Misi Global Sumud Nusantara Flotilla 2025

Berikut dikongsikan sedikit info terkini mengenai Pelayaran Flotilla Sumud Nusantara yang kini sedang berlayar ke Gaza, Palestin demi membawa misi bantuan kemanusiaan.
Isi Kandungan
Apa Itu Sumud Nusantara?
Sumud Nusantara ialah sebuah gerakan solidariti rentas negara yang digerakkan oleh rakyat Asia Tenggara dan Asia Selatan iaitu dari Malaysia, Indonesia, selatan Thailand, hingga ke Pakistan dan Maldives, demi membela nasib rakyat Palestin yang dizalimi.
“Sumud” bermaksud teguh dan tabah walau ditekan. Itulah semangat rakyat Palestin yang kini dikongsi bersama dalam gerakan Sumud Nusantara iaitu solidariti umat dari rantau Asia Tenggara yang mengangkat isu Palestin sebagai perjuangan sejagat.
Kempen ini digerakkan oleh MyAqsa Defenders dan Cinta Gaza Malaysia, dengan kerjasama strategik daripada Cinta Syria Malaysia dan rangkaian NGO serantau serta antarabangsa.
Sumud Nusantara merupakan konvoi darat, udara dan laut yang membawa misi bantuan kemanusiaan, suara advokasi dan desakan global agar dibuka laluan kemanusiaan kekal ke Gaza.
Sumud Nusantara juga merupakan sebahagian daripada pakatan global yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, bersama Global March to Gaza, Freedom Flotilla Coalition dan rakan-rakan kemanusiaan antarabangsa lain.

Matlamat Gerakan
Matlamat gerakan ini ditubuhkan adalah untuk:
| Menamatkan Pembunuhan Beramai-Ramai Di Gaza | Mereka bangkit untuk menghentikan genosid berterusan terhadap rakyat Palestin. |
| Menyatukan Suara Asia Tenggara & Asia Selatan | Dari Malaysia ke Indonesia, Pakistan ke Maldives, mereka menghimpunkan suara masyarakat untuk membela hak Palestin, yang dipimpin oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN. |
| Menghantar Bantuan & Memecahkan Sekatan | Bantuan akan digerakkan ke Gaza melalui pelbagai laluan iaitu darat, udara dan laut sebagai usaha menyampaikan keperluan penting kepada mereka yang sedang dikepung dan dizalimi. |
| Menyerahkan Memorandum Sokongan Di Pentas Dunia | Memorandum sokongan akan diserahkan kepada kedutaan dan institusi antarabangsa sebagai tuntutan untuk membuka laluan kemanusiaan yang kekal ke Gaza. |
Flotilla Awam Besar-Besaran Menuju Gaza
Misi Flotilla 2025 berskala besar kini telah belayar menuju ke Semenanjung Gaza pada penghujung 31 Ogos baru-baru ini dalam usaha terbaharu untuk memecahkan sekatan Israel yang menyebabkan keseluruhan penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Konvoi dalam misi tersebut telah menghimpunkan Mahreb Sumud Flotilla, Pergerakan Global Ke Gaza, Gabungan Freedom Flotilla dan Sumud Nusantara.
Konvoi pertama telah berlepas pada 31 Ogos 2025 dari Sepanyol dan konvoi kedua telah berlepas pada 4 September 2025 dari Tunisia.
Lebih 6,000 aktivis dari 44 negara telah mendaftar menyertai konvoi ini melibatkan puluhan kapal besar dan kapal kecil dari pelabuhan seluruh dunia.
Matlamat mereka adalah untuk memecahkan sekatan haram ke atas Gaza melalui laut, mewujudkan koridor kemanusiaan dan menentang genosid terhadap rakyat Palestin.
Hukum Sukarelawan Wanita Menyertai Sumud Nusantara Flotilla
Hukum untuk wanita menyertai Sumud Nusantara Flotilla bergantung pada pandangan dan interpretasi hukum Islam individu, namun dari sudut pandangan kemanusiaan dan solidariti, ia dianggap sebagai satu tindakan yang positif dan patut digalakkan.
Misi ini bukan sahaja membawa bantuan tetapi juga menyampaikan mesej solidariti kepada Palestin.
Tiada maklumat khusus yang menyatakan kewujudan larangan khusus untuk wanita menyertai misi ini, namun prinsip keselamatan dan perlindungan diri harus diutamakan.
Misi kemanusiaan ini melibatkan perjalanan ke kawasan konflik, jadi keselamatan sukarelawan wanita perlu diutamakan, seperti halnya sukarelawan lelaki.
Pastikan sukarelawan wanita mempunyai latihan dan persediaan yang mencukupi sebelum menyertai misi ini.
Misi Sumud Nusantara adalah sebahagian daripada usaha kemanusiaan antarabangsa untuk menamatkan konflik dan memberikan bantuan kepada Gaza.
Maka, keterlibatan wanita adalah digalakkan sebagai tanda solidariti global dan untuk menyatukan suara dunia dalam mendesak pengakhiran perang.

Doa Buat Gaza! Doa Buat Pelayaran Flotilla Sumud Nusantara!
Delegasi ini bukan sekadar menghantar bantuan, tetapi turut mengusung amanah rakyat Malaysia dan suara solidariti yang tetap bersama Gaza, tanpa pernah berpaling daripada luka dan perjuangan mereka.
Misi ini adalah simbol tekad rakyat Malaysia bersama Palestin, dalam susah dan derita, tanpa pernah berpaling.
Justeru, marilah kita semua berdoa dan membuat solat hajat tanpa henti untuk Misi Global Sumud Nusantara Flotilla ini supaya semuanya selamat dalam misi, dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan kemanusian sehingga selesai.




