Sumber Rujukan Globalisasi Anda

36,000 Warga Emas dan OKU Dijadualkan Terima Vaksin Fasa Kedua

Seramai 36,000 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dijadualkan bakal menerima suntikan vaksin menerusi peringkat permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa kedua.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, daripada jumlah itu, seramai 25,000 penerima merupakan warga emas manakala selebihnya adalah terdiri daripada golongan OKU.

Beliau berkata, secara keseluruhan, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan 80,000 penerima terdiri daripada dua kategori itu bakal mendapat suntikan vaksin berkenaan selepas ini.

warga emas

“Menerusi fasa pertama lalu, kita utamakan pemberian kepada petugas barisan hadapan manakala untuk fasa kedua ini ditumpukan kepada warga emas dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Dapur Rakyat Prihatin di Simpang Empat, Kampung Sungai Udang, Klang pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan pelaksanaan fasa kedua program itu akan diteruskan seperti dirancang.

Mengulas lanjut, Rina berkata, KPWKM juga sentiasa menggiatkan usaha bagi membantu pendaftaran vaksin buat warga emas dan golongan OKU di negara ini.

“Kita tahu ada antara mereka kurang pengetahuan untuk mendaftar dan disebabkan itu KPWKM perlu memainkan peranan membantu pihak terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, Rina berkata, seramai 1,000 orang penerima mendapat bantuan berkenaan terdiri daripada golongan B40 dan mereka yang terjejas sewaktu pandemik Covid-19.

Tambah Rina, pihaknya berharap bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan ditanggung oleh pihak terlibat.

Sumber Bernama

Artikel lain : Soal Jawab Ustaz Fauwaz Fadzil Di Bulan Ramadan

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More