Jodoh Darul Iman: Platform Pencarian Jodoh Patuh Syariah

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai sebuah aplikasi yang baru sahaja dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, iaitu Jodoh Darul Iman.
Isi Kandungan
Apa Itu Jodoh Darul Iman?
Jodoh Darul Iman merupakan sebuah aplikasi yang diwujudkan untuk memberi peluang kepada golongan yang belum berkahwin untuk mendapatkan jodoh dengan mudah dan bersesuaian secara maya.
Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif dalam menangani trend peningkatan golongan muda lewat mendirikan rumah tangga dengan melancarkan Portal Jodoh Darul Iman (PJDI) sebagai platform pencarian pasangan hidup yang selamat dan mematuhi syariah.
Portal ini telah dilancarkan pada 7 Ogos 2025 dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Turut hadir YB Haji Maliaman bin Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri.
Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata portal berkenaan bukan sahaja membantu mempercepatkan proses mencari jodoh dalam kalangan pemuda, pemudi dan ibu bapa tunggal, malah katanya, ia menyediakan bimbingan dan panduan agar proses taaruf berjalan lancar menuju ke gerbang perkahwinan yang sah.
Tambahnya, usaha ini penting kerana isu perkahwinan dan kelahiran bukan sekadar urusan peribadi, tetapi mempunyai kaitan langsung dengan struktur demografi, kelangsungan populasi, kestabilan sosial dan ekonomi negeri.
“Mungkin sesetengah pihak beranggapan atau melihat aspek mencari jodoh, mendirikan rumah tangga dan kelahiran, menambah kelahiran di dalam keluarga mereka ini adalah aspek yang sangat kecil. Aspek yang sangat personal, sangat peribadi tetapi sebenarnya ia berkait dengan pelbagai perkara yang berlaku dalam sesebuah negeri dan sesebuah negara. Jika trend lambat kahwin dan tidak mahu mempunyai anak berlarutan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, negara akan berdepan kesan besar termasuk kekurangan tenaga kerja dan ketiadaan pewaris dalam keluarga.”
Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Melalui Portal Jodoh Darul Iman, ianya berharap dapat membantu rakyat negeri Terengganu mencari pasangan hidup dengan cara yang selamat dan berlandaskan syariah, sekali gus meningkatkan kadar perkahwinan dan kelahiran di Terengganu demi kelangsungan generasi akan datang.
Portal ini juga menyediakan ruang bimbingan, panduan dan sokongan kepada pasangan yang sedang bertaaruf agar proses ke arah perkahwinan yang sah berjalan dengan baik serta patuh syariat.
Sistem ini juga membuka ruang kepada ibu dan bapa tunggal yang berminat untuk mencari jodoh.

Terma & Syarat Portal
Portal ini boleh diakses oleh semua warga Terengganu yang layak, dengan syarat-syarat dan panduan terperinci yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Portal ini disediakan khusus untuk membantu individu Muslim yang serius dan berakhlak mulia dalam mencari pasangan hidup secara halal dan patuh syariah.
Syarat-syarat kelayakan pengguna portal ini adalah seperti ketetapan berikut:
- Beragama Islam.
- Berumur 18 tahun ke atas.
- Masih bujang, duda atau janda.
- Tidak menyalahgunakan identiti atau status diri.
Tanggungjawab untuk semua pengguna portal ini adalah:
- Bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang maklumat yang dimuat naik.
- Tidak memberi atau meminta wang atau hadiah.
- Menjaga adab komunikasi dan batas syariah sepanjang proses taaruf.
- Tidak dibenarkan menggunakan portal ini untuk tujuan persendaan, penipuan, hubungan sulit atau aktiviti tidak bermoral.
- Tidak mendedahkan maklumat peribadi pihak lain tanpa keizinan.
- Tidak menyalahgunakan platform ini untuk aktiviti promosi, iklan atau jual beli.
Daftar Sebagai Pengguna Portal Jodoh Darul Iman Sekarang!
Berikut adalah langkah-langkah untuk mendaftar dan mengguna Portal Jodoh Darul Iman, iaitu:
| Langkah 1 | Daftar Akaun / Log Masuk Portal Jodoh Darul Iman |
| Langkah 2 | Isi Profil |
| Langkah 3 | Profil Anda Lulus Penilaian Admin |
| Langkah 4 | Cari Calon |
| Langkah 5 | Minat Calon |
| Langkah 6 | Tunggu Jawapan |
| Langkah 7 | Admin Tetapkan Temujanji |
| Langkah 8 | Hadir Temu Janji |
| Langkah 9 | Penjodohan Berjaya Atau Gagal |

Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut, pertanyaan atau aduan atau ingin melaporkan salah laku, sila hubungi 09 – 624 9355 / 57 / 58 (waktu pejabat sahaja) atau e-mel kepada [email protected].
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!




