eCOSS: Sistem Pembelian Minyak Masak Paket Bersubsidi 1KG

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai pelaksanaan sistem eCOSS untuk pembelian minyak masak bersubsidi yang akan dilaksanakan di Malaysia.
Isi Kandungan
Apa Itu eCOSS?
eCOSS atau Electronic Cooking Oil Subsidy System ialah sistem elektronik yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengawal pengedaran minyak masak bersubsidi di Malaysia.
Setiap transaksi jualan akan direkod secara digital dari kilang, pembungkus, pemborong, sehingga ke peruncit berlesen.
Pengguna yang ingin membeli minyak masak subsidi perlu mengimbas QR Code eCOSS dan melakukan proses pengesahan identiti melalui aplikasi mudah alih, sering dikenali sebagai e-KYC. Hanya MyKad sahaja diterima sebagai bukti warganegara.
Tujuan sistem ini adalah untuk membendung ketirisan, penyeludupan dan penyelewengan subsidi minyak masak yang kerap berlaku di pasaran.
Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan bantuan subsidi benar-benar sampai kepada rakyat sekaligus mengelakkan penyelewengan dan ketirisan bekalan.

Kegunaan eCOSS
Berikut ialah beberapa manfaat dan kegunaan utama sistem eCOSS, iaitu:
| Rekod & Pantau Jualan Subsidi | Setiap transaksi jualan minyak masak bersubsidi dari pengilang, pembungkus, pemborong hingga ke peruncit dan pengguna akan direkodkan secara digital di dalam sistem eCOSS. |
| Elak Ketirisan & Penyelewengan | eCOSS membantu pihak berkuasa mengesan sebarang ketidakselarasan dalam data penjualan minyak masak bersubsidi, sekaligus menghalang penjualan kepada warga asing, pemborongan berlebihan dan penyeludupan luar negara. |
| Pembelian Bersasar Untuk Rakyat Malaysia | Melalui integrasi dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), subsidi minyak masak hanya boleh ditebus oleh warganegara Malaysia yang layak secara sah, manakala aplikasi mudah alih eCOSS akan menghalang pembelian oleh bukan warganegara. |
| Kuota & Pengesahan e-KYC (MyKad) | Pengguna mesti mengimbas kod QR dan mengesahkan identiti menggunakan MyKad setiap kali membeli minyak masak subsidi, untuk memastikan kuota tidak disalah guna dan membantu agihan adil untuk golongan B40. |
| Data Real-Time Untuk Penguatkuasaan | KPDN boleh menjejaki jumlah pembelian di setiap lokasi, serta menindak peniaga atau pengguna yang cuba menyalahgunakan subsidi, sekaligus mempercepatkan tindakan sekatan atau penggantungan lesen. |
Syarat Kelayakan Pembelian Minyak Masak Bersubsidi
Pembelian minyak masak bersubsidi melalui eCOSS perlu mematuhi syarat-syarat dan kriteria seperti berikut:
- Warganegara Malaysi. Pengesahan identiti melalui MyKad dan imbasan QR Code ketika membeli, bagi memastikan bukan warganegara tidak menikmati subsidi.
- Pembelian di Premis Berdaftar. Hanya boleh membeli di premis terpilih, pasar mini, pasar raya dan kedai runcit berlesen yang tersenarai dalam sistem eCOSS.
- Kuota Terhad Mengikut Rumah / Ahli Isi Rumah. Kerajaan mengesyorkan maksimum 1hingga 2 paket 1kg sebulan untuk setiap isi rumah, sesuai dengan kadar keperluan sebenar rakyat. Tiada pembelian pukal oleh syarikat atau restoran.
- Imbas Kod QR & eKYC (Pengguna Sah). Setiap pembelian wajib dilakukan melalui imbasan QR serta pengesahan wajah dan MyKad. Tidak sah jika tiada proses digital eCOSS.
- Lesen Pembungkus / Peniaga Wajib Sijil Halal. Syarikat pembungkus dan peniaga mesti mendapatkan sijil halal sebagai salah satu syarat lesen jualan minyak masak subsidi.
Siapa Wajib Berdaftar Dengan eCOSS?
Syarikat Pengilang, Pembungkus, dan Pemborong Minyak Masak Bersubsidi wajib mendaftar sebagai pengguna untuk merekod dan melaporkan jualan subsidi minyak masak secara digital. Ini termasuk mengisi maklumat jualan harian, mengesahkan nombor invois dan mengurus tuntutan subsidi melalui sistem tersebut.
Peniaga Peruncit Berlesen wajib menggunakan aplikasi ini untuk setiap transaksi jualan minyak masak subsidi kepada pengguna akhir, termasuk pengesahan identiti pembeli menggunakan imbasan QR dan MyKad.
Pengguna Akhir (Orang Awam) yang ingin membeli minyak masak subsidi juga perlu mendaftar dan mengaktifkan akaun dalam aplikasi ini untuk pengesahan dan rekod subsidi, sebelum membuat pembelian di kedai berlesen.
Cara Pembelian Minyak Masak Bersubsidi
Anda perlu memuat turun aplikasi eCOSS secara percuma di telefon bimbit melalui Google Play, Apple App Store atau Huawei AppGallery untuk membuat pembelian minyak masak bersubsidi dengan cara mendaftar dan mengelog masuk ke dalam sistem.
Isi maklumat yang diperlukan untuk mendaftar. Anda akan menerima maklumat log masuk melalui e-mel. Lengkapkan proses pengesahan identiti menggunakan MyKad secara e-KYC dalam aplikasi.
Dalam sistem eCOSS terdapat empat kategori pengguna yang boleh log masuk, iaitu:
| Kategori | Penerangan |
|---|---|
| Pengguna (Users) | Orang awam atau pembeli minyak masak bersubsidi yang menggunakan aplikasi untuk pembelian dan pengesahan transaksi. |
| KPDN | Pegawai atau kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang memantau serta mengurus sistem eCOSS. |
| Syarikat | Pengilang, pembungkus dan pemborong yang berdaftar untuk merekodkan jualan minyak masak bersubsidi mereka. |
| Pemandu | Individu yang mengendalikan pengangkutan atau penghantaran minyak masak subsidi dari syarikat ke peruncit atau lokasi jualan, direkod dalam sistem untuk memantau pergerakan barang. |
Apabila hendak membeli minyak masak paket bersubsidi 1kg, anda boleh pergi ke kedai atau outlet berlesen yang menyertai program eCOSS.
Harga subsidi bagi minyak masak paket 1kg adalah tetap pada RM2.50 bagi setiap paket (polibeg).

Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut berkaitan eCOSS ini, anda boleh rujuk laman rasmi KPDN dari semasa ke semasa.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!




