Sumber Rujukan Globalisasi Anda

10 syarikat telekomunikasi beri panggilan percuma

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 syarikat telekomunikasi tempatan bersepakat menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara mulai pukul 10 malam ini hingga pukul 10 pagi esok iaitu pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia sebagai tanda prihatin dengan keadaan rakyat Malaysia yang terpaksa berhari raya dalam suasana norma baharu tahun ini dan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, kemudahan yang digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini dapat dinikmati semua pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Maxis, REDtone, TM Unifi, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile Yoodo dan YES.

“Setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

“Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin pada masa sama berharap kemudahan itu sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia untuk terus saling berhubung dan mengeratkan silaturrahim dengan keluarga tersayang serta rakan taulan, walaupun aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan di bawah PKP yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 7 Jun.

Beliau turut berterima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dan rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama dalam pematuhan PKP kali ini demi mengekang jangkitan Covid-19.

“Sama-sama kita berdoa agar lekuk pandemik ini dapat dilandaikan dengan pengorbanan dan usaha semua pihak.

“Insya-Allah kita semua akan dapat meneruskan kehidupan dan kelangsungan hidup untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Cara Penebusan Bantuan Jaringan RM180 dan RM300

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More