Sistem Pembayaran Terbuka ANPR Dilaksanakan Bermula Oktober 2025

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai pelaksanaan sistem pembayaran terbuka atau “tol tanpa palang” di Malaysia yang menggunakan teknologi ANPR mulai Oktober ini.
Isi Kandungan
Apa Itu ANPR?
Automatic Number Plate Recognition (ANPR), yang bermaksud Pengecaman Plat Nombor Automatik, ialah teknologi yang menggunakan pengecaman aksara optik (OCR) pada imej untuk membaca plat pendaftaran kenderaan.
Teknologi ini digunakan untuk mencipta data lokasi kenderaan dan sering digunakan dalam pelbagai aplikasi, termasuk pengurusan trafik, keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.
Cara ia berfungsi adalah:
- Sistem ANPR menggunakan kamera untuk menangkap imej plat kenderaan.
- Imej ini kemudiannya diproses menggunakan OCR untuk menukar aksara pada plat kepada teks yang boleh dibaca oleh mesin.
- Teks yang diekstrak digunakan untuk mengenal pasti dan menjejak kenderaan, selalunya dalam masa nyata.
Teknologi ini telah digunakan di banyak negara untuk penguatkuasaan jalan raya, parkir automatik dan kutipan tol elektronik.
Di Malaysia, ANPR bakal menjadi teras kepada sistem tol tanpa palang, iaitu satu inovasi industri lebuh raya yang bakal mengubah cara kita membayar tol.
Sistem ini disokong oleh platform digital bersepadu yang membolehkan pelbagai mod pembayaran tanpa tunai, paparan e-invois, semakan transaksi tol dan lain-lain perkhidmatan mobiliti.
Kad fizikal atau alat tambahan lain tidak akan diperlukan lagi dan hanya mendaftar nombor plat kenderaan di dalam aplikasi JustGO, dan terus pandu. Bayaran tol akan dibuat secara automatik melalui kad debit / kredit atau e-dompet yang didaftarkan di aplikasi tersebut.
Pendaftaran boleh dilakukan secara atas talian (online) tanpa sebarang caj (percuma) dengan menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran.

Sistem “Tol Tanpa Palang” Mulai Oktober 2025
Sistem pembayaran terbuka tol atau tol tanpa palang di Malaysia akan menggunakan teknologi ANPR yang disokong oleh platform digital bersepadu dan akan dilaksanakan secara berperingkat di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula Oktober 2025.
Pelaksanaan sistem ini merupakan langkah ke arah mewujudkan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi menjamin kelancaran aliran trafik, di samping memudahkan pengguna.
MLFF (Multi Lane Free Flow) ialah sistem kutipan tol elektronik tanpa palang dan tanpa henti, di mana kenderaan tidak perlu memperlahankan kelajuan atau berhenti di lorong tol.
Pembayaran dilakukan secara automatik menggunakan teknologi ANPR dan ini bermakna, tiada lagi plaza tol yang menyebabkan kesesakan di lebuh raya.
Senarai Tempat Akan Melaksanakan “Tol Tanpa Palang”
Sebagai projek rintis, ia akan membabitkan laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Pulau Pinang.
Tambahan pula, teknologi ganti MLFF juga sedang dinilai dan dibangunkan sepenuhnya oleh pakar tempatan tanpa membabitkan kos kepada Kerajaan.
Sistem ini akan diuji di 13 plaza tol membabitkan 35 lorong sebelum diperluas secara berperingkat ke keseluruhan jajaran PLUS.
Inisiatif ini adalah kerjasama antara Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS dan syarikat konsesi lebuh raya lain.

Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut berkaitan teknologi ANPR ini, anda boleh layari saluran-saluran berikut:
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!




