks yang baru yang lain.

Apabila buku teks itu hidup, para pelajar lebih teruja untuk menelaah buku teks masing-masing dan seterusnya mencambah minat belajar di kalangan mereka. Daripada masa ke semasa bahagian kurikulum pendidikan juga masih boleh mengemaskini capaian-capaian yang ada dengan maklumat baru secara langsung. Jika ada kesilapan fakta pada buku teks, ia juga boleh diperbaiki serta-merta bukan perlu cetak dan cetak lagi.

4. Murid-murid sekarang ialah Digital Natives.

Pelajar yang berada di alam persekolahan ini adalah golongan ‘Digital Natives’ dan membesar dengan komputer, internet, google, youtube dan media sosial. Untuk menyesuaikan teknik pembelajaran abad ke-21 yang berkesan, pihak kementerian juga harus mengambil kira maklumat ini dan P&P haruslah diseimbangkan dengan keperluan zaman terkini.

5. Kontens yang boleh disesuaikan (customized)

Buku elektronik boleh menyesuaikan kontensnya berdasarkan profil pembacanya. Cara penyusunan bab dan capai-capaian tambahan boleh diubah secara fleksibel kepada pelajar yang laju ke hadapan manakala pelajar-pelajar yang minat  pembelajaran cara visual, mereka boleh memperoleh buku-buku teks elektornik yang disesuaikan dengan capaian-capaian visual atau audio.

6. Buku teks elektronik boleh memelihara hak pemilik hak cipta

Buku elektronik pada zaman kini (bukan PDF) sangat selamat kepada para penerbit atau pemilik harta intelek dalam buku tersebut. Setiap buku elektornik tertakluk kepada Digital Rights Management (DRM). Melalui DRM, setiap buku harus dibaca dalam platform baca (reader) masing-masing dan sudah tentu tidak boleh disalin semula ke peranti lain kecuali dibenarkan oleh pemilik hak cipta kontens.

7. Mudah dimuat turun dan disimpan sampai bila-bila

Buku teks elektronik berformat e-pub ini sebenarnya amat fleksibel. Selain daripada ia boleh disimpan dalam peranti guru dan boleh dipancarkan ke mana-mana dinding pada bila-bila masa, para ibu bapa juga boleh memilih untuk membeli terus buku elektronik tadi.

Jika ibu bapa membeli buku-buku teks elektronik tadi, mereka boleh muat turun buku-buku elektronik tadi ke mana-mana peranti yang mereka ada dan disimpan dalam pustaka digital masing-masing yang hanya boleh dicapai di mana-mana (secara awanan) dengan hanya log in masuk ke akaun mereka yang sedia ada.

8. Tidak semuanya bergantung kepada Internet

Apabila bercakap tentang buku teks elektronik, sangkaan orang ramai ialah buku yang hanya boleh dibaca apabila ada capaian internet. Sangkaan ini adalah salah dan sesat. Memandangkan ciri-ciri buku teks elektronik yang boleh dimuat turun, ia bermakna capaian internet hanya diperlukan hanya sekali saja (ketika muat turun).

Apabila para pelajar telah sedia memiliki peranti di tangan masing-masing, mereka boleh memuat turun buku teks elektronik daripada peranti guru masing-masing melalui sambungan ‘bluetooth’ sahaja.

9. Mesra Peranti (boleh baca di platform apa saja)

Buku-buku teks elektronik yang sedang dibangunkan menggunakan program pengaturcaraan HTML dan XML. fail-fail ini sangat fleksibel dan boleh digunakan oleh hampir semua peranti-peranti di pasaran tidak kira sama ada ia berasaskan iOS, Android ataupun Windows.

10. Teknologi ini telah sedia ada dan bukan sains roket

Penggunaan buku teks bercetak tidak flesibel dan memerlukan kos yang sangat tinggi. Penggunaan teknologi yang dibangunkan secara tempatan untuk membina platform buku teks digital tempatan ini wajar diraikan kerana ia akan membawa para penerbit masuk ke dunia masa depan. Guru-guru akan berasa lega kerana mereka juga bakal dibebaskan daripada terbeban dengan banyak masa yang tidak berkaitan. Apabila buku teks digital sudah interaktif, para murid sebagai pengguna utama sendiri berasa teruja untuk menggunakannya dan menjadi budaya mereka sehari-hari.

Teknologi buku teks elektronik ini mudah dipelajari dan boleh diamalkan oleh banyak pegawai-pegawai teknikal KPM dan guru-guru sendiri. Memandangkan ia bukan roket sains, tidak ada sebab lagi untuk kita bertangguh-tangguh dalam meninggalkan penerbitan buku teks bercetak yang mahal serta tidak fleksibel.

10 Kelebihan Penggunaan Buku Teks Digital dan sebenarnya ada lebih kelebihan lagi untuk penggunaan pendidikan di masa kini.

Kredit : gurubesar.my

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More